Pencapaian hebat pasukan dalam saingan La Liga terutamanya Real Madrid dan Atletico Madrid yang menjuarai kempen Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa mampu untuk meningkatkan harapan buat skuad Piala Dunia Sepanyol.
Kenyataan itu dikeluarkan pengendali Sepanyol, Julen Lopetegui yang melihat perkembangan tersebut dapat melihatkan persaingan hebat oleh pasukan bimbingannya bagi menggapai kejayaan di Rusia.
Ia dikuatkan lagi dengan keupayaan Barcelona hampir mencatatkan rekod tanpa kalah dalam 38 perlawanan di La Liga.
Pencapaian tiga kelab gergasi Sepanyol itu disifatkan Lopetegui telah memberikan suasana persekitaran yang positif buat kem pasukan.
”Barcelona, Atletico Madrid dan Real Madrid telah memenangi gelaran juara. Ia bagus kerana mereka gembira.”
”Kami sentiasa berkata bahawa kami mahukan pemain kami gembira. Sekarang adalah giliran kami untuk bekerja.”
“Mulai sekarang kami tidak memberi tumpuan kepada fakta atau situasi itu, tetapi apa yang kami perlukan adalah untuk memberikan pasukan ini lebih dekat dengan kemenangan pada setiap perlawanan,” jelas pengendali berusia 51 tahun itu kepada wartawan.
Seramai 12 pemain dari ketiga-tiga pasukan bakal membawa cabaran skuad La Roja itu yang terpilih untuk menyertai senarai 23 orang yang dibawa ke Rusia.
Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan merupakan pencapaian terhebat buat bola sepak Sepanyol selepas mereka yang ketika itu dibimbing Vicente Del Bosque berjaya menewaskan Belanda pada perlawanan akhir untuk meraih kejuaraan dunia buat kali pertama.