Bola Sepak Scotland : Lebih Daripada Sekadar Celtic Dan Rangers

Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Nazreen Izahar, penyokong Aberdeen dan salah seorang pembaca Semuanya BOLA. Ketika ini, beliau sedang berduka kerana Scotland tidak layak ke Euro 2016.

Sila layari blog peribadi beliau untuk untuk lebih banyak artikel bola sepak daripada beliau.


Bercakap mengenai bola sepak Scotland di Malaysia, rata-rata rakyat kita hanya akan mengenali Celtic dan Rangers serta beberapa sahaja yang mengenali Heart of Midlothian (Hearts).

Mana tidaknya, Celtic dan Rangers ataupun Old Firm Clubs ini adalah dua kelab yang paling berjaya di Scotland dan mempunyai penyokong yang ramai di seluruh dunia.

Tetapi adakah rakyat kita tahu bagaimana liga mereka berjalan? Dan kerana itulah entri ini wujud kerana ingin dekatkan anda mengenai Liga Scotland ataupun SPFL.

1.0 Kenapa ia digelar liga yang kecil tetapi besar?

Ini kerana dari pengamatan penulis sendiri. Liga Scotland (SPFL) adalah liga yang mempunyai 42 pasukan sahaja sebagai ahli gabungan tetapi bermain dalam 4 divisyen.

Sedangkan di England, 42 kelab hanyalah dari Liga Perdana dan Liga Kejuaraan kerana mereka mempunyai kelab yang sangat banyak.

SPFL ataupun Scottish Professional Football League adalah gabungan dari Scottish Premier League (SPL) serta Scottish Football League (SFL) pada tahun 2013.

Mereka bergabung untuk menjadi SPFL atas sebab untuk mendapatkan pengurusan liga yang lebih baik secara keseluruhannya.

Sistem liga di Scotland menggunakan sistem liga di England dengan 4 divisyen atas digelar sebagai Premiership, Championship, League 1 dan League 2.

Tetapi, bezanya kesemua liga ini diurus oleh SPFL dan tidak seperti di England dimana Liga Perdana diurus oleh Premier League manakala Liga Kejuaraan sehingga Liga 2 diurus oleh Football League.

Scottish Premiership mempunyai 12 pasukan manakala Championship sehingga League 2 hanya terdapat 10 pasukan sahaja.

2.0 Bagaimana SPFL dilangsungkan?

Perjalanan liga di Scotland adalah normal seperti liga-liga di Eropah yang lain. Mereka bermain bermula dari Ogos sehingga Mei tahun berikutnya dan tiada cuti musim sejuk pada Disember.

Tapi bagaimana 10 atau 12 pasukan dalam satu divisyen mampu bermain sehingga Mei? Adakah mereka punya jurang masa yang panjang dari satu perlawanan ke perlawanan lain?

Jawapannya tidak.

Bagi pasukan di bahagian Championship sehingga League 2, mereka akan bermain sebanyak 36 perlawanan. Dengan 10 pasukan di dalamnya.

Jadi setiap pasukan akan menentang lawan yang sama sebanyak 4 kali semusim (9×4 = 36) di tempat sendiri dan juga tempat lawan.

Bagi Premiership pula, mereka akan bermain sebanyak 38 perlawanan dengan teknik 3+1. Apakah teknik 3+1?

Teknik ini merupakan teknik yang dipakai di Scotland untuk pasukan di divisyen teratas bermain 38 perlawanan.

Setiap musim 12 pasukan akan wajib menetang lawan yang sama sebanyak 3 kali (11×3 =33).

Jadi bagaimana mereka mendapat baki 5 perlawanan lagi?

12 pasukan akan dibahagikan selepas 33 perlawanan kepada dua kumpulan iaitu Championship Group (1-6) dan Relegation Group (7-12). Ini dinamakan sebagai Sistem Pecahan (split system).

Mereka akan menentang lima lawan mereka dari kumpulan yang sama untuk lengkapkan musim liga mereka.

3.0 Kenaikan Pangkat dan Penyingkiran serta Saringan Kenaikan Pangkat

Bagi kenaikan pangkat dan penyingkiran, tiada kenaikan pangkat di Premiership kerana Premiership adalah liga paling tinggi di Scotland.

Tetapi bagi juara di liga Championship sehingga League 2 akan mendapat slot automatik ke liga lebih atas berbanding liga yang mereka bermain pada musim itu.

Untuk penyingkiran, pasukan di tangga ke 12 di Premiership akan automatik turun ke Championship sementara pasukan tangga ke 10 di Championship sehingga League 2 akan mendapat nasib yang sama.

Bagi saingan saringan kenaikan pangkat (promotion play-off), 4 pasukan akan mengambil bahagian iaitu pasukan di tempat kedua terakhir setiap liga menentang pasukan di tempat ke-2, 3, dan ke-4 di liga bawah mereka.

Pasukan yang tersingkir dari League 2 akan turun ke sama ada Highland League atau Lowland League bergantung pada kedudukan pasukan itu dalam peta Scotland.

* Kaedah Sistem Pecahan (split system) serta Saringan Kenaikan Pangkat (promotion play-off) mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Hal ini akan dibincangkan dalam entri seterusnya.

4.0 Kelayakan ke Eropah

Untuk kelayakan ke Eropah, 4 tempat telah diberi oleh UEFA kepada Scotland untuk kelab dari negara ini untuk bermain di UCL dan UEL.

Akan tetapi, dek kerana mata liga Scotland agak rendah dalam UEFA Coefficients Point System kesemua 4 slot itu hanyalah slot kelayakan dan bukanlah automatik.

Bagi juara mereka akan mendapat slot ke kelayakan UCL, sementara itu pasukan di tangga kedua dan ketiga liga akan ke pusingan kelayakan UEL pusingan 1.

Baki satu slot lagi adalah dikhaskan untuk juara Piala Scotland (Scottish Cup) dan slot itu adalah slot ke kelayakan UEL pusingan 2.

Pada musim 2014/15, Inverness Caledonian Thistle telah mendapat tempat ketiga dalam liga dan juara Piala Scotland.

Jadi kerana mereka telah mendapat dua tiket ke kelayakan UEL, satu dari tiket itu diberikan kepada St. Johnstone kerana St. Johnstone menamatkan liga di tempat ke-4.

Hal ini akan berlaku apabila salah satu dari 3 pasukan teratas liga memenangi Piala Scotland.

5.0 Pertandingan Lain Semasa Kempen Liga.

Seperti di negara-negara lain, terdapat juga pertandingan lain dilangsungkan sepanjang liga berlangsung yang melibatkan pasukan-pasukan SPFL.

3 piala dipertandingkan iaitu Piala Liga Scotland (Scottish League Cup), Piala Scotland (Scottish Cup) dan Piala Cabaran (Petrofac Training Cup).

Scottish League Cup akan melibatkan semua pasukan SPFL dan bermain secara kalah mati. Sekiranya perlawanan itu seri, masa tambahan dan mungkin sepakan penalti akan digunakan.

Scottish Cup pula melibatkan semua pasukan dari SPFL serta pasukan dari Highland League dan Lowland League.

Perlawanan secara kalah mati dan akan menggunakan perlawanan ulangan (replay) sekiranya perlawanan pertama berakhir dengan seri.

Masa tambahan serta penalti akan digunakan jika masih seri dalam perlawanan ulangan.

Bagi Petrofac Training Cup, ia disertai oleh pasukan dari Championship hingga ke League 2 sahaja dan menggunakan format Scottish League Cup.

6.0 Kelainan dalam Liga Scotland

Uniknya di Scotland, mereka tidak mempunyai perlawanan pembuka musim seperti Super Copa de Espana di Sepanyol atau Community Shield di England.

Tetapi Scotland mempunyai Hari Bendera ataupun Flag Day.

Flag Day adalah hari dimana setiap pasukan yang memenangi liga di setiap divisyen pada musim sebelumnya akan mempunyai upacara menaikkan bendera menandakan mereka adalah juara liga pada musim sebelumnya.

Ia diadakan pada hari perlawanan pertama liga mereka.

Selain itu, penaja bola rasmi untuk SPFL adalah Mitre.

Untuk pasukan di Premiership, Mitre telah memberi bola yang mempunyai logo serta warna rasmi pasukan pada corak bola itu.

Sebagai contoh, Partick Thistle akan mendapat bola dengan warna utama putih serta corak berwarna merah dan kuning serta logo mereka di bola mereka.

Manakala bagi Dundee United akan mendapat bola dengan warna jingga dan hitam sebagai warna coraknya (alangkah baik jika di Liga Malaysia juga ada seperti ini).

Bola ini akan dipakai oleh semua 12 pasukan di Premiership apabila mereka bermain di gelanggang sendiri.

Lihat gambar dibawah untuk gambaran suasana Flag Day…

flag-day-celtic

…dan imej bola pasukan di Premiership:

patrick-thistle-ball

patrick-thistle-ball-2

7.0 Kesimpulan

Bola sepak di Scotland mungkin tidak sehebat di Sepanyol mahupun seteru utama mereka iaitu England.

Namun ia tetap mempunyai keseronokannya yang tersendiri dan kerana ianya bola sepak ia sudah semestinya seronok bukan?

Liga Scotland menawarkan kelainan dari segi suasana bola sepak dari penonton sehinggalah rupa stadium itu sendiri.

Ia memberi pilihan lain kepada mereka yang ingin mengetahui bagaimana bola sepak dilangsungkan di satu sudut yang lain di dunia ini.

Semestinya banyak lagi yang hendak diceritakan di sini tetapi semua itu akan diulas pada penulisan yang akan datang.

Pada entri seterusnya kita akan membincangkan mengenai Split System dan Promotion Play-off di Scotland.

Baca juga: Bagaimana Messi Dan iniesta Hampir Berpindah Ke Rangers

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN