Kesilapan Dasar Naturalisasi Timor Leste Yang Mesti Kita Elakkan

Nota editor: Terima kasih kepada Sivan John kerana membawa artikel New York Times ini kepada perhatian kami.

Sebagai negara yang baru merdeka 13 tahun lepas, peningkatan prestasi skuad kebangsaan bola sepak Timor Leste sangat mengagumkan.

Pada tahun 2012, Timor Leste berada di tangga terbawah ranking dunia FIFA.

Ketika ini, mereka berada di ranking ke-170. Satu anak tangga di atas Malaysia.

Jika dulu, kita membandingkan kekuatan skuad kebangsaan kita dengan Thailand, Vietnam dan Singapura.

Ketika ini, benchmark terbaru kita adalah Laos, Myanmar dan Timor Leste.

Untuk memberikan anda perspektif yang lebih mendalam, pada tahun 2001 kita muncul naib juara bola sepak Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Hanya kalah tipis 0-1 kepada Thailand hasil kesilapan penjaga gol Pulau Pinang.

Pada tahun yang sama, Timor Leste masih lagi wilayah jajahan Indonesia.

Kebangkitan bola sepak Timor Leste tak dihargai

Bagaimanapun peningkatan prestasi bola sepak Timor Leste seakan tidak mendapat penghargaan rakyat Timor Leste sendiri. Apa sebabnya?

“Semua pemain Brazil ini, mereka cuma perlu datang ke Timor Leste sehari.

Kemudian, mereka terus dapat passport dan main untuk pasukan kebangsaan,” kata Jose Luis de Oliveira dalam temu ramahnya dengan New York Times.

Jose Luis de Oliveira merupakan pengerusi Amantes Bola.

Amantes Bola adalah gerakan aktivis bola sepak yang mahukan peguam negara, menteri keadilan dan perdana menteri mereka menyiasat kes pemberian kerakyatan Timor Leste kepada pemain-pemain Brazil.

“Kami lebih rela kalah dengan pemain kelahiran Timor Leste daripada menang dengan pemain asing,” kata penyokong Timor Leste, Alex Tilman kepada New York Times.

“Kami lagi sakit hati bila tengok pasukan kami kalah dengan pemain asing ini.” Tilman merujuk kepada kekalahan 0-7 Timor Leste kepada Arab Saudi pada 3 September 2015 yang lepas.

Pasukan Timor Leste atau pasukan Brazil B?

Ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Malaysia, Timor Leste membariskan 7 pemain kelahiran Brazil yang dinaturalisasikan.

Dalam perlawanan itu, salah seorang pemain naturalisasi Brazil mereka, Ramon De Lima Saro, menjaringkan gol pada minit-minit terakhir perlawanan untuk mengikat seri Malaysia 1-1.

Pemain-pemain naturalisasi ini berminat menyertai skuad kebangsaan Timor Leste kerana hubungan rapat mereka dengan jurulatih dan staf skuad bola sepak Timor Leste.

Pemain tengah, Rodrigo Silva dan Patrick Fabiano merupakan antara pemain Brazil yang dikenal pasti oleh bekas jurulatih Timor Leste, Fábio Magrão melalui kenalan di kelab lamanya, Al Khaleej di UAE.

Ada juag pemain Brazil dinaturalisasikan selepas bermain di Asia Tenggara. Antaranya adalah Murilo de Almeida yang pernah bermain di Persiraja Banda Aceh pada tahun 2011.

Jairo Neto pula dikesan oleh ketua jurulatih sekarang, Fernando Alcântara, ketika beraksi dalam Liga Syria.

Patrick Fabiano menjelaskan betapa mudahnya beliau mendapat passport Timor Leste:

“Saya mendapat jemputan daripada mereka. Mereka kata: Kami bagi awak passport, awak main untuk kami. Kami suka gaya permainan awak. Kami mahu penyerang amcam awak.”

Melanggar peraturan FIFA

Menurut peraturan FIFA, ahli-ahlinya tidak boleh menaturalisasikan pemain melainkan:

  1. pemain itu telah tinggal di negara baru selama 5 tahun berturut-turut selepas berumur 18 tahun.
  2. salah seorang ibu, bapa, datuk atau neneknya berasal dari negara tersebut.

Menurut New York Times:

“Patrick Fabiano, 28, bertukar kerakyatan kepada Timor Leste 2-3 tahun lepas.

Ini terang-terang melanggar peraturan FIFA memandangkan beliau tidak pernah tinggal di Timor Leste melebihi 5 tahun.”

Ketika ditanya jika beliau dan rakan sepasukan Brazilnya mempunyai keturunan yang berasal dari Timor Leste, Fabiano menjawab:

“Saya tak check pun. Jadi saya tak tahu.”

Persatuan Bola Sepak Timor Leste tidak menjawab permintaan temu ramah yang dipohon oleh wartawan New York Times.

Tetapi jurucakap AFC berkata semua pemain yang didaftarkan telah disahkan boleh mewakili negara masing-masing.

timor-leste-import

Matlamat jangka panjang vs matlamat jangka pendek

Keghairahan pemimpin Persatuan Bola Sepak Timor Leste yang melabur wang untuk merekrut pemain naturalisasi Brazil daripada membangunkan program pembangunan akar umbi ini, mengingatkan kami kepada senario yang berlaku di liga tempatan kita.

Dalam liga tempatan, kita lebih rela mengambil pemain import berbadan besar dan bermain route-one football daripada menukar gaya permainan yang bersesuaian dengan penyerang tempatan.

Adalah lebih mudah untuk membeli pemain import dan bermain route-one football daripada membangunkan pemain muda tempatan dan bermain bola sepak the right way.

Matlamat jangka masa pendek sentiasa menjadi pilihan kepimpinan persatuan daripada matlamat jangka masa panjang.

Tiada siapa yang lebih sukakan matlamat jangka masa pendek selain ahli politik.

Bola sepak kuda tunggangan ahli politik

Apabila bola sepak dijadikan medan bagi ahli politik untuk menaikkan profilnya di mata orang awam, kejayaan dalam bola sepak akan diukur oleh keputusan di padang.

Menang bererti kepimpinan ahli politik itu berjaya. Apabila ahli politik berjaya membawa kemenangan kepada pasukan bola sepak, beliau dianggap pemimpin yang bagus.

Beliau akan diberi jawatan yang lebih besar. Profilnya akan menjadi popular di mata rakyat.

Oleh itu, setiap pasukan yang ditunggangi oleh ahli politik pasti akan mengambil keputusan yang mementingkan kejayaan matlamat jangka pendek.

Duit yang ada akan dilaburkan kepada pemain baru yang berkualiti. Masakan tidak. Pemain berkualiti boleh memberikan anda kejuaraan liga dalam masa setahun.

Jika duit itu dilaburkan kepada infrastuktur pasukan, akademi dan jurulatih, hasilnya hanya boleh dilihat 10-20 tahun akan datang.

Ahli politik tiada masa untuk menunggu 20 tahun. Banyak boleh terjadi dalam masa 20 tahun dalam dunia politik.

Timor Leste harus memilih

Ketika Timor Leste tewas 0-7 kepada Arab Saudi, hanya 3 pemain naturalisasi bermain dalam kesebelasan utama.

Ini adalah respons Persatuan Bola Sepak Timor Leste yang tunduk kepada desakan penyokongnya sendiri.

Mereka mahukan lebih banyak peluang bermain diberikan kepada pemain kelahiran Timor Leste.

Kekalahan itu mungkin memalukan.

Tetapi komuniti bola sepak tempatan di Timor Leste bersedia untuk berkorban demi mengejar matlamat jangka panjang mereka: menang dengan 100% anak tempatan.

Fernando da Encarnação, pengerusi kelab bola sepak Sport Dili e Benfica di Timor Leste, mahukan lebih banyak peluang diberikan kepada pemain tempatan.

“Pemain-pemain Brazil itu tak bermain pun di Timor Leste.”

“Jadi mereka tak menyumbang apa-apa pun untuk menaikkan mutu bola sepak Timor Leste.”

Beliau mengesyaki pemain Brazil ini dibayar dengan elaun yang besar untuk bermain mewakili pasukan kabangsaan Timor Leste.

Tetapi wartawan tempatan, Jose Belo, berkata tiada bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

Kesimpulan

Meskipun Timor Leste bukanlah negara kaya, Persatuan Bola Sepak Timor Leste tidak pernah putus sumber kewangan.

Ini adalah hasil hubungan baik presidennya, Francisco Lay Kalbuadi dengan bekas presiden AFC, Mohamed Hammam.

Pada awal 2014, Francisco Lay Kalbuadi pernah digantung oleh FIFA kerana menerima wang suapan berjumlah USD50,000 daripada Mohamed Hammam.

Ketika komuniti bola sepak Timor Leste mahukan wang tersebut dilaburkan untuk memajukan liga tempatan, Francisco Lay Kalbuadi melaburkan wang persatuannya kepada dasar naturalisasi pemain Brazil.

Supaya pasukan kebangsaannya Timor Leste menang. Supaya persatuan pimpinannya dianggap ‘berjaya’ apabila menang. Supaya kerjaya politiknya menyinar.

Politik dan sukan. Janganlah dicampurkan.

Baca juga: 5 Perkara Yang Kita Perlu Lakukan Sebelum Naturalisasi Pemain

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN