Selepas meraih keputusan positif dengan menundukkan Madura United 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Jumaat, Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) sudah mula membuat perkiraan awal untuk menentukan kesebelasan utama pasukannya yang akan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirainya 29 Februari ini.
Dalam berita yang dilaporkan Bernama, jurulatih kelahiran Kelantan itu bagaimanapun mahu terus menguji pemainnya dalam beberapa perlawanan pra-musim seterusnya bagi mengenal pasti kelemahan dan membuat penilaian terbaik.
“Kesebelasan utama pemain saya akan tentukan pada akhir Februari ini, iaitu selepas tiga atau empat lagi perlawanan persahabatan.
“Kita akan guna platform ini (perlawanan persahabatan) untuk cari kelemahan, keserasian dan menilai prestasi pemain sebelum dapat tentukan barisan utama pasukan,” katanya.
Secara keseluruhannya, Nafuzi menyatakan beliau berpuas hati dengan dengan barisan pemainnya termasuk lima pemain import yang sudah sah bersama pasukan, namun beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya berlaku perubahan sekiranya diperlukan.
“Setakat ini, 90 peratus skuad pemain sudah lengkap. Tetapi saya akan kaji dan nilai balik prestasi pemain sebelum tarikh tutup pendaftaran Mac hadapan.
“Untuk pemain muda, mereka telah mempamerkan kualiti permainan yang baik dan ia menjadi tanggungjawab saya untuk bentuk serta bantu kembangkan lagi potensi mereka,” ujar jurulatih berusia 41 tahun itu lagi.
Dengan kehadiran pemain-pemain muda yang mempunyai kualiti dan potensi yang bakal menjadi prospek pada masa hadapan, Nafuzi menjelaskan ianya memudahkannya untuk membuat penilaian secara berterusan.
TFC akan berangkat ke Thailand untuk siri jelajah pra-musim selama seminggu bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan yang diwakili Dominic Tan, Police Tero FC (30 Januari), Suphanburi FC (1 Februari) dan kelab China, Tianjin Teda FC (3 Februari).
Kredit Foto: Terengganu Football Club