9 Gelaran Liga Super Berturut-turut Bukti Model JDT Ampuh

Belum pun musim bola sepak 2022 berakhir, JDT boleh berbangga dengan kejayaan yang telah dikecapi. Dimahkotakan juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut. Menamatkan kempen liga tanpa kalah buat kali ketiga. Juara Piala Sumbangsih. Juara Piala FA. Melangkah ke pusingan kalah mati AFC Champions League. Kejayaan JDT dilihat tidak akan terhenti setakat itu.

Cabaran seterusnya; Piala Malaysia. Susah untuk menidakkan status JDT sebagai pilihan utama dalam kejohanan bersejarah itu. Dan buat pertama kali, Piala Malaysia bakal menyaksikan tiada aksi kumpulan. Ini bermakna, tiada ruang kesilapan buat mana-mana pasukan jika mahu menjulang Piala Malaysia di Bukit Jalil hujung tahun nanti. Satu kesilapan, anda boleh terus tersingkir.

Bagi JDT, misi seterusnya pastilah menjuarai Piala Malaysia dan seterusnya menyapu bersih semua trofi domestik. Inilah siling yang masih belum dipecahkan oleh mana-mana pasukan di Malaysia. Hatta pasukan legenda Kelantan musim 2012 dan Kedah musim 2007-2008. Anda boleh bertaruh pemain-pemain JDT mahu memburu rekod ini. Dan mereka boleh kerana model JDT membolehkan mana-mana pemain memenuhi potensi kebolehan mereka sebagai pemain.

Apa itu model JDT? Mengapa model JDT menghasilkan kejayaan? Dan apakah ramuannya?

Fleksibiliti dalam taktik

Sebagai satu-satunya pemain dalam bola sepak moden yang pernah bermain di bawah empat ketua jurulatih yang menjuarai UEFA Champions League, Xabi Alonso berkata ada satu persamaan yang Jose Mourinho, Carlo Ancelotti, Rafa Benitez dan Pep Guardiola kongsi.

“Mereka melatih kami supaya fleksibel dalam dua sistem berbeza. Kami perlu beradaptasi mengikut perlawanan, mengikut situasi dalam perlawanan,” kata Alonso.

Kunci katanya di sini adalah fleksibel. Sebagai sebuah pasukan, JDT boleh ‘bertukar kulit’ dari sistem 4-3-3 ke sistem 3-5-2 dengan hanya satu arahan, dengan set pemain sama. Fleksibiliti ini membolehkan JDT untuk merungkai apa sahaja kejutan taktik pasukan lawan dalam apa-apa situasi.

Kualiti fizikal & teknikal pemain

Kelebihan taktik sahaja tidak mencukupi untuk membentuk pasukan juara. “Pemahaman Principles of Play perlu diadun dengan Technical Development pemain. Sebagai contoh ketika JDT memperolehi penguasaan bola, salah satu Principles of Attacking adalah untuk menyediakan ‘width’, di mana tugas ini dilakukan dengan baik oleh Arif Aiman. Arif kemudiannya akan menggunakan kualiti first touch dimilikinya untuk mengeksploitasi ruang dan pihak lawan,” ulas Shaiful Shazwan, penganalisis Semuanya BOLA.

Menurut Shazwan, kelebihan JDT adalah pemain-pemain yang memahami dan mengikuti taktik pasukan serta memiliki kualiti fizikal dan teknikal untuk bersaing di peringkat Asia.

Bola sepak adalah sukan menyelesaikan masalah. Dan salah satu masalah yang dihadapi JDT pada musim-musim sebelum ini adalah kecenderungan lawan berkampung di kubu sendiri dengan 9-10 pemain. Menariknya JDT menyelesaikan masalah ini dengan merekrut pertahanan tengah Shane Lowry!

Polisi perekrutan yang memanfaatkan pasukan

Memang mudah untuk mengkritik polisi pembelian pemain JDT. Tetapi tiada siapa boleh menafikan faedahnya kepada JDT. Mana-mana pasukan yang berduit boleh membeli pemain berprofil tinggi. Tetapi di Malaysia, hanya JDT yang mampu ‘memerah’ output tertinggi daripada pemain-pemain mereka.

Masalah utama yang membelenggu majoriti pasukan Liga Super adalah kesukaran mengekalkan output maksimum pemain-pemain import. Sebabnya? Tahap kompetitif dalam pasukan yang rendah. Dalam mana-mana sukan sekalipun, saat atlet merasa selesa adalah saat prestasi mereka akan mula menurun.

JDT mengatasi masalah ini dengan merekrut pemain-pemain terbaik seluruh negara. Ini membolehkan JDT menghasilkan intensiti tinggi ketika sesi latihan. Sejam sesi latihan JDT mempunyai intensiti lebih tinggi berbanding 90 minit perlawanan Liga Super sendiri. Strategi sama ini jugalah membolehkan JDT menyamai intensiti pasukan Jepun dan Korea Selatan semasa bermain di AFC Champions League.

Seorang pemain mungkin dianggap bintang di pasukan lamanya. Dapat bermain 90 minit setiap minggu dan namanya mungkin nama wajib kesebelasan utama. Tetapi di JDT, anda perlu tunjukkan sebabnya dalam latihan dan ketika mendapat 10 minit dalam perlawanan dahulu.

Di JDT, kemungkinan pemain kebangsaan hilang tempat kesebelasan utama kepada pemain 19 tahun sentiasa ada. Kemungkinan pemain import bergaji besar hilang tempat kepada pemain import di skuad simpanan sentiasa ada. Tiada pemain akan rasa selamat. Yang untungnya JDT (dan pasukan kebangsaan). Bukan satu kebetulan sejak JDT melaksanakan polisi ini, ranking MA Malaysia naik.

Pengurusan ‘goal-oriented’

Sejak hari pertama JDT ditubuhkan, DYAM Tunku Ismail (TMJ) mempunyai sasaran yang jelas dan menyampaikannya dengan tegas kepada penyokong. Pada fasa pertama, TMJ menyasarkan JDT untuk merapatkan jurang dengan Pahang dan Selangor.

Selepas itu, sasarannya adalah menjuarai Liga Super. Selepas sasaran itu dicapai, TMJ mahu JDT bersaing secara kompetitif di peringkat Asia. Apabila sasaran itu berjaya dicapai lebih awal dari jadual dengan kejuaraan Piala AFC pada 2015, TMJ menetapkan sasaran baharu: lepasi peringkat kumpulan AFC Champions League.

Banyak pengkritik mentertawakan cita-cita TMJ di media sosial pada ketika itu. Tak terjangkau akal mereka memikirkan kelab dari Malaysia menewaskan kelab-kelab Jepun, China dan Korea Selatan untuk layak ke peringkat kalah mati Champions League.

Apabila kelab anda mempunyai sasaran yang SMART (specific, measurable, achievable, realistic and time-based), tiada apa yang mustahil. Cabaran terbesar TMJ dalam aspek ini bukanlah meyakinkan pemain JDT. Sebaliknya meyakinkan penyokong JDT sendiri. Dan ianya tak menghairankan. Apabila bola sepak Malaysia sudah berdekad-dekad ditenggelami aura pesimisme, sasaran TMJ mungkin kedengaran terlalu tinggi dan sukar dicapai.

Kini 11 tahun selepas TMJ menubuhkan JDT, melihat penyokongnya yakin dengan kemampuan pasukan dan visi pasukan adalah sesuatu yang menyegarkan. Ianya bukan merepek lagi untuk melihat kelab Malaysia menewaskan juara K-League dan J-League. Ianya bukan mustahil lagi untuk melihat kelab Malaysia beraksi di peringkat Asia secara konsisten.

Semuanya disebabkan oleh model JDT yang konsisten sejak hari pertama ditubuhkan.

Ketika ini, adanya keperluan mendesak supaya lebih ramai kelab-kelab Liga Super lain mengikuti langkah JDT. Kita perlukan lebih banyak kelab Malaysia menang di peringkat Asia. Model JDT membuktikan kelab Malaysia boleh berjaya di peringkat Asia. “If you can’t beat them, join them,” kata orang putih. Masa untuk belajar dari JDT.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN