Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan bintang Mesir, Mohamed Salah di landasan terbaik untuk menjadi pemain terbaik dunia.
Salah meneruskan kempen menakjubkan apabila menjaringkan empat gol ketika The Reds membelasah Watford 5-0 di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi sekali gus menambah jumlah jaringannya kepada 36 gol pada musim pertamanya.
Ia jaringan terbanyak pernah diledakkan pemain Liverpool pada penampilan sulung mereka bersama kelab itu.
Messi yang juga sensasi Barcelona turut menunjukkan betapa dia masih pemain terbaik dunia apabila menjaringkan gol ke-100 dalam kancah Liga Juara-Juara ketika menewaskan Chelsea 3-0, Khamis lalu.
Bagaimanapun, Klopp percaya pemain yang berusia 25 tahun itu mempunyai masa depan yang cerah untuk mengatasi kejayaan dilakar Messi dan seteru utamanya, Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dengan kedua-dua pemain berkenaan berada di usia 30-an.
“Saya fikir Mo (Salah) dalam perjalanan (menjadi pemain terbaik dunia),” kata Klopp.
“Saya tidak fikir Mo atau orang lain mahu dibandingkan dengan Lionel Messi.”
Klopp turut mencabar Salah untuk mengekalkan standard yang ditetapkan olehnya musim ini seperti yang dilakukan Messi dan Ronaldo.
“Seperti kebiasaan dalam hidup, jika kamu mempunyai kemahiran, kamu perlu menunjukkannya secara konsisten, dan secara konsisten dia amat bagus serta banyak membantu kami.”
Malah, Salah tidak menjadikan keadaan padang yang licin berikutan salji apabila menewaskan pertahanan Watford, Jose Holebas untuk membuka tirai jaringan seawal minit keempat.
“Keadaan (cuaca dan padang) adalah sukar. Jelas, ia licin dan semua orang bergelut tetapi tidak bagi Mo. Dia benar-benar istimewa,” kata Klopp. – AFP