8 Pekerjaan Rakyat Marhaen Yang Melahirkan Pemain Kebangsaan (Sempena Hari Pekerja)

Jika anda banyak membaca buku-buku atau artikel-artikel tentang budaya bola sepak British, anda pasti pernah mendengar frasa – football is a working class sport (bola sepak adalah sukan untuk golongan pekerja).

Kenyataan ini mungkin ada benarnya di Eropah.

Tetapi di Malaysia, bola sepak adalah sukan yang digemari semua kelas sosial. Di Malaysia, anak raja juga minat, main dan gilakan bola sepak. Sejak zaman Presiden FAM pertama, Tunku Abdul Rahman hinggalah sekarang.

Jika bola sepak Eropah mementingkan penglibatan golongan pekerja dari semua aspek bola sepak, kita di Malaysia pula lebih relaks.

Di Malaysia, kita menerima fungsi utama golongan bourgeois (juga bererti golongan atasan seperti keluarga diraja dan ahli politik) sebagai pentadbir. Golongan pekerja (working class) pula menyumbang sebagai pemain dan penyokong.

Jadi sempena Hari Pekerja pada hari ini, kami ingin menampilkan 8 pekerjaan yang telah melahirkan banyak pemain bola sepak untuk Malaysia.

1. Kerani

 

Sama ada untuk syarikat perniagaan atau bank, posisi kerani pada zaman bola sepak semi-pro kerap diisi oleh pemain bola sepak.

Kewujudan Business House League pada era 60-an, 70-an dan 80-an – liga amatur/semi-pro yang disertai syarikat-syarikat perniagaan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor – menggalakkan lagi bos-bos syarikat untuk memberi kerja kerani kepada pemain bola sepak.

Untuk menjadi kerani, apa yang pemain bola sepak perlu tunjukkan kepada majikan mereka adalah lulus MCE (setaraf SPM).

Contoh: Mokhtar Dahari (MARA, PKNS), Edwin Dutton (Kementerian Pertahanan), Robert Choe (Jabatan Polis), Rashid Hassan (MARA)

2. Pegawai penjara

Penglibatan Jabatan Penjara Malaysia dalam sukan bola sepak bermula sejak tahun 50-an. Ketika itu, staf-staf penjara – terutamanya warden penjara – di setiap negeri sentiasa menyertai liga-liga negeri untuk bertanding.

Penjara Taiping, contohnya, cukup dikenali di Perak kerana kehebatan pasukan mereka di liga divisyen 1 dan divisyen 2 Perak.

Karekter warden-warden penjara yang tegas, berdisiplin dan setia adalah antara punca mengapa banyak staf penjara pada zaman dahulu berjaya sebagai pemain bola sepak.

Malah ramai peminat bola sepak zaman 70-an memberitahu atas sebab itu jugalah Jalil Che Din gemar memilih warden penjara sebagai pemainnya ketika beliau mengendalikan skuad kebangsaan.

 

Contoh: Wan Zawawi (Penjara Pengkalan Chepa), Jalil Che Din (Penjara Taiping), V. Krishnasamy (Penjara Pulau Pinang), Namat Abdullah (Penjara Pulau Pinang), Yusof Bakar (Penjara Alor Setar), Syed Ahmad (Penjara Johor Bharu), Hamzah Husin (Penjara Kajang), Ali Bakar (Penjara Taiping), Sharuddin Abdullah (Penjara Alor Setar), Salleh Ibrahim (Penjara Taiping).

3. Juruteknik

Seperti kerani, jawatan juruteknik kerap diisi oleh pemain bola sepak kerana satu sebab: penyertaan syarikat majikan mereka dalam Business House League di Selangor dan KL pada era 60-an, 70-an dan 80-an.

 

Seperti kerani, skil juruteknik mudah dilatih. Bagi pemain pula, ia kerja yang ideal – sesuai dengan kelulusan MCE mereka.

Seperti kerani, apa yang mereka perlu lakukan setiap hari bekerja adalah masuk kerja pukul 6.30 pagi dan pergi ke latihan setiap pukul 4.00 petang.

Contoh: Santokh Singh, K. Rajagobal, R. Arumugam, Zulkifli Norbit, Shah Norbit Reduan Abdullah, Rashid Hassan (PKNS), Ahmad Taufik (Perak River Hydroelectric Power Sdn. Bhd), Mohamad Bakar (TNB)

4. Guru

Pada zaman bola sepak Malaysia masih bertaraf semi-pro, kerjaya guru bukanlah kerjaya yang calang-calang boleh dijawat.

Anda perlu mempunyai diploma atau ijazah – sesuatu yang jarang-jarang dimiliki oleh pemain bola sepak pada ketika itu. Tetapi Nasir Jalil – bekas lagenda Terengganu dan pemain skuad kebangsaan Singapura – berjaya mencapainya.

Sumber: Berita Harian, 6 November 1978

Mempunyai kelulusan dalam bidang Bahasa Arab dan Agama Islam dari Universiti Imam Muhammad bin Saud, Arab Saudi, Nasir Jalil pernah bertugas menjadi guru agama ketika bermain di Terengganu.

Contoh: Nasir Jalil

5. Polis

Seperti badan-badan kerajaan yang lain, penglibatan polis dalam sukan bola sepak bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi.

Pada ketika itu, jabatan-jabatan polis negeri kerap menyertai liga-liga bola sepak negeri.

Biasanya terdapat seorang pegawai polis berpangkat tinggi yang akan merekrut pemain bola sepak berbakat untuk bermain dalam pasukan polis sambil diberi jaminan latihan dan kerja sebagai polis.

Datuk Dell Akhbar Khan – Ketua Polis Kuala Lumpur ketika muda, menjadi ketua pasukan yang mengawal Muhammad Ali sepanjang berada di Kuala Lumpur.

Ibrahim Mydin, sebagai contoh, pernah memberitahu beliau direkrut oleh Tan Sri P. Alagendra (bekas Ketua Polis Selangor) untuk bermain dengan pasukan Polis Selangor.

Contoh: S. Govindarajoo, Ibrahim Mydin, Dell Akhbar Khan, Richard Choe, Abdul Ghani Minhat

6. Tentera

Tentera juga sudah lama menghantar pasukan bola sepak dalam liga-liga bola sepak negeri sejak zaman sebelum merdeka.

Seperti polis, biasanya terdapat seorang pegawai tentera berpangkat tinggi yang akan merekrut pemain bola sepak untuk bermain dalam pasukan tentera sambil diberi jaminan kerja sebagai tentera.

Sumber: Facebook Johari Yob

Contoh: Venice Elphi, Hasan Sazali Waras, Azzudin Ahmad, Ibrahim Haji Din

7. Pegawai bank

Kebanyakan jawatan pegawai bank yang dijawat oleh pemain bola sepak berpunca daripada penglibatan bank-bank seperti Standard Chartered Bank dalam Business House League di Selangor dan KL.

Pada masa kini, Shahrom Kalam adalah antara pemain yang direkrut oleh Maybank untuk aktiviti sukan mereka. Di Maybank, Shahrom Kalam diberi tugas bekerja di bahagian Sumber Manusia (HR) dan bertanggungjawab merekrut atlet sukan yang lain ke Maybank.

Sumber: www.fourfourtwo.com

Contoh: M.Chandran, Sardar Khan (Standard Chartered), Shahrom Kalam (Maybank), Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, E. Elavarasan (Public Bank)

8. Pegawai kerajaan

Antara agensi kerajaan yang aktif menyertai liga-liga negeri selepas merdeka adalah Lembaga Letrik Negara (kini TNB selepas diswastakan), Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Telekom.

Lembaga Letrik Negara contohnya bertanding dalam liga-liga negeri di bawah nama Kilat. Azrai Khor contohnya, pernah bermain untuk kelab Kedah Kilat dan JKR Kedah dalam Piala FAM.

Pemain-pemain Kuala Lumpur pula rata-ratanya bekerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Contoh: Azraai Khor (TNB, JKR), M. Viatilingam (TNB), Razip Ismail, Zaid Jamil, Mat Zan Mat Aris, Tang Siew Seng (DBKL)

Rumusan

Begitulah rumusan sejarah secara ringkas mengenai 7 pekerjaan tipikal yang dijawat oleh pemain bola sepak zaman semi-pro.

Pada zaman itu, pemain perlu mempunyai disiplin yang kuat. Mereka bukan saja perlu memberi persembahan kerja yang bagus untuk majikan mereka, malah perlu memberi persembahan baik di atas padang untuk penyokong juga.

Dengan gaji yang rendah dan kemudahan yang serba tak mencukupi, pemain-pemain perlu bangun seawal 5 pagi, masuk kerja pukul 6.30 pagi, berlatih pada pukul 4.30 petang dan hanya balik ke rumah pada pukul 8 malam. Kadang-kala, majikan tak melepaskan pemain untuk mewakili negara.

Begitulah cerita zaman-zaman pemain semi-pro. Kami mungkin tertinggal banyak nama pemain dan jenis pekerjaan lain. Dari semasa ke semasa, kami akan mengemaskini maklumat dalam artikel ini.

Akhir kata, selamat Hari Pekerja semua!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN