Quantcast

KAJIAN & FAKTA

8 Perlawanan Derby Paling Menarik Di Asia

Perlawanan derby merupakan antara tumpuan utama setiap musim bola sepak kelab. Semua akan menjadi perhatian lensa kamera dan juga tajuk utama akhbar sekiranya terjadi sesuatu perkara yang “panas”, tidak kira di padang atau di teres tempat duduk penonton.

Fokus kali ini kita menjengah ke seluruh rantau Asia untuk mengetahui 8 perlawanan derby yang paling panas.

1. Red-Blue Derby (Esteghlal – Persepolis)

Generated by IJG JPEG Library

Nama lain bagi Red-Blue Derby adalah Tehran Derby kerana kedua-dua kelab ini merupakan kelab yang berpengkalan di Tehran – ibu negara Iran.

Permusuhan mereka bermula pada 5 April 1968 apabila perlawanan sulung antara mereka berlangsung. Ketika itu Esteghlal dikenali sebagai Taj SC.

Pada pertengahan 1970-an, permusuhan ini makin ketara kerana Persepolis dilihat lebih kelab untuk golongan pekerja (working class). Manakal Esteghlal lebih disokong oleh golongan atasan.

Banyak insiden “panas” yang berlaku semasa perlawanan ini berlangsung.

Antaranya penonton mencabut kerusi stadium dan membaling sampah ke padang. Pemain bergaduh dengan penyokong lawan dan lebih teruk penyokong merosakkan harta awam.

Sejak 1995, pengadil dari luar dijemput untuk mengadili perlawanan ini bagi mengelakkan berat sebelah.

2. The Calcutta Derby (Mohun Bagan – East Bengal)

east

Nama East Bengal tidak asing bagi pengikut bola sepak Malaysia kerana mereka pernah menentang pasukan dari negara kita dalam saingan AFC Cup.

Untuk pengetahuan anda, The Calcutta Derby yang melibatkan East Bengal dengan jiran Kolkata mereka, Mohun Bagan merupakan satu-satunya perlawanan bola sepak yang popularitinya setanding dengan satu perlawanan kriket biasa di India.

Permusuhan ini terjadi kerana Mohun Bagan merupakan pasukan yang majoritinya disokong oleh penduduk asal Kolkata itu sendiri. Manakala East Bengal pula disokong oleh golongan pendatang.

Lazimnya, purata kehadiran penonton bagi perlawanan ini adalah 100,000 orang.

Tetapi pada 1997, jumlah kehadirannya pernah mencecah 131,000 orang!

3. Saudi El Classico (Al-Ittihad – Al-Hilal)

arab

Perlawanan ini diberi nama Saudi El Clasico kerana permusuhan ini mirip permusuhan antara bandar seperti Madrid dan Barcelona. Saudi El Clasico adalah permusuhan antara bandar Riyadh dan Jeddah.

Pertemuan pertama mereka adalah pada 10 Januari 1964. Dan sejak itu, Al-Hilal merupakan pemenang paling banyak – menang 57 daripada 136 perlawanan antara dua kelab ini.

Al-Ittihad pula menang 48 kali. Selebihnya mereka seri.

Al-Hilal juga memegang rekod kemenangan terbesar dalam sejarah Saudi El Clasico. Pada Disember 2009, Al-Hilal menang 5-0.

4. Derbi Indonesia Lama (Persija Jakarta – Persib Bandung)

indo

Dalam bola sepak Indonesia, Derbi Indonesia Lama dikatakan perlawanan paling “panas” antara dua kelab besar yang berasal dari Jakarta dan Bandung.

Permusuhan ini tercipta sejak 1931.

Paling menarik, perlawanan ini juga merupakan gelanggang bagi dua gerakan ultras berpengaruh di Indonesia – Viking (Persib Bandung) dan Jakmania (Persija Jakarta) – untuk bergaduh.

Pada 27 Mei 2012, terdapat rusuhan antara dua kumpulan penyokong ini di Stadium Gelora Bung Karno. 3 orang maut dalam insiden tersebut.

Insiden ini memaksa perlawanan seterusnya di Bandung dilangsungkan tanpa penyokong.

5. Super Match (FC Seoul – Suwon Bluewings)

suwon

Perlawanan terbesar dalam kalendar bola sepak Korea Selatan ini bermula pada 1996 apabila LG Cheetahs terkena tempias Dasar Persempadanan Semula K-League yang memaksa pasukan itu dipindahkan ke bandar Anyang.

Ketika itu, nama perlawanan ini adalah Jijidae Derby. Jijidae merupakan bukit yang menghubungkan bandar Anyang dan Suwon.

Permusuhan ini juga berasaskan persaingan dua syarikat eletronik gergasi yang menjadi penaung kedua-dua pasukan iaitu LG dan Samsung.

Pada 2004, Anyang LG Cheetahs berpindah ke Seoul untuk menjadi FC Seoul. Sejak hari itu, Jijidae Derby berkubur.

Tetapi roh permusuhan bandar Seoul dan Suwon ini tetap disambung dalam derby yang dikenali sebagai Super Match.

6. Derby A’simat Al-Kuwait (Al-Arabi – Kuwait SC)

arab2

Derby A’simat Al-Kuwait turut digelar sebagai El Clasico di Kuwait kerana dua pasukan ini berasal dari dua bandar berbeza, iaitu bandar Kuwait (Kuwait SC) dan Hawally (Al-Arabi).

Mula dipertandingkan pada 21 Disember 1961, Al-Arabi mempunyai sedikit penguasaan dari segi rekod pertemuan dengan Kuwait SC.

Al-Arabi menang 58 daripada 148 perlawanan, berbanding 45 untuk Kuwait SC.

7. Shizuoka Derby (Shimizu S-Pulse – Jubilo Iwata)

shimizu

Di Shizouka, terdapat 3 daerah dibawahnya. Daerah tersebut adalah Suruga, Izu dan Totomi.

Penyokong Shimizu S-Pulse kebanyakannya berasal dari daerah Suruga. Manakala penyokong Jubilo Iwata pula dari daerah Totomi.

Permusuhan bermula ketika J League mula-mula ditubuhkan.  Peraturan J League menetapkan polisi satu kelab sahaja untuk satu daerah.

Shimizu S-Pulse merupakan kelab yang baru saja ditubuhkan pada ketika itu. Sedangkan Jubilo Iwata pula sudah lama membawa panji kebanggaan Shizuoka dalam bola sepak Jepun.

Apabila pengurusan J League membenarkan Shimizu untuk mewakili wilayah Shizouka, penyokong Jubilo Iwata menjadi marah. Dan sejak itu Shizuoka Derby tercetus.

Kali pertama mereka bertemu adalah pada 1993 di kejohanan Nabisco Cup, dimana Shimizu menang 2-0.

8. Sydney Derby (Sydney FC – Western Sydney Wanderers)

syd

Permusuhan ini boleh dikatakan masih baru kerana kali pertama dipertandingkan pada 2012.

Terdapat dua faktor utama yang mendorong permusuhan ini.

Pertama kerana faktor geografi. Sydney FC boleh dikatakan mewakili seluruh wilayah Sydney. Manakala Wanderers pula hanya mewakili bahagian barat sahaja.

Faktor kedua adalah kerana Sydney FC dikatakan sebagai kelab yang “glamour”. Lihat sahaja dahulu Sydney FC pernah memiliki lagenda Itali, Alessandro Del Piero.

Manakala Wanderers pula adalah kelab yang lebih banyak disokong oleh golongan working class Sydney.

Pertemuan pertama pada 2012 menyaksikan Sydney FC menang 1-0 hasil jaringan Del Piero.

Untuk rekod, Sydney FC menang 6 dari 12 perlawanan kesemuanya. Wanderers pula hanya mampu menang 3 dan selebihnya adalah seri.

Kesimpulan

Derby di Asia juga menawarkan atmosfera perlawanan bola sepak yang terbaik. Malah ada diantaranya lebih baik daripada derby Eropah!

Derby di Australia, Jepun dan Korea Selatan boleh dijadikan bukti untuk liga Malaysia bahawa  – 2 pasukan dari negeri sama mampu menarik jumlah penyokong yang hampir sama banyak.

Baca juga: 8 Derby Panas Yang Dipisahkan Oleh 2 Liga Berbeza