7 Perkara Buktikan TMJ Adalah Individu Terbaik Ketuai Penjenamaan Semula MFL

Tunku Ismail

Genap setahun. Itulah tempoh DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Peletakkan jawatan oleh TMJ semalam di dalam Kongres FMLLP yang berlangsung di Johor semalam adalah untuk membenarkan baginda untuk memberikan lebih tumpuan untuk membina bola sepak negara dari sebelah dalam (Liga Malaysia).

Oleh itu, kami senaraikan 7 perkara dan sebab yang dilakukan oleh baginda selam setahun, yang menjadi indikasi mengapa TMJ merupakan individu paling sesuai untuk mengetuai penjenamaan semula Malaysia Football League (MFL), yang sebelum ini dikenali sebagai FMLLP.

1. Kerjasama dengan Ampersand Sports

Pada 28 November 2017 yang lalu, DYAM TMJ selaku Pengerusi FMLLP dan Presiden FAM pada ketika itu telah memeterai perjanjian bersama Ampersand Sports Sdn Bhd sebagai agensi eksklusif bagi hak penajaan saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim 2018.

Antara peranan Ampersand ialah untuk mencari penaja bagi saingan Liga Malaysia untuk tempoh selama lima tahun. Ini bermakna TMJ selaku Pengerusi Malaysian Football League (MFL) tidak akan berurusan secara langsung dengan dana atau tajaan yang berjaya dibawa masuk ke Liga Malaysia.

Ampersand Sport adalah sebuah syarikat dibawah Ampersand Advisory yang mempunyai kepakaran di dalam bidang konsultansi digital yang menyediakan solusi perniagaan dalam data, media dan kandungan.

Bersama-sama dengan Hasnan Hassan, Tan Sri Vincent Lee bersama Trapper Media Group (Sivanathan Krishnan) dan Sandeep Joseph menubuhkan Ampersand Sport untuk menguruskan hal ehwal penajaan Liga Malaysia.

Ini sekaligus memberikan ketelusan kepada pengagihan dana daripada hasil tajaan, dan tidak melibatkan DYAM TMJ serta MFL secara langsung.

2. Kejayaan memikat Telekom Malaysia dengan jenama unifi

Kerana keyakinan terhadap pucuk kepimpinan DYAM TMJ, satu perjanjian termeterai antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi menaja Liga Malaysia.

Perjanjian dengan nilai keseluruhan RM480 juta ini adalah yang terbesar yang pernah tercatat di dalam sejarah sukan negara.

Melalui perjanjian tersebut, menyaksikan unifi, jenama utama TM menjadi penaja utama bagi saingan Liga Super sehingga 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata ketika majlis memeterai perjanjian pada Februari lalu berkata komitmen jangka panjang TM adalah satu gambaran mencerminkan nilai dan kemampuan liga bola sepak Malaysia.

Perjanjian sebegini tidak pernah terjadi di dalam sejarah bola sepak negara, dan hanya direalisasikan ketika di bawah pucuk pimpinan DYAM TMJ sebagai pengerusi MFL.

3. Deretan penaja lain: Yakult, Shopee & My Motor

Atas keyakinan akan kredibiliti dan integriti yang dimiliki oleh TMJ, kita juga menyaksikan bola sepak negara memperolehi tajaan-tajaan daripada beberapa syarikat koporat yang lain.

Antaranya ialah dengan Yakult Malaysia yang datang dengan nilai tajaan bernilai RM3.9 juta untuk skuad Harimau Malaya.

Jika tajaan untuk skuad Harimau Malaya diperolehi atas kapasiti Presiden FAM, tajaan oleh Shopee dan My Motor adalah kerana keyakinan terus terhadap TMJ selaku Pengerusi MFL.

Tatkala Shopee Malaysia tampil sebagai penaja utama pertandingan Piala FA Malaysia, My Motor tampil sebagai rakan rasmi bagi unifi Liga Super Malaysia, 100PLUS Liga Premier Malaysia 2018, Shopee Piala FA Malaysia dan unifi Piala Malaysia untuk musim 2018.

Semua tajaan ini tidak mungkin akan tiba jika tiada keyakinan di kalangan pihak penaja terhadap kepimpinan dan usaha DYAM TMJ untuk mengubah wajah bola sepak Malaysia dengan pendekatan yang berwawasan untuk membawa ke arah kemajuan.

4. Football Malaysia on iflix- siaran langsung untuk semua

Pernahkan anda mengimpikan semua perlawanan Liga Super disiarkan secara langsung selama ini? Mari kita luahkan secara jujur.

Malah kami di Semuanya BOLA pada mulanya agak skeptik dengan idea penyiaran semua perlawanan, mengambil kira landskap semasa bola sepak tanah air.

Namun di bawah pucuk pimpinan DYAM TMJ, semuanya dimungkinkan. Melalui perjanjian dengan syarikat penstriman iflix, semua 6 perlawanan unifi Liga Super dan Liga Premier terpilih akan disiarkan secara siaran langsung.

Kerjasama ini membolehkan Liga Malaysia memperolehi RM13 juta semusim selama 10 tahun . Menjawab soalan wartawan tentang pembahagian wang itu, TMJ dengan spontan menjawab, ianya hak pasukan yang bertanding dan akan diberikan kepada mereka.

Langkah ini juga membolehkan lebih banyak akses kepada konten bola sepak Malaysia. Jadi ia juga menyokong aspirasi TMJ yang mahu kembalikan bola sepak kepada rakyat.

Untuk rekod, iflix juga akan melabur 300 juta ringgit untuk menghasilkan pelbagai konten menarik berkenaan Liga-M, selain menyediakan penstriman secara langsung.

5. Pengenalan pemain asing untuk kuota ASEAN

Antara perkara pertama yang telah dilasanakan oleh DYAM TMJ untuk mengubah wajah Liga Malaysia bermula musim 2018 ialah dengan idea memperkenalkan 5 pemain asing; dengan mewujudkan kuota ASEAN di saingan Liga Super.

Langkah ini adalah bertujuan untuk menjadikan Liga Malaysia terus kompetitif di peringkat serantau terutama dari segi daya saing dan juga komersil.

Pada mulanya timbul kerisauan di kalangan pemerhati bola sepak tempatan mengenai kurangnya peluang yang akan diperolehi oleh bakat tempatan.

Namun jika dinilai secara positif, langkah ini turut memberi cabaran baru kepada pemain tempatan sedia ada serta generasi pemain akan datang untuk membuktikan keupayaan diri, sebelum merebut tempat di dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing.

Langkah ini sekaligus menjadi ‘wake-up call’ buat pemain tempatan sedia ada, bahawasanya mereka perlu sentiasa bersedia bersaing untuk menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Bukankah itu yang kita mahukan?

6. Mengubah piramid bola sepak Malaysia

Satu lagi sejarah tercipta di dalam saingan bola sepak tempatan apabila cetusan idea DYAM TMJ selaku Pengerusi MFL melahirkan Liga M4 dan Liga M5 beberapa hari yang lalu.

Jika sebelum ini, sekian lama pertandingan bola sepak domestik hanya dihiasi dengan 3 piramid pertandingan, iaitu Liga Super Malaysia, Liga Premier Malaysia dan Piala FAM, kini dua lagi divisyen tambahan menjadi keluarga baru saingan bola sepak tempatan di bawah naungan MFL.

Dalam satu kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata Liga M4 & M5 ini diadakan bagi menyediakan hala tuju liga negeri dan liga sosial dalam bola sepak Malaysia.

Untuk itu, 14 penganjur Liga Negeri dan Liga Sosial dari seluruh negara akan dijadikan asas pembentukkan Liga M5. Juara setiap liga ini akan dinaikkan ke Liga M4 yang akan bermula pada tahun hadapan.

Sudah tentu kami menjangkakan lebih banyak Liga Negeri dan Liga Sosial yang akan mengambil bahagian pada masa hadapan.

Tambahan dua divisyen ini sekaligus akan membantu menambah ‘pool’ pemain untuk skuad kebangsaan, dan turut memberi ruang kepada pasukan utama Liga Malaysia yang lain untuk meminjamkan pemain muda mereka untuk didedahkan secara pinjaman.

7. Pelesenan AFC 

Harus kita tahu terlebih dahulu bahawa perlesenan AFC dan penswastaan kelab adalah dua perkara yang berasingan, namun berkaitan.

Ringkasnya, pemberian lesen pertandingan bermakna pengurusan sedia ada mampu untuk mengurus tadbir, mempunyai sumber kewangan yang diperlukan, dan juga berintegriti (tiada penyalahgunaan dana/ meragukan), serta memastikan pemilik lesen memiliki ciri-ciri sesebuah kelab bola sepak profesional (kemudahan, fasiliti, pembangunan).

Dengan kata lain, lesen kelab diibaratkan sebagai kebenaran untuk kelab melakukan operasi yang menjadi ‘benchmarking’ sebuah kelab bola sepak yang profesional.

Untuk itu MFL telah memulakan langkah memperkenalkan pelesenan kelab sejak 2016 lagi. Apabila kelab telah diluluskan lesen, barulah penswastaan pasukan bola sepak sebagai sebuah kelab boleh dilaksanakan

Anda boleh membaca: Adakah Lulus Pelesenan Bermakna Pasukan Kena Tukar Nama FA Kepada FC. untuk kupasan lebih lanjut.

Di bawah pimpinan DYAM TMJ, kami menjangkakan baginda akan terus bertegas agar setiap pasukan untuk memenuhi kriteria pelesenan AFC.

Ini adalah untuk memastikan Liga Malaysia sentiasa seiring dengan kemajuan sukan ini di peringkat global.

Rumusan

Berdasarkan 7 perkara di atas, kita boleh melihat banyaknya sumbangan DYAM TMJ hanya di dalam tempoh setahun.

Berdasarkan sumbangan tersebut, maka kami berpendapat baginda adalah individu yang paling layak untuk mengetuai penjenamaan semula MFL.

Bayangkan tambah baik yang mampu dibawa oleh baginda kepada Liga Malaysia pada tahun-tahun mendatang.

Tahniah buat DYAM TMJ kerana kekal sebagai Pengerusi MFL daripada kami di Semuanya BOLA dan selamat maju jaya dengan tugasan serta fokus baru bersama MFL.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN