Boxing Day mungkin adalah satu hari yang sangat mengujakan di dalam kalendar bola sepak. Bukan sahaja untuk sukan bola sepak, malah sukan-sukan lain yang dimainkan pada 26 Disember turut akan dilabel dengan panggilan dan terma yang sama.
Untuk Liga Premier Inggeris (EPL), saingan Boxing Day pastinya saat yang dinantikan ketika meraikan perayaan Krismas kerana semua pasukan pasti akan berikan yang terbaik sebagai hadiah perayaan buat para penyokong masing-masing.
Bagi para penyokong pula, Boxing Day menawarkan peluang buat mereka untuk meninggalkan keluarga masing-masing, keluar daripada rumah, terlepas hidangan istimewa Krismas kemudian memenuhi cuti perayaan mereka dengan aksi bola sepak.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perlawanan Boxing Day, para pembaca boleh membaca dengan lebih lanjut penjelasan yang pernah dibawakan Semuanya BOLA melalui artikel ini.
66 gol dalam 10 perlawanan
Tidak lengkap untuk memperkatakan Boxing Day tanpa menyebut mengenai apa yang berlaku pada tahun 1963. Pada tahun tersebut, di minggu Boxing Day, 66 gol telah terhasil dalam 10 perlawanan.
Boxing Day sentiasa menjelmakan keputusan yang mengejutkan dan adakala turut menghasilkan jumlah gol di luar jangkaan untuk satu-satu perlawanan. Selain 66 ledakan gol, 7 jaringan hatrik turut berjaya direkodkan oleh 20 pasukan yang bertanding.
Itu cuma melibatkan perlawanan di divisyen satu, tidak termasuk 4 peringkat liga lagi. Jika diambil kira keseluruhan saingan liga, lebih 160 gol berjaya dihasilkan dalam semua perlawanan Boxing Day.
Keputusan yang mengejutkan ketika itu adalah Manchester United yang telah dibelasah teruk oleh Burnley dengan keputusan 1-6. Dan situasi yang berbeza pula dilalui oleh Chelsea dan Liverpool apabila berjaya merekodkan kemenangan selesa.
Chelsea menang 5-1 ke atas Blackpool, sementara tuan rumah, Liverpool pula berjaya mengatasi Stoke dengan keputusan 6-1.
Dua perlawanan yang merekodkan jumlah jaringan tertinggi pada tahun bersejarah itu adalah Fulham yang merobek gawang Ipswich 10 kali untuk menang 10-1. Blackburn yang sedang memimpin liga pula berjaya menang 8-2 ke atas lawan mereka, West Ham.
Pasukan paling berjaya dalam saingan Boxing Day
Sejak tahun 1888 hingga musim lalu, Manchester United telah merekodkan peratus kemenangan yang tertinggi bagi pasukan yang bersaing di EPL dengan 54.84% kemenangan. United telah beraksi sebanyak 93 perlawanan dengan 51 kemenangan.
Ia kemudian diikuti oleh pasukan yang berada di kedudukan ke-13 liga ketika ini iaitu Brighton & Hove Albion dengan 49.30%. Dan turut mengejutkan, Huddersfield turut berada di kelompok tiga terbaik dengan 46.75% kemenangan daripada 77 perlawanan.
Berikut merupakan ranking 10 pasukan yang kini bersaing di EPL dengan peratus kemenangan pasukan sepanjang saingan Boxing Day mengikut laporan oleh Skysports:
- Manchester United: 54.84%
- Brighton & Hove Albion: 49.30%
- Huddersfield: 46.75%
- Liverpool: 45.95%
- Everton: 44.94%
- Aston Villa: 44.33%
- Man City: 44.21%
- Chelsea: 44.05%
- Tottenham Hotspurs: 43.59
- Arsenal: 43.37%
United juga boleh berbangga dengan satu lagi rekod iaitu jaringan terbanyak sepanjang Boxing Day iaitu sebanyak 62 gol. Ia kemudian diikuti oleh Tottenham (43 gol), Liverpool (41 gol), Chelsea (40 gol) dan Arsenal dengan 37 gol telah dijaringkan.
Prestasi Boxing Day 3 musim terkini
Tiga musim terkini Boxing Day juga tidak kurang hebatnya. Ianya tetap kekal rancak dengan terdapat sebilangan perlawanan yang berjaya menghasilkan jumlah jaringan yang besar.
Namun terdapat juga perlawanan yang gagal menghasilkan gol iaitu satu pada musim 2015/16 dan satu lagi pada musim lalu.
Selain itu, turut berlaku peningkatan dalam jumlah jaringan dalam 10 perlawanan tersebut iaitu 23 gol (2015/16), 31 gol (2016/17) dan 35 gol pada musim lalu. Ia disumbang oleh kemenangan besar beberapa pasukan elit antaranya Liverpool dan Tottenham.
Trend ini mungkin menandakan bahawa musim ini juga kita bakal menyaksikan jumlah jaringan yang besar. Antara perlawanan tumpuan yang dijangka boleh menghasilkan gol yang banyak adalah pertemuan antara Huddersfield dan Manchester United.
Kembalinya lagenda Ole Gunnar Solksjaer untuk memimpin pasukan, kemenangan besar tempohari dan juga beraksi di gelanggang sendiri mungkin bakal memberikan ‘hadiah’ besar dan bermakna sempena Krismas buat The Red Devils.
Untuk aksi lain, pasukan yang boleh dianggap pasukan freescoring pula akan berdepan dengan lawan yang sedikit sukar sebagai contoh Manchester City yang akan berkunjung ke Stadium King Power untuk berdepan dengan Leicester.
Kejutan? Musim 2015/16, Southampton berjaya merosakkan mood perayaan Arsenal dengan kemenangan 4-0, sementara Stoke pula berjaya menang ke atas United dengan keputusan dua gol tanpa balas. Dua musim selepas itu, tiada kejutan besar yang berlaku.
Adakah pada musim ini kita akan menyaksikan kejutan daripada pasukan-pasukan yang dianggap kerdil? Kemungkinan itu sentiasa ada. Berikut adalah jadual Boxing Day untuk musim 2019/20.
Penutup
Sambutan Krismas pastinya tidak lengkap tanpa adanya Boxing Day. Selepas seharian bersama keluarga meraikan Krismas, keesokkannya tanggal 26 Disember, segalanya ditinggalkan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak sepanjang hari.
Ia umpama hidangan istimewa buat para penyokong bola sepak sempena perayaan Krismas! Jadi, setiap pasukan pasti akan berusaha untuk tidak merosakkan mood tersebut. Namun, kadang kala, apa yang dirancang tidak semestinya akan berjaya.
Adakah Boxing Day pada musim ini bakal menyaksikan banyak gol terhasil ataupun mungkin satu, dua kejutan? Sama-sama kita nantikan. Apa pendapat para pembaca pula?