Hanya beberapa jam setelah dilaporkan membeli sebuah kediaman di Neuilly-sur-Seine di Paris, Pierre Emerick Aubameyang dilaporkan akan menyertai Paris Saint Germain.
Laporan di Perancis pada hari ini hangat memperkatakan PSG telah mempersetujui yuran perpindahan berjumlah £61 juta dengan Borussia Dortmund.
Penyerang Gabon berusia 27 tahun itu dilaporkan akan menerima gaji tahunan berjumlah £8.75 juta setahun bersama kelab Ligue 1 itu.
Beliau juga turut dilaporkan akan menerima sejumlah £5 juta sebagai bonus pemeteraian kontrak bersama gergasi Perancis tersebut.
Perkhabaran terbaru ini hadir hanya sehari selepas Thomas Tuchel dipecat daripada jawatan pengurus Borussia Dortmund.
Walaupun memenangi Piala DFB dalam kemenangan 2-1 menentang Eintract Frankfurt di final Sabtu lalu, ia tidak memadai untuk menjamin jawatan beliau. Piala DFB adalah piala pertama dalam tempoh 5 tahun kelab berkenaan.
Aubameyang adalah salah seorang penyerang yang sering menjadi buruan kelab terkemuka seluruh eropah sejak beberapa musim yang lalu.
Beliau menjaringkan 31 gol daripada 31 penampilan di Bundesliga pada musim ini sekaligus menjadikannya pemenang anugerah kasut emas.
Aubameyang turut menyumbat sejumlah 8 gol di pentas eropah untuk Dortmund musim ini.
Walaupun beberapa buah kelab dikaitkan dengan Aubamayeng sejak beberapa bulan ini, PSG kelihatan seperti memenangi perlumbaan untuk tandatangan beliau.
Karier profesional Aubameyang bermula bersama A.C Milan di Italy. Bagaimanapun, beliau sering dipinjamkan sepanjang bersama kelab di Milan itu.
Aubameyang berpindah untuk menyertai St. Ettienne pada musim 2011 dan tampil di dalam 54 perlawanan dan menjaringkan sejumlah 29 gol.
Beliau mengambil keputusan untuk menyertai Borrusia Dortmund pada musim 2013-2014 dan terus menarik perhatian dunia dengan 85 gol daripada 128 penampilan sehingga musim ini.
Di peringkat antarabangsa, Aubameyang pernah mewakili Perancis Bawah-23 tahun sebelum mengambil keputusan menyertai skuad kebangsaan Gabon untuk penampilan senior.