6 Pembelian Terbaik EPL Musim 2019/20

Pembelian EPL

Pembelian pemain bola sepak ibarat satu pertaruhan di mana tiada sebarang jaminan pemain tersebut mampu memberikan hasil seperti yang diharapkan selari dengan nilai yang dikeluarkan untuk mendapatkan khidmat mereka.

Sejarah membuktikan, sama ada harga pemain itu tinggi atau rendah, ia tidak pernah menjanjikan pemain itu akan menghasilkan kejayaan. Apatah lagi apabila perlu beraksi dalam liga yang paling mendapat tumpuan di seluruh dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL).

Berikut kami senaraikan enam pembelian di EPL yang boleh dianggap paling berjaya pada musim ini.

1. Bruno Fernandes (Sporting Lisbon – Manchester United)

Pemain antarabangsa Portugal ini tiba di Old Trafford dengan tag harga £50 juta dan nilai itu boleh meningkat sehingga £65 juta sekiranya beliau menepati beberapa klausa dan syarat lain.

Kemasukan pemain Sporting Lisbon ke Manchester United sepertinya menjanjikan kejayaan seperti mana Cristiano Ronaldo dan Nani yang mencipta pelbagai rekod dan meraih banyak kejuaraan.

Dalam sembilan perlawanan untuk The Red Devils, Fernandes telah pun menjaringkan tiga gol dan empat bantuan jaringan. Apa yang lebih penting, sejak ketibaannya, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer belum pernah tewas.

2. Danny Ings (Liverpool – Southampton)

Selepas menjaringkan lapan gol ketika dipinjamkan ke Southampton, Ings kemudian berpindah secara tetap ke St. Mary dengan nilai cuma £8 juta sahaja dan telah pun menjaringkan 15 gol dalam 29 penampilan.

Kebangkitan semula Ings telah membantu skuad kendalian Ralph Hassenhuttle mempamerkan kebangkitan luar biasa terutamanya dalam pusingan kedua musim ini dan mula menjarakkan pasukan tersebut jauh dari zon penyingkiran.

Tiada pihak yang lebih gembira dengan peningkatan prestasi Ings melainkan bekas rakan sepasukan dan penyokongnya di Anfield di mana beliau amat popular di sana.

3. Gabriel Martinelli (Ituano – Arsenal)

Ditandatangani dari sebuah kelab kecil di Brazil dengan harga sekitar £6 juta, tiada siapa yang menyangka pemain berusia 18 tahun ini telah memberikan nilai tambah yang cukup besar buat Arsenal pada musim ini.

Selepas mempamerkan aksi konsisten bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) Arsenal, segalanya berubah apabila Martinelli menjaringkan empat gol dalam dua penampilan bersama skuad utama dan musim ini pemain tersebut sudah mengumpul 10 gol.

Bermula dengan belajar bermain bola sepak di jalanan berdekatan lapangan terbang Sao Paulo, pencapaian ini tentunya satu inspirasi buat remaja di negara kelahirannya.

4. Harry Maguire (Leicester City – Manchester United)

Tiba di Old Trafford selaku pemain pertahanan termahal di dunia tentunya satu cabaran buat Maguire. Harga £80 juta itu mengatasi nilai yang dibayar oleh Liverpool untuk mendapatkan Virgil Van Dijk dari Southampton.

Tetapi pemain pertahanan England itu telah membuktikan kualitinya dengan menampilkan aksi yang memberangsangkan sekalipun sedikit bergelut pada peringkat awal.

Selain menjadi pilihan utama dalam skuad kebangsaan, Ole Gunnar Solskjaer juga telah memberi kepercayaan kepada pemain berusia 27 tahun ini untuk memakai lilitan kapten dan beliau membalasnya dengan rekod pertahanan United yang jauh lebih baik pada musim ini.

5. Mateo Kovacic (Real Madrid – Chelsea)

Pemain Serbia ini merupakan sebahagian daripada anggota skuad Real Madrid yang menjulang piala Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tiga musim berturut-turut dari 2016 hingga 2018, tetapi sepanjang termpoh itu, beliau kerap disisihkan daripada kesebelasan utama.

Namun semua pihak menyedari kualiti yang ada pada pemain berusia 25 tahun dan beliau membuktikannya sepanjang dipinjamkan ke Chelsea sepanjang musim lepas.

Tanpa berfikir panjang, Chelsea membelanjakan kira-kira £40 juta untuk memastikan Kovacic terus kekal di Stamford Bridge untuk musim-musim seterusnya.

6. Ismaila Sarr (Rennes – Watford)

Watford telah menjadikan pemain sayap ini sebagai pembeliau termahal dalam sejarah. Selepas bermula dengan sedikit perlahan pada awal musim, Sarr akhirnya berjaya mendapatkan rentak dan menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas di EPL.

Jaringan demi jaringan dihasilkan termasuk dua gol ketika pasukannya menamatkan rekod 27 perlawanan tanpa kalah milik Liverpool pada musim ini.

Dengan nilai £27 juta, ia ternyata satu jumlah yang cukup berbaloi dengan aksi memberangsangkan yang dipamerkan oleh penyerang skuad antarabangsa Senegal tersebut.

Kredit Foto: Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liga Perdana Inggeris:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN