6 pasukan Liga Malaysia dijangka bakal dikenakan hukuman pemotongan mata akibat dari kegagalan mereka untuk membayar tunggakan gaji pemain.
Menurut laporan The Star, 2 pasukan Liga Super dan juga 4 pasukan Liga Perdana dikatakan belum lagi melunaskan bayaran tunggakan gaji pemain mereka.
Hal ini telah disahkan oleh CEO FMLLP – Kevin Ramalinggam.
Disokong TMJ
Menurut Kevin, sejumlah nilai tunggakan sebanyak RM5 juta belum lagi dilunaskan oleh 6 pasukan tersebut.
Kevin yang tidak mahu mendedahkan nama-nama pasukan tersebut berkata jumlah tunggakan itu adalah berkaitan pembayaran gaji para pemain termasuk pembayaran cukai pendapatan.
Selain itu, mereka juga tidak membayar wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada para pemain mereka.
Tambah Kevin lagi, tindakan FMLLP untuk menghukum pasukan yang tidak membayar tunggakan gaji mereka disokong penuh oleh Presiden FAM – Tunku Mahkota Johor.
Menurut beliau, TMJ turut mengambil serius hal pembayaran gaji ini seperti mana yang diperkatakan baginda sejak sebelum menjadi Presiden FAM lagi.
Jumaat
Pihak FMLLP telah pun memberi masa sehingga Jumaat ini untuk kesemua 6 pasukan Liga Malaysia untuk melunaskan semua tunggakan bayaran tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas pihak FMLLP telah memberikan terlalu banyak masa kepada para pasukan ini untuk berbuat demikian.
“Kami sudah beri kepada mereka masa yang cukup banyak untuk selesaikan hal ini.”
“Malah kami juga telah jelaskan kepada mereka hukuman yang bakal menanti andai semuanya itu tidak berjaya diselesaikan.”
Hukuman yang menanti 6 pasukan Liga Malaysia ini adalah hukuman pemotongan mata.
Sebelum ini pasukan Pahang pernah dihukum 6 mata selepas PBNP gagal melunaskan gaji untuk bekas pemain import Mohamad Borji.
Hasilnya, Pahang kehilangan slot ke Piala AFC yang kemudiannya diberikan kepada Selangor.
Baca juga: Skuad Thailand Tidak Lepas! Berakhirnya Cabaran Wakil Asia Tenggara Untuk Ke Russia 2018