Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan 6 pasukan Liga Malaysia masih belum mengemukakan dokumen kewangan sebagai proses melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M) 2019.
Sebelum ini, Perlis menjadi pasukan pertama menerima hukuman pembatalan penyertaan dalam saingan Liga Premier pada 20 Februari lalu, selepas gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh MFL.
Menurut laporan Stadium Astro, Kevin juga tidak menolak kemungkinan ada pasukan yang bakal dikenakan tindakan pemotongan mata atau sekatan perpindahan pemain susulan kesalahan melanggar tempoh pendaftaran pasukan musim ini.
“Banyak dokumen yang perlu diteliti Ahli Lembaga Pengarah MFL, ia perlu dibuat satu persatu.
“Kami menghadapi sedikit kekangan kerana kami perlu memanggil Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk bermesyuarat,” katanya.
Walaupun ada beberapa pasukan sudah mula menunjukkan komitmen untuk melangsaikan hutang tertunggak namun Kevin menegaskan pasukan itu tetap tidak akan terlepas daripada hukuman jika gagal mengemukakan dokumen mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Ada yang telah mengambil langkah-langkah baik untuk menyelesaikan tunggakan gaji sedia ada antaranya secara penuh atau ansuran tetapi kita perlu memuji bahawa ada pasukan yang memandang serius dalam isu ini.
“Namun, satu keputusan perlu dibuat atas kegagalan mereka (lewat) waktu pendaftaran itu. Walaupun, usaha baik telah dilakukan mungkin hukuman yang lebih berat dapat dielakkan tetapi mereka tetap melanggar peraturan yang ditetapkan.
“Jadi, kita tidak boleh mengatakan jika mereka telah melunaskan bayaran tunggakan, tiada apa-apa (hukuman). Kita kena ingat tarikh pendaftaran yang diberikan adalah tarikh yang munasabah dan bukan perkara yang susah dilakukan jika pasukan dapat menguruskan pendaftaran dengan baik selain isu tunggakan gaji,” jelasnya dalam Utusan Malaysia.
Oleh sebab itu, beliau harap 6 pasukan yang enggan didedahkan namanya perlu segera menyelesaikan isu tersebut sebelum pihak MFL bermesyuarat pada 15 Mac ini untuk menentukan nasib mereka.
“Jadi, kita perlu memberikan mereka ruang dan masa sebelum meminta apa-apa keputusan di mana keputusan ini boleh dibuat satu per satu dan bukannya secara berkelompok.
“Jika belum ada sebarang keputusan sebelum 15 Mac ini, ia akan dibuat dalam satu pertemuan Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL pada 15 Mac.
“Dalam pertemuan itu, saya jangka kita boleh mencapai keputusan dalam masa yang lebih singkat,” katanya.