Setelah sekian lama dikaitkan dengan Manchester United, Jose Mourinho kini sah bergelar pengurus pasukan baru mereka.
Berbekalkan status sebagai ‘proven manager’ dalam bola sepak Eropah, Mourinho perlu akur – beliau kini menguruskan kelab yang reputasinya jauh lebih besar daripada ego beliau.
Apakah cabaran yang mungkin dihadapi Jose Mourinho Di Old Trafford? Kami mengenal pasti 6 perkara yang perlu berada dalam ‘to-do-list’ beliau.
1. Merealisasikan cita-cita penyokong The Red Devils
Manchester United adalah antara kelab yang memiliki jumlah penyokong yang terbesar di dunia. Lebih besar dari Porto, Chelsea, Internazionale dan Real Madrid.
Dan sebagai kelab yang besar, cita-cita penyokong dan ahli-ahli lembaga pengarah The Red Devils juga besar dan wajib direalisasikan.
Ini bermakna Mourinho perlu melengkapkan sasaran berikut:
- menjuarai Premier League
- mengembalikan United ke kancah UEFA Champions League
- memastikan jiran dan musuh tradisi, Manchester City yang bakal diurus Pep Guardiola terus ‘senyap’
- memastikan mantra ‘knocking Liverpool right off their fucking perch’ terus berlaku
- mencapai semua sasaran di atas dicapai dengan corak bola sepak menyerang dan menghiburkan
- mencapai semua sasaran di atas dengan menggunakan pemain muda akademi
Cabaran-cabaran inilah yang telah membelenggu pengurus pasca-Sir Alex Ferguson. David Moyes dan Louis Van Gaal boleh menceritakan kepada Mourinho betapa sukarnya melengkapkan semua sasaran ini.
Ketika ini, penyokong United masih berbelah bahagi tentang perlantikan Mourinho. Penyokong United rata-ratanya gembira. Tetapi Eric Cantona tidak.
Hanya dengan mencapai semua sasaran di atas akan memastikan semua penyokong United – termasuk Cantona – untuk menyokongnya.
2. Mendapatkan sokongan alumni Class of 92
Kita sedia maklum ramai alumni Class of 92 menjadi pengulas bolasepak dan aktif di media. Meskipun tidak berada dalam kelab, pengaruh mereka masih besar. Tak keterlaluan untuk kita katakan mereka adalah amplifier suara penyokong United.
Sekali lagi, David Moyes dan Louis van Gaal boleh menceritakan kepada Mourinho betapa sukarnya mendapat sokongan bekas anak-anak buah Sir Alex Ferguson ini.
Jangan tertipu dengan sokongan awal mereka.
Ketika van Gaal mula-mula dilantik pada musim panas 2014 dahulu, Paul Scholes menggelarnya ‘pengurus yang genius.’ Selang 19 bulan kemudian, Scholes menggelar van Gaal ‘pengurus yang membosankan‘ pula.
3. Pengurusan perbelanjaaan
Salah satu sebab mengapa Louis van Gaal dipecat adalah kegagalan dua pemain berjersi no.7 yang dibelinya – Angel di Maria dan Memphis Depay.
Kita semua tahu kecenderungan Mourinho berbelanja besar membeli pemain. Tetapi untuk mengelak dirinya dibandingkan dengan kegagalan van Gaal, Mourinho tidak boleh melakukan kesilapan yang sama.
Dengan United yang dikatakan bakal menyediakan dana sehingga £200 juta untuk Mourinho, sekali lagi mereka dijangka akan diperkuatkan dengan pembelian pemain-pemain mahal (dari segi yuran perpindahan, bayaran ejen dan gaji).
Zlatan Ibrahimovic, Antoine Griezmann dan Willian adalah antara nama besar yang dikaitkan dengan United sejak kebelakangan ini. Persoalannya adakah mereka akan berjaya di United?
Dalam pada masa yang sama, Mourinho juga perlu bekerjasama dengan bakat-bakat sedia ada seperti Anthony Martial, Memphis Depay, Marcus Rashford, Jesse Lingard dan sebagainya.
4. Keharmornian pasukan
Menaikkan keharmonian pasukan juga adalah faktor yang penting untuk mengukur kejayaan Mourinho di Old Trafford.
Masih ingat bagaimana beliau – yang memanggil dirinya The Happy One ketika dilantik buat kali kedua oleh Chelsea – merosakkan keharmonian bilik persalinan Chelsea selepas memaki Dr. Eva Carneiro dan mengkritik Eden Hazard secara terbuka?
Dalam aspek ini, pujian harus diberikan kepada David Moyes dan Louis van Gaal yang sangat menitikberatkan isu ini. Mereka kerap menjadi ‘pembela’ pemain ketika di sidang media.
Jika Mourinho dapat menaikkan dan mengekalkan moral tinggi United di bilik persalinan, tak mustahil United bakal menjulang gelaran liga ke-21 seawal musim depan.
5. Pengurusan pemain & pasukan
Dikenali dengan label pengurus yang lebih gemar memilih proven players berbanding pemain muda akademi, Mourinho juga mempunyai tugas memastikan produk akademi United diberikan lebih banyak peluang dalam kesebelasan utama.
Pemain-pemain muda seperti Marcus Rashford, Jesse Lingard, Timothy Fosu-Mensah dan Cameron Borthwick-Jackson perlu terus bermain dalam pasukan senior.
Jika boleh, penyokong United juga pasti mahukan kecemerlangan karier Adnan Januzaj dan Luke Shaw dikembalikan.
Ini sesuatu yang perlu difikirkan oleh Mourinho sebelum membawa Zlatan Ibrahimovic untuk bersaing tempat dengan Marcus Rashford.
6. Manchester Derby
Ia sangat menarik kerana beliau akan bertemu seteru lama, Pep Guardiola dalam Manchester Derby selepas kali terakhir bertarung dalam El Classico.
Sejak beberapa musim kebelakangan ini, Manchester City kerap dilabel sebagai pasukan pilihan (walaupun dalam 4 pertemuan terakhir United cuma tewas sekali sahaja). Mourinho perlu memperbetulkan keadaan ini.
United perlu bergelar pasukan pilihan dan menang.
Kesimpulan
Seperti pendapat Jamie Carragher dan Phil Neville, kami melihat perlantikan Mourinho kali ini lebih kepada langkah United untuk mendapat kejayaan segera sejak bergelut dalam era pasca-Ferguson.
Sama ada Mourinho akan kekal lama di Old Trafford atau tidak adalah sesuatu yang menarik untuk dilihat dalam berberapa tahun akan datang. Ini kerana beliau juga terkenal dengan label 3rd season syndrome.
Atau adakah anda merasakan Mourinho akan meninggalkan legasi lama di Old Trafford buat kali pertama berbanding legasi sementaranya di Porto, Chelsea, Internazionale dan Real Madrid ?