Pemain import Terengganu, Issey Nakajima Farhan (gambar bawah) hari ini menyelar pihak yang memutarbelitkan satu kenyataan berkenaan produk Garmin yang disiarkan oleh beliau di media sosial sebelum ini.
Dalam satu muat naik di media sosial Facebook peribadinya, Issey Nakajima menyelar pihak yang menghasilkan artikel palsu berdasarkan tanggapan sendiri untuk merosakkan imej pemain dan pasukan yang diwakilinya.
Beberapa minggu yang lalu, tular di media sosial yang menyatakan kekecewaan Issey terhadap tahap profesionalisma Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menyediakan peralatan yang diperlukan oleh pemain.
Artikel berkenaan turut dikongsi oleh beberapa laman tidak rasmi bola sepak di Facebook.
Kenyataan daripada Issey kali ini menjelaskan makna sebenar di sebalik artikel produk Garmin yang menjadi tular dan disalah anggap oleh rata-rata pemilik laman bola sepak di media sosial.
“Artikel saya bersama dengan produk Garmin ialah untuk menarik perhatian mereka atau Polar untuk menjalinkan kolaborasi di antara mereka bersama dengan saya dan pasukan yang saya wakili, Terengganu.”
“Saya percaya dengan menggunakan gajet tersebut persembahan pasukan sepanjang musim akan dapat dipertingkatkan dengan adanya statistik dari sesi-sesi latihan serta perlawanan,” ujar Issey menjelaskan tujuan penulisan artikel tersebut.
Antara sebab Issey tertarik dengan produk tersebut ialah kebolehan gajet tersebut untuk memantau kadar degupan jantung sekaligus menilai dan melindungi kecergasan seseorang pemain.
Perkara ini adalah aspek penting dalam sukan bola sepak memandangkan terdapat beberapa kematian yang disebabkan oleh serangan jantung ketika aksi di tengah padang mahu pun ketika menyertai sesi latihan.
Seperti yang umum ketahui, Cheick Tiote (gambar bawah) adalah mangsa terbaru serangan jantung ketika sedang menjalani latihan bersama kelabnya di China.
Penggunaan peralatan keluaran Garmin ini mampu membantu pengurusan pasukan untuk mengumpul statistik kecergasan yang diperlukan.
Mengulas lebih lanjut berkenaan kisah yang direka di media sosial, Issey dipetik sebagai berkata:
“Tiada langsung dalam artikel yang ditulis oleh saya menyentuh ‘kekecewaan’ dengan pasukan Terengganu atau ‘mempersoalkan profesionalisma’ mereka.”
“Sebaliknya ianya ialah persepsi pihak lain yang menganggap artikel tersebut sebagai luahan perasaan tersebut yang langsung menyimpang dari niat asal saya.”
Issey menegaskan bahawa beliau hanya meluahkan kegembiraan kerana berjaya mendapatkan statistik melalui gajet Garmin selepas kembali menyertai sesi latihan pasukan Terengganu.
Perjumpaan Issey dengan syarikat pengeluar gajet tersebut, Garmin adalah atas inisiatif sendiri daripada beliau.
Selain daripada kemungkinan untuk mewujudkan kerjasama antara pasukannya dengan Garmin, artikel yang beliau siarkan sebelum ini juga disahkan oleh Issey sebagai satu strategi pemasaran untuk produk tersebut.
Sambil menyifatkan dirinya tidak ada kaitan dengan syarikat Garmin (wakil produk), Issey menyifatkan penyiaran artikelnya yang lalu juga bertujuan untuk berkongsi pengalaman.
Beliau menyifatkan dirinya bukanlah nama besar dalam dunia bola sepak, namun beliau masih seorang pemain yang ingin memberikan yang terbaik untuk pasukannya.
Sumber:
Issey Morgan Nakajima-Farhan, Facebook (2017), https://www.facebook.com/isseymorgan.nakajimafarran/posts/132586470652471