KAFA Tawar Pelan Pelangsaian Tunggakan Untuk Bekas Pemain Dan Pegawai, Gaji Awal Untuk Pemain Sedia Ada

Berita baik untuk skuad dan bekas pemain serta pegawai Kelantan! Sebentar tadi Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan satu usaha untuk melangsaikan semua tunggakan gaji dan pampasan.

Pemain skuad Kelantan untuk musim 2017 akan mendapat bayaran gaji untuk bulan Mei dan Jun serentak iaitu pada 20 Jun yang akan datang.

 

Ini adalah sebahagian daripada usaha KAFA untuk memastikan kesemua pemainnya dapat menyambut hari lebaran dengan gembira.

Skuad ‘The Red Warrior’ juga akan dijemput untuk satu majlis berbuka puasa pada hari penerimaan gaji berkenaan di Seri Puri, Bukit Marak, Kelantan.

Berita gembira ini disahkan melalui satu muat naik di media sosial Facebook Penasihat KAFA itu sendiri.

Melalui  muat naik yang sama, Tan Sri Annuar Musa turut mengesahkan akan berusaha menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain tempatan dan import yang persatuan terbabit masih keberhutangan.

Bagaimanapun, untuk melangsaikan hutang terbabit, satu pelan pembayaran akan ditawarkan bergantung kepada persetujuan pemain.

Pasukan Kelantan menjalani latihan di Kota Bahru.

“Sebagai satu cara membantu (tanpa bersifat prejudis), kita (penaja) secara sukarela akan menawarkan satu pelan penyelesaian kepada semua pemain import dan tempatan yang KAFA masih berhutang,” ujar Tan Sri Annuar Musa dalam muat naik tersebut.

Bagaimanapun pemain dan pegawai yang mahu hutang mereka dilangsaikan harus menerima pemotongan pembayaran gaji dan pampasan sebanyak 50% daripada KAFA.

Tan Sri Annuar Musa juga memberi jaminan segala hutang piutang persatuan terbabit akan dilangsaikan secara tunai dalam tempoh 30 hari daripada hari mereka memberi persetujuan secara hitam putih.

Sebuah firma guaman turut dilantik untuk menguruskan segala perkara berkaitan tawaran pembayaran gaji tersebut.

Surat tawaran akan dihantar oleh firma terbabit kepada semua pemain dan pegawai yang masih memiliki baki gaji dan pampasan yang tertunggak bersama KAFA.

Tan Sri Annuar Musa juga mengesahlkan bahawa langkah penyelesaian hutang dengan pelan pembayaran terbabit adalah usaha sekumpulan penaja yang bekerjasama dengan KAFA.

Velizar Popov adalah antara jurulatih yang menuntut pampasan dan gaji daripada KAFA

Bagaimanapun, tiada paksaan bagi mana-mana pemain mahupun pegawai yang tidak bersetuju dengan tawaran pelangsaian tunggakan terbabit untuk menerimanya. Ia adalah hak pemain dan pegawai yang terbabit.

Beliau menyifatkan ia hanyalah sebahagian daripada usaha pihak penaja untuk membantu kedua-dua pihak menyelesaikan kemelut yang telah lama berlarutan ini.

“Bagi yang tidak bersetuju, tiada paksaan kepada mereka (untuk menerima tawaran pembayaran), namun mereka perlu menunggu seperti biasa sehingga KAFA ada keupayaan untuk membayarnya (tunggakan),” ujar beliau dengan lebih lanjut.

Pengumuman terbaru ini pasti melegakan ramai pihak. Ia juga wajar dipuji kerana melalui pihak penaja, KAFA tetap berusaha menyelesaikan kemelut gaji dan pampasan yang menyelubungi persatuan itu sejak sekian lama.

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN