Ucapan penghormatan terus mencurah daripada keluarga, sahabat handai dan komuniti bola sepak dari seluruh dunia untuk meratapi pemergian Cheick Ismaël Tioté.
Cheick Tioté meninggal dunia pada usia 30 tahun setelah rebah ketika menjalani latihan bersama kelabnya di China pada Isnin lalu.
Pemain antarabangsa Ivory Coast ini bukanlah pemain yang mempunyai nama ketika beliau tiba di England pada tahun 2010 daripada Twente.
Latar Belakang
Tioté dilahirkan di Yamoussoukro, Ivory Coast. Bandar yang terletak di sebelah barat benua Afrika itu adalah tempat di mana Tioté menjalani kehidupan kanak-kanaknya.
Seperti kanak-kanak yang lain, Tioté gemar bermain bola sepak jalanan di sekitar bandar Yamoussoukro dengan berkaki ayam kerana tidak mampu untuk membeli sepasang kasut sehingga berusia 10 tahun.
Bagaimanapun bakat dan kualiti yang ada pada anak muda ini dikesan oleh sebuah kelab bola sepak yang berpangkalan di Ivory Coast, FC Bibo.
Ketika beraksi bersama FC Bibo, bakatnya ditemui pula oleh pencari bakat untuk untuk kelab Belgium, Anderlecht. Tiote kemudiannya diterbangkan ke Belgium dengan tawaran kontrak selama 3 tahun pada tahun 2005.
Ke Eropah
Inilah pertama kali Tiote mendapat peluang beraksi di Eropah. Sepanjang bersama Anderlecht, Tiote hanya tampil 4 kali untuk skuad senior kelab Belgium tersebut.
Pada tahun 2007, Tiote ditawarkan untuk beraksi secara pinjaman ke Belanda bersama Roda JC. Beliau tidak memandang ke belakang selepas itu.
Bersama Roda JC, Tiote menjadi antara pemain tengah terbaik di Liga Belanda. Beberapa buah kelab mulai mengintai potensi untuk mendapatkan beliau, namun Tiote memutuskan untuk kekal di Belanda.
Pada musim panas tahun 2008, Cheick Tiote menyertai FC Twente dengan yuran perpindahan sekitar £750,000.
Tiote juga membuktikan beliau boleh bermain di pentas tertinggi apabila menunjukkan permainan yang cemerlang dalam aksi Europa League dan Champions League.
FC Twente Dan Newcastle United
Ketika bekas pengurus England Steve McClaren mengendalikan FC Twente, Tiote adalah antara pemain yang memainkan peranan penting untuk membawa kejuaraan Eredivisie buat pertama kali untuk FC Twente pada musim 2009-2010.
Tiote turut membantu FC Twente menewaskan Ajax Amsterdam untuk memenangi Dutch Supercup pada permulaan musim berikutnya.
Pada 26 August 2010, Cheick Tiote diumumkan sebagai pemain Newcastle United dengan yuran perpindahan bernilai sekitar £3.5 juta.
Bersama kelab yang berpangkalan di St.Jame’s Park itu, Tiote membuat penampilan sebanyak 161 kali.
Satu-satunya jaringan Tiote untuk skuad The Magpies adalah jaringan penyamaan ketika menentang Arsenal pada Februari 2011.
Newcastle United ketinggalan 4-0 sebelum bangkit mengikat The Gunners dengan jaringan 4-4 dalam perlawanan di St. Jame’s Park itu.
Pentas Antarabangsa
Kehebatan Cheick Tiote turut membuatkan beliau mendapat panggilan untuk beraksi di pentas antarabangsa.
Di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Cheick Tiote muncul dalam kesemua 3 perlawanan peringkat kumpulan namun gagal membantu negaranya melayakkan diri ke peringkat kalah mati.
Cheick Tiote tampil sebanyak 52 kali untuk negaranya dan turut menjaringkan hanya 1 gol sepanjang aksi di pentas antarabangsa.
Tiote yang mempunyai perwatakkan yang rajin di atas padang dan mempunyai visi luar biasa dalam permainnanya turut membantu Ivory Coast ke perlawanan akhir Piala Afrika pada tahun 2012 di Gabon.
Namun Tiote dan Ivory Coast dikecewakan oleh Zambia melalui penentuan sepakan penalti apabila Kolo Toure dan Gervinho gagal menyempurnakan sepakan masing-masing.
Pada Piala Dunia 2014 di Brazil, Tiote dan Ivory Coast terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-3 Kumpulan C apabila tewas dua kali dan hanya menang 2-1 ketika bertemu dengan wakil Asia iaitu Jepun.
Kehidupan Peribadi
Cheick Tiote mempunyai tiga isteri dalam kehidupannya. Tiote tinggal bersama isterinya, Madah dan dua anaknya di kediaman mereka di Ponteland, Newcastle.
Beliau kemudiannya mengahwini Laeticia Doukrou dalam satu majlis di Ivory Coast untuk perkahwinan keduanya.
Tidak lama kemudian, laporan di Britain melaporkan bahawa Tiote turut mempunyai seorang isteri di Zimbabwe, Nikki Mpofu yang turut telah melahirkan seorang anak untuk beliau.
Di mata masyarakat di Eropah, memiliki lebih daripada seorang isteri yang sah adalah sesuatu yang janggal.
Bagaimanapun ia bukanlah satu amalan yang pelik memandangkan Cheick Tiote adalah seorang Muslim yang patuh kepada ajaran Islam.
Rumusan
Cheick Tiote menyertai Beijing Enterprise pada Februari lalu untuk bermain dalam aksi Liga 1 China.
Berita kematiannya semalam mengejutkan ramai pihak terutama di kalangan keluarga, sahabat handai dan bekas rakan sepasukan.
Bola sepak telah kehilangan satu lagi bintang sebelum tiba masanya. Damailah di sana Cheick Tiote.