5 Sebab Untuk Tangkis Tanggapan TMJ Tidak Layak Kemudi Harimau Malaya

TMJ Presiden FAM Harimau Malaya Pengurus 2021

Umum sudah mengetahui tentang tawaran DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk mengemudi skuad Harimau Malaya.

Semuanya BOLA telah mengupas mengenai lima sebab TMJ tidak wajar mengemudi skuad Harimau Malaya sebelum ini. Kali ini kita akan melihat kepada mengapa TMJ sebenarnya layak untuk mengemudi skuad kebangsaan sebagai seorang pengurus.

Tidak dapat dipastikan apa yang dimahukan oleh TMJ, sama ada mengambil alih terus kepimpinan pengurusan skuad kebangsaan yang kini di bawah Presiden FAM ataupun hanya sekadar menjadi pengurus. Yang realistiknya, adalah menjadi pengurus.

Ini kerana, pengurusan skuad negara dalam Statut FAM edisi 2020 adalah di bawah Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan. Statut persatuan sukan tidak boleh diubah begitu sahaja, jadi apa yang dimaksudkan TMJ mungkin pengurus.

Banyak perkara yang positif yang dapat kita rungkaikan jika individu seperti TMJ berada dalam skuad kebangsaan. Kita perlu terlebih dahulu meletak tepi sentimen kenegerian ataupun pasukan yang dimilikinya ketika ini, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pengurus sekarang pun ada kepentingan di Melaka United

Sebagai pemilik JDT, mungkin banyak pihak akan mengatakan TMJ tidak sepatutnya terlibat dengan skuad kebangsaan. Jawatan pengurus ketika ini dipegang oleh Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA). Jadi, tidak timbul isu tersebut kerana ketika ini pun skuad kebangsaan dikemudi oleh individu yang ada kepentingan di pasukan yang bersaing di liga.

Pernah pada satu ketika, pengurus pasukan adalah jurulatih skuad kebangsaan sendiri. Ini berlaku ketika TMJ menjadi Presiden FAM apabila Nelo Vingada dilantik menjadi jurulatih pasukan dan pengurus skuad Harimau Malaya dalam masa yang sama.

Pelantikan pengurus adalah di bawah bidang kuasa Presiden FAM. Disebabkan itu, kita dapat melihat TMJ dengan rendah dirinya ‘memohon’ kepada Presiden FAM untuknya mengemudi skuad kebangsaan. Ia dapat dilihat menerusi posting di Instagramnya.

Dalam Artikel 44, Statut FAM edisi 2020, telah menyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan atau Presiden FAM mempunyai kuasa mutlak dalam semua aktiviti berkaitan skuad kebangsaan termasuk pelantikan pegawai pengurusan.

Peribadi, visi dan misi TMJ 

Sebagai seorang anak raja sebagaimana yang sering disebut oleh pelbagai pihak, TMJ mungkin tidak perlu sampai ke tahap merendah diri untuk meminta bagi menguruskan skuad kebangsaan. Jadi, tindakannya itu mencerminkan bagaimana peribadinya.

Beliau menghormati kepimpinan sedia ada dalam menguruskan skuad kebangsaan. Cuma, beliau mahukan ruang untuk beliau memperbaiki apa yang boleh di dalam skuad kebangsaan ketika ini. Menurutnya, kekurangan kepimpinan antara aspeknya.

TMJ juga adalah pemilik pasukan yang mempunyai visi dan misi yang akan sentiasa cuba dijayakannya. Saban tahun kita melihat perubahan yang beliau lakukan di JDT bagi membolehkan Harimau Selatan berdaya saing di peringkat lebih tinggi.

Sebagai individu yang ‘gila’ dengan bola sepak, beliau meletakkan sasaran yang tinggi kepada pasukannya dan tentunya sasaran mereka adalah menjuarai AFC Champions League di masa akan datang. Beliau bukan sekadar ‘bercakap besar’ mengenainya.

“2013 adalah latihan, 2014 adalah masa memanaskan badan dan 2015 adalah masa perlawanan” antara ungkapan TMJ mempamerkan bahawa beliau memiliki sasaran dalam apa yang beliau lakukan terutamanya ketika membina empayar JDT.

Kini, sejak JDT tertubuh pada 2013, Harimau Selatan sudah merangkul tujuh kejuaraan Liga Super secara berturut-turut dan secara konsisten bersaing di saingan peringkat kumpulan AFC Champions League untuk empat musim berturut-turut.

Kita dapat melihat perubahan demi perubahan dirancangnya bersama JDT. Sayangnya, aspirasinya kurang dikongsi oleh pasukan-pasukan lain yang bersaing di Liga Malaysia.

Bimbang dengan DNA dan hala tuju F:30?

Mengapa perlu bimbang kepada DNA dan hala tuju F:30 yang dilancarkan oleh FAM sendiri? TMJ hanya sebagai pengurus skuad kebangsaan dan tiada bidang kuasa untuk sewenang-wenangnya ‘membuang’ ketetapan yang dibuat oleh FAM.

Sebagai individu yang dilantik oleh Presiden FAM nanti, TMJ harus bersama-sama menjayakan perkara ini. Sebagaimana yang diulas dalam salah satu isu TMJ tidak layak iaitu, semua pihak perlu turut serta dalam mencapai objektif yang sama.

Dalam posting di Instagram TMJ menyatakan, “Lepas ni naturalisasi jangan bagi sebarang sebarang. Ia akan dikawal dan dianalisis oeh pasukan teknikal skuad kebangsaan. Sama ada pemain sesuai atau tidak dengan corak permainan kita.”

‘Sesuai atau tidak dengan corak permainan kita’ di sini memperlihatkan yang TMJ tidak akan mengubah apa-apa yang baik yang berada di dalam skuad kebangsaan ketika ini.

Corak permainan skuad kebangsaan ketika ini memang mengikut apa yang telah pun dirancang oleh FAM. Dan, TMJ juga dilihat tiada masalah dengannya apabila corak permainan JDT juga hampir sama dengan apa yang diadunkan di peringkat nasional.

Hanya satu persoalan ketika ini, adakah Roadmap F:30 yang dilancarkan oleh FAM pada 2018 masih di landasannya? Fasa pertama akan berakhir pada tahun 2022 dan adakah semua yang telah dirancang telah dicapai dalam fasa pertama ini?

Persepsi terhadap skuad kebangsaan

Ini adalah yang paling sukar untuk diuruskan. Walaupun TMJ ketika ini tidak terlibat dalam skuad kebangsaan, beliau sentiasa menjadi tumpuan jika Harimau Malaya gagal beraksi dengan baik. Ini disebabkan majoriti pemain skuad negara adalah dari JDT.

Begitupun, jika TMJ benar-benar serius untuk mengambil alih sebagai pengurus skuad kebangsaan, persepsi negatif perlu beliau tolak ketepi dahulu. Abaikan ‘mulut longkang’ yang mengkritik kerana akhirnya keputusan yang akan menutup mulut mereka.

Skuad kebangsaan perlu mula mempamerkan sesuatu yang positif di bawahnya. Lama kelamaan, persepsi tersebut dengan sendirinya akan hilang di bawa angin. Ia tidak mudah, sesiapa sahaja tidak akan terlepas daripada persepsi negatif waima anak raja.

Isu naturalisasi yang menguntungkan sesebuah pasukan sahaja? Sebenarnya, isu ini tidak perlu dibangkitkan dalam perbincangan artikel TMJ tidak layak mengemudi Harimau Malaya. Ia adalah isu yang melibatkan semua pasukan sebenarnya!

Mengapa dikatakan begitu? Naturalisasi akan menguntungkan pasukan yang bersaing di liga kerana pemain itu boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, tetapi tidak semestinya mereka akan lebih mudah terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan.

Isu ini menjadi sensasi kerana TMJ kerap menaturalisasi pemainnya. Ini adalah untuk kelebihan skuad JDT, tetapi dalam pada masa yang sama, skuad kebangsaan boleh menilai pemain itu sesuai atau tidak untuk menyarung jersi skuad negara.

Tak semestinya menjadi pemain tempatan melayakkan anda untuk bersama Harimau Malaya. Mereka perlu buktikan sesuatu terlebih dahulu di saingan liga untuknya.

Fasiliti, kepakaran, kewangan dan penajaan

Daripada aspek ini, rasanya semua sudah tahu. Semua aspek itu yang membantu JDT menjadi antara kelab yang pantas berkembang di Asean dan Asia. Jadi, amatlah rugi untuk skuad negara untuk tidak sama-sama berkongsi rasa kelebihan tersebut.

TMJ mampu membawa semua itu dalam membantu skuad kebangsaan jika diberikan ruang. Aspek ini bakal memberikan kelebihan buat skuad Harimau Malaya dalam usaha untuk bersaing dengan lebih kompeten di peringkat antarabangsa amnya.

Fasiliti terbaharu mereka, Pusat Latihan Bersepadu JDT yang bakal dibina selepas ini menampakkan satu lagi usaha gigih TMJ dalam mengukuhkan pasukannya.

Kepakaran ini mungkin aspek yang bakal membantu. Mengapa dikatakan begitu? Tan Cheng Hoe mungkin pakar dalam taktikal dan corak permainan skuad negara tetapi isu pemain yang diturunkannya kini mula menimbulkan persoalan para penyokong.

Isu kecergasan Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh antaranya yang memberi kesan terhadap rekodnya sejak membimbing Harimau Malaya. Mungkin dengan kepakaran yang bersesuaian, Cheng Hoe akan mendapat nasihat yang bagus.

TMJ juga dikenali dengan kesanggupannya untuk berkorban. Beliau telah berkorban masa, wang ringgit, emosi, jiwa raga malah status serta martabatnya sebagai anak raja bagi memastikan JDT menjadi gah sebegini di Malaysia dan Asia Tenggara.

Jadi, dari aspek kewangan, rasanya TMJ sudah bersedia berkorban apabila memohon untuk tugasan ini. Penajaan mungkin perkara paling mudah buatnya kerana TMJ sudah terkenal dan mampu menarik penajaan yang baik untuk skuad negara.

Penutup

Sebagai individu yang pernah memimpin FAM, TMJ tentunya sudah masak dengan selok belok di dalam persatuan tersebut. Beliau kini hanya mahu menguruskan skuad kebangsaan yang dilihat kurang dari aspek kepimpinan setakat ini.

Hasrat TMJ seharusnya disambut baik semua pihak dan menerusi kenyataan Presiden FAM tempohari, perkara ini akan dibincangkan dalam masa yang terdekat.

Baca lagi artikel lain mengenai bola sepak tempatan dan luar negara:

Euro 2020: 4 Sebab England Akan Kecewa & “Footballs’s Coming Home” Hanya Sekadar Retorik

Mokhtar Dahari Terpaksa Tolak Tawaran Real Madrid Kerana Sebab Murni Ini

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN