5 Sebab Real Madrid Akan Pertahankan Kejuaraan La Liga 2017/18

Awal pagi nanti, perlawanan Super Cup Sepanyol akan menemukan dua pasukan terhebat di dalam bola sepak Sepanyol, Real Madrid dan juga Barcelona.

Real Madrid tampil sebagai pemenang La Liga, manakala Barcelona adalah juara Copa del Rey musim lalu.

Perlawanan ini bermakna La Liga akan bermula tidak lama lagi. Sepak mula musim baharu La Liga ialah pada 19 Ogos. Perlawanan pembukaan La Liga membabitkan pertemuan di antara CD Leganes menentang Deportivo Alaves.

Siapakah pilihan anda untuk menjulang kejuaraan La Liga bagi musim 2017/18. Artikel ini menampilkan 5 sebab Real Madrid mampu mempertahankan kejuaraan liga bola sepak utama di Sepanyol ini.

1. Keserasian Pasukan

Satu perkara yang sering menjadi masalah sebuah pasukan yang sering membawa pemain bintang baharu ialah ia akan menyebabkan masalah keserasian di kalangan kesebelasan utama pasukan.

Kini masalah tersebut bukan lagi satu isu di Santiago Barnebeu. Malah keserasian dan hubungan sesama pemain tampak lebih bagus daripada sebelumnya.

(Photo by Ahmad Mora/NurPhoto via Getty Images)

Daripada posisi penjaga gol yang masih lagi milik Keylor Navas, sehinggalah kepada penyerang Karim Benzema, kesemua pemain utama Real Madrid sudah berada di dalam pasukan ini sejak 3 tahun yang lalu.

Dan di antara mereka, hanya Navas dan Casemiro yang merupakan kesebelasan utama sejak 2 musim yang lalu, manakala pemain-pemain lain sudah beraksi bersama sekurang-kurangnya 3 musim.

(Photo by Ira L. Black/Corbis via Getty Images)

Perpindahan Alvaro Morata, James Rodriguez dan Danilo mungkin dilihat membuatkan kerusi bangku simpanan seperti kekurangan pengalaman, namun kemasukkan Theo Hernandez, Dani Ceballos, Jesus Vallejo dan Marcos Llorente mengimbangi kehilangan itu.

Nama-nama baru ini mungkin kekurangan pengalaman berbanding dengan pemain sebelumnya, namun pembelian mereka jelas menunjukkan Real Madrid sentiasa merancang untuk masa hadapan.

Kita semua tahu. Keserasian yang baik, akan meningkatkan lagi peluang pasukan untuk memenangi kejuaraan.

2. ‘Squad depth’ yang lebih baik

Selepas Real Madrid kehilangan 3 pemain penting, anda mungkin mempersoalkan squad depth yang dimiliki oleh pasukan Los Blancos untuk menghadapai saingan pada musim ini.

Pada perlawanan pra musim yang lalu, jentera serangan Real tampak lemah tanpa kelibat Cristiano Ronaldo yang masih bercuti dan juga Morata yang berpindah ke Chelsea.

Namun posisi di jentera tengah dan pertahanan telah dipertingkatkan oleh Zinedine Zidane.

(Photo by Antonio Villalba/Real Madrid via Getty Images)

Di tengah, Los Blancos memiliki Dani Ceballos, pemain terbaik kejohanan Euro B-21 dan juga Marcos Llorente (gambar atas) pemain tengah No.6 (holding midfielder) kedua terbaik di La Liga jika statistik bersama Alaves pada musim lalu diambil kira.

Kehadiran 2 pemain ini bukan sekadar menambah kualiti kepada pasukan, namum ia memberi pilihan taktikal yang lebih luas kepada Zidane berdasarkan keupayaan 2 pemain tersebut.

Di bahagian pertahanan, Theo Hernandez (gambar bawah) akan menjadi pembantu kepada Marcelo di posisi bek kiri manakala Jesus Vallejo dilihat sebagai pengganti Pepe satu hari nanti.

(Photo by Angel Martinez/Real Madrid via Getty Images)

Perpindahan Danilo juga bukanlah masalah buat Zidane dan Real Madrid, jika persembahan Achraf Hakimi sepanjang jelajah pra musim diambil kira. Pemain berusia 18 tahun itu hanya memerlukan lebih banyak minit untuk berasksi dalam saingan kompetitif serta bimbingan dari pemain senior di dalam pasukan untuk membina keyakinannya.

3.  Kebangkitan Casemiro

Amat jarang sekali kita melihat pemain No.6 mendapat kredit daripada peminat bola sepak hasil kerja kerasnya di atas padang. Namun kebangkitan Casemiro sejak kembali dari pinjaman di Porto dua musim yang lalu wajar mendapat perhatian ramai.

Bukanlah satu kebetulan untuk Real Madrid mencapai kejayaan di dalam pertandingan UEFA Champions League (UCL) untuk 2 musim berturut-turut sebelum ini dengan Casemiro bermula di kedua-dua aksi perlawanan akhir. Tetapi itu bukan penghujung kepada pemain berusia 25 tahun ini.

(Photo by Ian MacNicol/Getty Images)

Ketika menentang Manchester United dalan perlawanan UEFA Super Cup, Casemiro menunjukkan dirinya boleh menambahbaik satu lagi aspek kelemahan miliknya, iaitu cara menggunakan bola.

Hantaran Casemiro dalam perlawanan tersebut amat menakjubkan. Salah satu hantarannya melepaskan Gareth Bale untuk berhadapan dengan De Gea secara satu lawan satu, hampir menghasilkan jaringan pertama untuk Real Madrid.

Kehadiran Casemiro penting untuk Zidane terutama dalam perlawanan besar.

Pengendali dari Perancis itu juga boleh menggunakan Casemiro sebagai pemain tengah ‘box to box’ dengan kebebasan membuat larian untuk memecahkan sistem permainan lawan.

Kepelbagaian kepada keupayaan Casemiro boleh membantu Real Madrid untuk mempertahankan kejuaraan La Liga musim baharu ini.

4. Seteru yang tempang

Di La Liga, anda harus menjadi juara. Anda akan dianggap gagal jika gagal menjulang kejuaraan pada musim tersebut. Demikianlah ia untuk 3 pasukan seperti Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid.

Persiapan Barcelona dan Atletico Madrid tampil sedikit tempang menjelang sepak mula La Liga musim akan datang.

Atletico tidak ada cara untuk menambahbaik skuad , dan terpaksa bergantung kepada pemain sedia ada kerana tidak dibenarkan mendaftar pemain baharu oleh UEFA. Pergantungan ini akan diteruskan sehingga jendela perpindahan Januari nanti.

(Photo credit should read PHILIPPE LOPEZ/AFP/Getty Images)

Perpindahan Theo Hernandez ke Real Madrid, Matias Kranevitter ke Zenit dan juga Oliver Torres ke Porto bermakna squad depth mereka tampak sangat tipis.

Bagi Barcelona, kekuatan di bahagian tengah sentiasa menjadi isu jika Real Madrid dijadikan perbandingan. Perpindahan Neymar merencatkan lagi perancangan mereka.

Barcelona cuba mendapatkan pengganti melalui jendela perpindahan musim panas ini. Sehingga kini, belum ada kepastian siapakah yang akan mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Neymar.

Siapapun pemain baharu yang akan tiba di Nou Camp, Ernesto Valvarde punyai tugas yang berat untuk mengadun keserasian di dalam pasukan Barcelona pada musim baharu akand datang.

Barcelona perlukan lebih masa untuk itu.

5. Sentuhan Zinedine Zidane

Sebab terpenting jika Real Madrid mampu mempertahankan gelaran La Liga pada musim akan datang ialah Zinedine Zidane. Sejak mengambil alih sebagai pengendali di Santiago Barnebeu, segalanya tampak menjadi bagi Los Blancos.

Semusim setengah bersama Real Madrid, Zidane telah mengumpul 6 trofi. Ini termasuklah 2 gelaran UCL.

(Photo by Gonzalo Arroyo Moreno/Getty Images)

Ramai di kalangan pemerhati bola sepak sebelum ini bertanggapan Zidane bernasib baik kerana mengendalikan sebuah pasukan yang kaya dengan bakat bola sepak luar biasa.

Anda silap jika mempunyai pendapat sedemikian. Zidane jelas punyai kepakaran taktikal. Zidane menukar formasi kepada 4-3-1-2 Real Madrid pada musim lalu, dan ini membantu mereka untuk berjaya di Eropah.

Di perlawanan akhir UCL, kita menyaksikan bagaimana sistem 2 pivot Real Madrid menamatkan asakann Juventus pada separuh masa kedua.

Malah ketika menentang Manchester United dalam perlawanan pra musim yang lalu, Zidane menunjukkan sekali lagi kepakaran beliau di dalam mengendalikan taktikal pasukan.

Pada mulanya Zidane menggunakan sistem 4-2-1-2. Kemudiannya, Zidane mengarahkan Benzema untuk turun sedikit ke bawah, sekaligus menjadikan Isco seorang pemain trequartista dalam formasi 4-3-2-1.

(Photo by Denis Doyle/Getty Images)
Restrictions

Perubahan taktikal ini adalah punca kepada jaringan kedua Real Madrid dan merupakan gol kemenangan ke atas United dalam perlawanan tersebut.

Untuk saingan pada musim hadapan, kami menjangkakan lebih banyak taktikal ‘masterclass’ dari Zidane. Juara La Liga 2017/18? Kenapa tidak?

Rumusan

Apa pendapat penyokong Real Madrid dan pengikut bola sepak di La Liga? Kami mahu mendengar daripada anda. Jika Barcelona dan Atletico Madrid adalah pilihan anda, berikan pendapat anda di ruangan komen.

Sumber:

1. Tashan Deniran-Alleyne, Squawka (2017): http://www.squawka.com/news/casemiro-is-real-madrids-most-important-player-says-max-allegri/955437#yvmMUpwEj2lfc5Go.97

2. Sid Lowe, The Guardian (2017): Real Madrid show sheer strength in depth as La Liga title moves into view; https://www.theguardian.com/football/2017/may/08/real-madrid-la-liga-title-strength-in-depth-granada-tony-adams

3. Michael Cox, Zonal Marking (2017): Real Madrid 4-1 Juventus: Real initially weak down the right, before dominating that flank; http://www.zonalmarking.net/2017/06/06/real-madrid-4-1-juventus-real-initially-weak-down-the-right-before-dominating-that-flank/

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN