Apabila Chelsea tewas 1-3 kepada Southampton di Stamford Bridge pada Sabtu lepas, itulah kali pertama Jose Mourinho melihat Chelsea bolos lebih daripada 2 gol di Stamford Bridge.
Baru 8 perlawanan liga berlangsung, Chelsea sudah bolos 17 kali. Musim lepas, Chelsea hanya bolos 8 gol dalam 8 perlawanan liga.
Musim ini, mereka adalah pasukan kedua paling banyak bolos dalam liga.
Apa sebenarnya yang berlaku? Bagaimana daripada seorang juara, Chelsea berubah kepada pasukan yang goyah? Inilah soalan yang paling banyak kami terima di inbox fanpage Facebook kami.
Masih terlalu awal?
Pertama sekali, kami ingin tekankan bahawa mempertahankan kejuaraan adalah kerja yang lebih sukar daripada memenanginya. Apabila anda bergelar juara, semua pasukan akan mengkaji pasukan anda seperti buku Fizik Tingkatan 5.
Apabila kalah, pasukan anda akan berada dalam kitaran yang kejam (vicious cycle). Kalah -> keyakinan rendah -> kesilapan individu -> keyakinan jatuh -> banyak kesilapan individu -> keyakinan jatuh lagi -> lebih banyak kesilapan individu dan seterusnya…
Untuk berlaku adil kepada Jose Mourinho, beliau sudah melakukan segala tips-tips pengurusan ketika pasukannya kalah.
i. Beliau memilih untuk fokus kepada aspek positif persembahan pasukannya walaupun keputusan tidak memihak mereka. Contoh: (seri 2-2 vs Swansea), (kalah 1-2 vs Crstal Palace), (kalah 1-3 vs Everton).
ii. Beliau mengalih perhatian media kepada persembahan buruk pengurus Chelsea sebelumnya. Contoh: (kalah 0-3 vs Man City), (kalah 1-3 vs Southampton)
iii. Beliau mengkritik keseluruhan pasukannya. Contoh: (seri 2-2 vs Newcastle United)
iv. Beliau mengkritik persembahan beberapa individu dalam pasukannya. Contoh: (kalah 1-2 vs Crystal Palace), (kalah 1-2 vs Porto)
v. Beliau mengalih perhatian media kepada kesilapannya sendiri. Contoh: (kalah 1-3 vs Everton)
vi. Beliau mengalih perhatian media kepada pengadil. Contoh: (kalah 1-3 vs Southampton)
Jelas sekali, Mourinho telah melakukan segalanya untuk menamatkan rentetan kekalahan Chelsea. Tetapi apakah punca prestasi buruk Chelsea pada awal musim ini?
Kami merujuk kepada beberapa laman web peminat Chelsea dan komen mereka di Reddit untuk mengetahui puncanya. Ini adalah 5 punca paling popular yang dikemukakan oleh penyokong Chelsea:
1. Tidak memberi peluang kepada pemain lain
Menurut penyokong Chelsea di CFCnet, satu polisi pengurusan Mourinho yang mereka tak gemar adalah – membeli pemain dengan harga mahal dan tidak memberi peluang bermain dari minit 1′.
Kepercayaan Mourinho terhadap core pasukannya sangat tinggi sehinggakan pemain lain hanya mendapat maksimum 20 minit di akhir perlawanan untuk menunjukkan bakat mereka.
Mohamed Salah, Andre Schurrle dan Juan Cuadrado adalah antara beberapa pemain yang tidak mendapat peluang yang cukup untuk menunjukkan kebolehan mereka sebagai kesebelasan utama.
Victor Moses adalah pemain Chelsea yang paling menyerlah ketika perlawanan pra-musim 2015/2016. Mourinho bertegas mengatakan Moses akan menjadi sebahagian pasukan Chelsea pada musim ini.
Tetapi akhirnya Moses dipinjamkan ke West Ham pula.
Ruben Loftus-Cheek juga tak diberikan peluang untuk bermain sedangkan semua penyokong Chelsea tahu; Loftus-Cheek lebih mobile dan laju daripada John Obi-Mikel, dan lebih baik daripada Ramires daripada aspek pertahanan.
Keputusan Chelsea untuk menjual Ryan Bertrand dan Felipe Luis juga mengecewakan penyokong mereka.
Bertrand sudah membuktikan kebolehannya semasa Roberto de Matteo membawa Chelsea menjuarai Champions League. Felipe Luis pula adalah nama tetap kesebelasan utama Atletico Madrid yang menamatkan dominasi Barcelona dan Real Madrid dalam La Liga.
Tetapi kedua-dua mereka masih dianggap bek kiri pilihan kedua dibelakang Cesar Azpilicueta, yang berkaki kanan. Ini membawa kepada punca kedua paling popular…
2. Persembahan buruk Ivanovic
Selepas kekalahan 1-2 Chelsea kepada Crystal Palace, wartawan Bleacher Report, Garry Hayes, mengajukan soalan unik kepada pengurus Palace, Alan Pardew.
“Adakah anda sengaja mengarahkan Yannick Bolasie dan Wilfred Zaha menyerang kawasan Branislav Ivanovic?”
Alan Pardew menjawab:
“Ya. Itu memang jelas sekali.”
Ivanovic adalah sebahagian daripada kelompok pemain yang sangat dipercayai oleh Mourinho. Beliau adalah nama tetap kesebelasan utama Chelsea yang memenangi liga pada musim lepas. Jadi kami faham mengapa Mourinho mempercayainya.
Tetapi ketika ini, sudah jelas lagikan bersuluh, Ivanovic perlukan satu tempoh di bangku simpanan untuk menilai kembali persembahannya.
Apatah lagi bila beliau dengan mudahnya ‘diayamkan’ oleh Dusan Tadic dalam situasi 1 lawan 1 pada Sabtu lepas.
Ramai pemyokong Chelsea mahu melihat Cesar Azpilicueta kembali mengambil posisi bek kanan. Baba Rahman pula diberi peluang di posisi bek kiri.
Dengan Baba Rahman di bek kiri, beliau boleh membuat larian overlapping dan membekalkan hantaran lintang setiap kali Eden Hazard masuk ke tengah (cuts inside).
3. Fabregas dipasangkan dengan Matic
Ketika Chelsea membeli Fabregas daripada Barcelona, dari awal lagi Mourinho sudah menjelaskan di posisi mana Fabregas akan bermain.
“Bagi Barca, dia (Fabregas) adalah false nine, pemain no.10 dan pemain sayap. Tetapi saya dan dia tahu posisi terbaik untuknya. Itu yang saya akan beri kepada dia.”
Di Chelsea, Fabregas bermain di samping Matic. Di hadapan 2 pertahanan tengah dan di belakang pemain no.10.
Pada awal musim 2014/2015, keputusan Mourinho untuk meletakkannya di samping Matic nampak berkesan. Kedua-dua pemain saling melengkapi antara satu sama lain.
Tetapi sepantas Fabregas memnyesuaikan diri di Chelsea, sepantas itu jugalah pasukan lain mendapat tahu kelemahan Fabregas adalah aspek pertahanannya.
Tugas defensif di jentera tengah dipikul oleh Matic seorang. Gary Cahill (dan Kurt Zouma) seringkali terpaksa keluar dari posisi mereka untuk mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Fabregas setiap kali Chelsea kehilangan bola.
Ramai yang berpendapat Fabregas patut bermain di posisi no.10. Di hadapan 2 pemain tengah dan di belakang penyerang tunggal.
Mourinho pernah mencuba Fabregas di posisi no.10 ketika perlawanan menentang Everton (Chelsea kalah 1-3). Tetapi Fabregas dengan mudah dikawal oleh Gareth Barry dan James McCarthy.
Mikel dan Matic di belakangnya pula tidak cukup kreatif untuk mencipta peluang. Jadi di mana sebenarnya posisi terbaik Fabregas?
4. Tidak memainkan John Terry daripada mula
Ketika ditanya wartawan mengapa beliau mengeluarkan Terry dan memasukkan Zouma pada separuh masa kedua ketika kekalahan 0-3 kepada Manchester City, Mourinho menjelaskan:
“Kami perlu menyerang. Jadi kami perlu bermain dengan garisan defensif yang tinggi. Zouma adalah pemain pertahanan paling laju yang saya ada. Lebih laju daripada Azpilicueta dan Ivanovic.”
Baca: ANALISIS TAKTIKAL EPL 2015/16: MANCHESTER CITY 3-0 CHELSEA
Ramai penyokong Chelsea menegaskan tugas bertahan bertahan adalah tugas satu pasukan. Bukannya tugas pemain pertahanan sahaja.
Bagi mereka, logik menyalahkan kelembapan larian John Terry sebagai punca kekalahan Chelsea sudah terbukti salah. Kerana sepanjang Zouma bergandingan dengan Cahill pun, Chelsea masih bolos banyak gol.
5. Mourinho menarik cerita negatif ke Chelsea
Hanya ada 2 pendapat sahaja tentang Mourinho. Sama ada anda sukakannya. Atau anda bencikannya. Tiada kelompok neutral dalam apa-apa hal yang melibatkan Mourinho.
Ketika ini, Mourinho nampak tidak stabil.
Selepas menggelar soalan seorang wartawan Sky Sports sebagai ‘bodoh’ dan menyuruhnya menggunakan Google sebelum mengemukakan soalan, Mourinho mengundang kontroversi sekali lagi.
Kali ini, beliau menuduh pengadil ‘takut memberikan penalti kepada Chelsea’ meskipun ulang tayang jelas menunjukkan Falcao jatuh dulu sebelum berlaga dengan Maarten Stekelenburg.
Cerita-cerita negatif tentang Chelsea ini hanya membuatkan pemainnya hilang hormat terhadap karismanya sebagai pengurus.
Selepas insiden Diego Costa semasa perlawanan menentang Arsenal, Jose Mourinho memuji Costa. Sedangkan Kurt Zouma terang-terang mengatakan Costa ‘suka menipu’.
Perbezaan sebegini mungkin nampak kecil. Tetapi ia menampakkan perbezaan mentaliti ‘fair play’ antara Mourinho dengan pemainnya sendiri.
Baca juga: INILAH RUPA STADIUM BARU CHELSEA PADA 2020 NANTI