5 Sebab Kenapa Lukaku Perlu Kembali Ke Chelsea

Romelu Lukaku Chelsea

Tawaran bernilai £85 juta berserta Marcos Alonso bagi mendapatkan Romelu Lukaku telah ditolak oleh Inter Milan. Namun Chelsea dilaporkan bakal membuat bidaan baharu bagi merealisasikan perpindahan paling penting buat juara Eropah tersebut untuk musim ini.

Walaupun Inter memang terdesak mahu mengurangkan kos perbelanjaan mereka musim ini, nilai tersebut mungkin terlalu rendah buat pemilik kelab Steven Zhang memandangkan harga pasaran penyerang Belgium berusia 28 tahun itu dikatakan bernilai sekitar £95 – £105 juta.

Lukaku bukanlah asing buat Chelsea di mana beliau telah membuat 15 penampilan untuk kelab tersebut, tetapi gagal mencetak sebarang gol sebelum berhijrah ke Everton dengan harga £28 juta pada 2014.

Jadi adakah pilihan untuk kembali semula ke Chelsea merupakan langkah yang baik untuk kariernya?

Lebih murah dan praktikal berbanding Haaland

Chelsea sememangnya menjadikan Haaland sebagai sasaran utama dalam jendela perpindahan musim panas ini, namun bidaan mereka terhadap pemain berusia 21 tahun itu telah pun ditolak.

Borussia Dortmund dengan tegas mengatakan sebarang tawaran kurang dari £150 juta akan ditolak serta merta mengambil kira usia, baki kontrak dan prestasi semasanya ketika ini.

Justeru itu, Lukaku adalah pilihan terbaik untuk disasarkan dengan nilai yang dianggap lebih munasabah. Apatah lagi dengan Inter Milan pula kini sedang berdepan dengan masalah kewangan sehingga menyaksikan perletakan jawatan Antonio Conte dan penjualan Achraf Hakimi.

Wajah baharu serangan Chelsea

Dari perspektif taktikal Chelsesa di bawah kendalian Thomas Tuchel, gaya permainan pasukan ini memerlukan seorang penyerang yang berupaya membuat penyudah di dalam kotak penalti.

Kelab London ini telah pun menjual Olivier Giroud kepada AC Milan dan Tammy Abraham juga tidak termasuk dalam perancangan pasukan untuk musim baharu ini.

Dengan Kai Havertz sudah semakin serasi dengan posisi nombor sembilan jadian, Chelsea memerlukan seorang penyerang tulen yang mampu menambah kekuatan di baharian barisan serangan pasukan.

Penjaring gol semula jadi

Konsistensi dalam merekodkan angka gol yang tinggi setiap musim sepanjang kariernya sudah membuktikan bahawa Lukaku merupakan salah seorang penyerang terbaik di dunia.

Semasa bersama skuad remaja Anderlecht, beliau telah mencipta rekod luar biasa dengan menjaringkan 131 gol hanya dalam 93 perlawanan dan memenangi kasut emas Liga Belgium pada usia 16 tahun.

Dua musim di Inter Milan mungkin menjadi tempoh terbaik dalam kariernya di mana 47 gol daripada 72 penampilan telah menghadiahkan kejuaraan Scudetto pertama buat Nerrazzurri selepas sedekad menanti.

Ia diikuti oleh empat gol yang dijaringkannya semasa kejohanan Euro 2020 tempoh hari yang menjadikan beliau kini merupakan penjaring gol terbanyak Belgium sepanjang zaman dengan 64 gol daripada 98 kaps di peringkat antarabangsa.

Sudah masak dengan bola sepak Inggeris

Satu lagi sebab mengapa Lukaku wajar mempertimbangkan kepulangannya ke Chelsea adalah keserasiannya dengan bola sepak Inggeris di mana beliau telah pun meluangkan enam tahun di liga paling popular di dunia ini.

Bersama West Bromwich Albion, Everton dan Manchester United, beliau telah mencetak 85 gol daripada 175 penampilan dalam semua pertandingan.

Dengan taktikal Tuchel yang cukup ampuh, tahap keyakinan, susuk tubuh, fizikal dan jiwa pemusnah semula jadi yang dimiliknya, sudah tentu ia menjadikan beliau sebagai penyerang yang paling digeruni di pentas EPL.

Ikut jejak Didier Drogba

Sejak hari pertama Lukaku tiba di Stamford Bridge, pelbagai pihak yang pun beranggapan beliau merupakan pengganti kepada Didier Drogba yang sudah berada di penghujung kariernya.

Sejak pemergian Drogba, tiada lagi mana-mana penyerang yang mampu menambah hati penyokong The Blues. Maka inilah peluang terbaik untuk Lukaku dinobatkan sebagai ‘King’ baharu di Chelsea sebagai kemuncak kepada kariernya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN