Tarikh 1 Julai pada hari ini bermakna bermulalah persiapan kelab-kelab bola sepak utama di Eropah untuk musim baharu. Jelajah pra musim turut akan menjadi perhatian – termasuk oleh peminat sukan bola sepak di Malaysia. Namun sejak lima tahun yang lalu, tidak ada sebuah kelab bola sepak utama dari Eropah yang berkunjung ke Malaysia.
Kali terakhir Manchester United berkunjung ke Kuala Lumpur ialah pada 2009. Barcelona berkunjung ke Kuala Lumpur pada 2013, Chelsea pula melakukannya pada 2014. Manakala Liverpool dan Tottenham Hotspur pula ialah pada 2015. Itulah kali terakhir kelab-kelab utama Eropah mengadakan pra musim di Malaysia.
Mengapakah kelab-kelab Inggeris dan Eropah lain seolah-olah menyepikan diri dari berkunjung ke negara ini selepas itu?
Isu diplomatik
Malaysia boleh dikategorikan sebagai sebuah negara yang aman, walaupun memiliki penduduk berbilang kaum. Malah negara ini sering menjadi rujukan dunia sebagai sebuah negara yang boleh hidup saling bertoleransi di sebalik perbezaan warna kulit, pegangan agama dan fahaman politik. Namun di sebalik keamanan yang kita nikmati, pendirian diplomatik negara – tanpa mengira parti pemerintah – boleh menjadi salah satu sebab utama mengapa kelab-kelab bola sepak utama dunia enggan ke Malaysia.
Sebagai contoh, pendirian negara terhadap Israel – sepertimana tindakan kerajaan Malaysia menghalang kemasukkan atlet renang paralimpik negara tersebut dari memasuki negara untuk menyertai Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan akan diadakan pada Julai sehingga Ogos hadapan di Kuching. Akibatnya, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) terpaksa menarik balik hak penganjuran kejohanan.
Di dalam bola sepak, perkara yang sama turut boleh berlaku. Pemilik Chelsea, Roman Abramovich misalnya kini adalah warganegara Israel. Begitu juga dengan keluarga Glazer yang memiliki Manchester United juga adalah dari keturunan Yahudi serta Pengerusi Fenway Groups, Tom Werner yang merupakan pemilik bersama Liverpool. Sesebuah kelab bola sepak juga mungkin memiliki pemain dan kakitangan yang berasal dari Israel. Isu diplomatik berkemungkinan akan memberi masalah kepada mereka dari segi logistik.
Birokrasi acara antarabangsa
Perlawanan bola sepak persahabatan membabitkan kelab-kelab utama eropah juga dianggap sebagai salah satu acara antarabangsa di negara ini. Ini kerana ia membabitkan ejen antarabangsa, promoter atau pun penganjur untuk merealisasikan kehadiran kelab-kelab bola sepak ini ke negara ini. Malah tidak keterlaluan juga jika kita mahu mengatakan bola sepak adalah sebahagian daripada aktiviti perlancongan jika ianya membabitkan kelab-kelab utama eropah.
Golongan sasarnya pula bukan sekadar dari kalangan peminat bola sepak tempatan di dalam negara, malah dari kalangan serantau. Namun untuk menganjurkannya, ia tidak semudah yang disangka. Sebagai contoh, promoter terlebih dahulu perlu memastikan mereka mendapatkan kebenaran badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – sebagai badan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal bola sepak di negara ini. Kemudian, pihak promoter juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai agensi kerajaan sebelum kelulusan diberikan.
Malaysia boleh dianggap sebagai negara yang mempunyai reputasi buruk dengan pelbagai karenah birokrasi untuk penganjuran acara antarabangsa. Sedikit sebanyak perkara ini disebabkan beberapa perkara seperti kecenderungan negara ini membatalkan acara pada saat akhir, proses permohonan yang rumit dan cukai hiburan yang sangat tinggi- menyebabkan Malaysia sering digugurkan dari kalendar acara antarabangsa meskipun Singapura, Thailand dan Indonesia dimasukkan.
ICC tawar pakej holistik
International Champions Cup (ICC) adalah kejohanan pra musim yang lebih bersifat holistik berbanding penganjuran jelajah pra musim yang pernah kita saksikan di Malaysia sebelum ini. Ini menjadikan ICC sebagai platform terbaik untuk kelab-kelab utama dunia, terutama dari eropah untuk melakukan persiapan menjelang musim baharu. Selain daripada jumlah perlawanan yang lebih banyak, ICC juga diadakan secara berpusat.
Stadium Sunday: Singapore Edition ?
Manchester United, Inter, Juventus and Tottenham Hotspur will be here this summer,…
Posted by International Champions Cup on Sunday, June 30, 2019
Amerika Syarikat, Australia, China dan Singapura adalah empat venue untuk kejohanan ini diadakan secara berkumpulan – dengan pelbagai format yang bersesuaian dengan jumlah kelab mengambil bahagian – sejak ianya dianjurkan pada 2013. Selain daripada menjadi medan pemanas badan sebelum musim baru, ICC juga memberikan liputan yang lebih meluas kepada pasukan bertanding, sekaligus memberikan pakej publisiti menarik untuk kelab meluaskan pengaruh di seluruh dunia.
Perlawanan membabitkan kelab-kelab utama Eropah – sebagai contoh Manchester United vs Real Madrid di Stadium Michigan, Amerika Syarikat pada 2014 menjadi perhatian dunia dengan rekod kehadiran penonton 109,318. Pada hari ini, ICC dianggap sebagai kejohanan kelab bola sepak antarabangsa terbesar dunia, dan sentiasa dinanti-nantikan saban musim.
Perlawanan bola sepak ‘Sarkas’
Jika sebelum ini kunjungan-kunjungan kelab gergasi Eropah ke negara ini sentiasa diraikan. Peminat bola sepak berpusu-pusu mendapatkan tiket perlawanan, berkampung di hotel penginapan pasukan, dan menghadiri sesi bertemu pemain yang diadakan oleh pihak penganjur semata-mata untuk berjumpa dan melihat pemain dari dekat, yang selama ini hanya disaksikan melalui kaca TV. Namun demikian, perlawanan kelab dari eropah menentang skuad Harimau Malaya turut mendapat kritikan sebahagian pengikut bola sepak tempatan.
SARKAS
“..orang ramai diharap tidak membandingkan perlawanan itu dengan aksi persahabatan kelas A. Perlawanan seumpama…
Posted by Retro Bola Sepak on Saturday, April 25, 2015
Perlawanan sedemkian dilabel sebagai ‘perlawanan sarkas’. Ini kerana perlawanan sebegini dilihat tidak menguntungkan skuad kebangsaan, terutama dari segi ranking FIFA. Mereka berpendapat sebagai sebuah pasukan kebangsaan, FAM seharusnya berusaha untuk membawa masuk pasukan kebangsaan lain yang berkualiti sebagai ‘rakan sparring’. Sebenarnya isu ini mudah. Tidak ada masalah untuk kelab-kelab Eropah datang ke Malaysia untuk menentang pasukan kebangsaan. Tetapi seeloknya dari segi pemasaran, pihak penganjur dan FAM perlu lebih bijak dengan membentuk sebuah pasukan lain.
Sebagai contoh, FAM boleh membentuk sebuah pasukan Pilihan Liga Super Malaysia (MSL XI) yang turut menyarung jersi edisi khas khusus untuk perlawanan tersebut. Walaupun terdiri daripada pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan, ia kedengaran lebih elok, dan tidak kedengaran seolah-olah pasukan kebangsaan kita diperlekehkan. Peluang beraksi menentang pemain-pemain ternama dunia bukannya perkara yang boleh datang bergolek. Malah ia satu kerugian untuk pemain tempatan kita kerana tidak mempunyai peluang sebegitu pada hari ini. Label ‘perlawanan sarkas’ itu sendiri juga tidak memberi imej baik kepada pasukan-pasukan dari eropah ini untuk mengulangi kunjungan.
Iklim bola sepak di Malaysia
Satu lagi sebab mengapa Malaysia bukan lagi destinasi pilihan kelab utama dari Eropah untuk pra musim ialah kerana iklim bola sepak di Malaysia itu sendiri. Beberapa pertanyaan mungkin akan timbul di kalangan kelab-kelab ini mengenai bola sepak sebagai sukan utama di Malaysia. Misalnya adakah benar rakyat Malaysia gilakan bola sepak? Perlu diingatkan bahawa kunjungan kelab-kelab Eropah untuk pra musim bukan sekadar untuk melakukan persiapan menjelang musim baharu.
Tetapi ia adalah strategi serampang dua mata iaitu untuk tujuan pemasaran – kelab tampil sebagai jenama – di sebuah negara yang dianggap ‘gilakan’ bola sepak. Namun iklim semasa bola sepak tempatan tidak menggambarkan rakyat Malaysia benar-benar ‘gilakan’ bola sepak. Kita tidak perlu pergi jauh. Perhatikan saingan pertandingan domestik di dalam negara. Rata-rata pasukan di seluruh negara mempunyai masalah untuk menyakinkan penyokong turun ke stadium.
Begitu juga dengan aksi di perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan negara. Sebagai perbandingan, penyokong bola sepak di Indonesia membanjiri setiap pelusuk stadium walaupun sekadar pertandingan AFF B-16 seperti dibuktikan pada tahun lalu. Acap kali kehadiran boleh dianggap mendukacitakan melainkan ia perlawanan penting seperti separuh akhir atau perlawanan akhir.
Bukanlah niat untuk mengkritik sikap penyokong, tetapi konsert jelajah Ed Sheraan pada tahun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil mampu menarik lebih ramai hadirin berbanding perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Timor Leste baru-baru ini. Ironinya, rata-rata kita marah apabila stadium dijadikan tapak konsert, tetapi liat untuk turun ke stadium apabila membabitkan perlawanan bola sepak tempatan dan skuad negara. Adakah benar rakyat Malaysia ‘gilakan’ bola sepak?
Rumusan
Anda mungkin mempunyai pelbagai sebab dan penjelasan lain mengapa kelab-kelab utama Eropah tidak lagi melihat Malaysia sebagai destinasi terbaik untuk jelajah pra musim.
Tetapi lima perkara di atas adalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian sekiranya kita mahukan negara menjadi perhatian dunia untuk venue acara antarabangsa, terutama bola sepak pada masa akan datang.