Derbi Manchester ataupun bahasa universalnya Manchester Derby! Pertembungan melibatkan dua kelab terbesar di bandar Manchester, England ini pertama kali diadakan pada tahun 1881. Derbi Manchester punyai sejarahnya yang tersendiri. Daripada zaman Newton Heath kepada era Dennis Law sehinggalah kepada revolusi Arab yang mengubah landskap saingan kedua-dua pasukan dari bandar Manchester ini.
Drama, aksi, kontroversi. Ini adalah rencah setiap kali perlawanan Manchester Derby diadakan. Kali ini sambutan terhadap derbi Manchester sedikit luar biasa. Berikut adalah lima sebab ianya sedemikian.
Manchester City wajib menang
Menjelang perlawanan derbi Manchester ini, Liverpool telah mengutip 88 mata dari 35 perlawanan. Manakala Manchester City mempunyai 86 mata terkumpul dari 34 perlawanan. Dengan kelebihan satu perlawanan di tangan, ini adalah perlawanan wajib menang untuk skuad bimbingan Pep Guardiola demi memastikan mereka sentiasa mempunyai kelebihan ke atas Liverpool.
Selepas ini City masih perlu berhadapan Burnley (Away), Leicester City (Home) dan juga Brighton (Away). Manakala Liverpool pula akan berhadapan dengan Huddersfield (Home), Newcastle United (Away), dan Wolves (Home). Semua perlawanan dianggap mudah bagi kedua-dua pasukan – menjadikan perlawanan menentang seteru setempat lebih penting dari biasa buat City.
Manchester United perlu bangkit
Jika City memerlukan kemenangan untuk memastikan mereka terus kekal di persada liga, Manchester United wajib menang perlawanan ini untuk kembali bangkit selepas kekalahan memalukan kepada Everton pada hujung minggu lalu. United masih berada di dalam saingan untuk ke saingan UEFA Champions League pada musim hadapan. Kekalahan mungkin akan menguburkan impian mereka. Lebih buruk, ia turut akan menggugat United untuk menarik pemain baharu dalam usaha membina pasukan untuk musim hadapan.
Kekalahan kepada Everton menyebabkan integriti dan kesungguhan pemain-pemain bintang turut dipersoalkan. Adakah mereka akan membenarkan maruah kelab dibiarkan begitu sahaja? Adakah pemain-pemain ini masih mempunyai integriti diri? Adakah mereka akan terus mengecewakan penyokong mereka? Ini antara soalan yang ditanyakan oleh penyokong setia Red Devils pada hari ini. Para pemain tahu cara terbaik menjawab persoalan tersebut ialah dengan kemenangan ke atas City.
Ketuanan bandar Manchester
Setelah dominasi Manchester United menghiasi bola sepak Inggeris pada 1990 an sehingga bersaranya Sir Alex Ferguson, Manchester City kemudian bangkit bersandarkan pelaburan dan pemilikan dari Timur Tengah. Ia seolah-olah menggambarkan kiblat bola sepak Inggeris terarah ke Manchester sejak 1990 an – tanpa menafikan saingan dari wakil London seperti Chelsea dan Arsenal – yang turut pernah menjuarai pertandingan ini.
Untuk rekod, trofi Liga Perdana Inggeris dimenangi kedua-dua kelab sebanyak 16 kali sejak diperkenalkan pada 1992. Derbi Manchester juga amat berbeza dengan derbi-derbi lain di England. Jika London mempunyai lebih dari dua kelab utama, derbi Merseyside pula lebih kepada ‘friendly derby’ – yang mempunyai perbezaan dari segi kehangatan kerana dihadkan hanya ketika perlawanan berlangsung di atas padang. United tewas 3-1 kepada City di Etihad pada November lalu. Kini kedua-dua pasukan dan penyokong sekali lagi bersaing untuk menentukan warna bandar Manchester.
Kualiti pasukan
Di atas kertas, segala-galanya kelihatan memihak kepada Manchester City. The Citizen kelihatan seimbang di setiap posisi dengan kebolehan teknikal pemain yang jauh lebih baik berbanding Manchester United. Lebih daripada itu, mereka juga mempunyai seorang pengurus yang dianggap ‘master of tactician’ di era bola sepak moden ini. Ini menjelaskan prestasi baik Manchester City sejak beberapa musim lalu.
Perkara sebaliknya mengenai Manchester United. Solskjaer dianggap mentah dan naif dari segi taktikal. Pemain-pemain pula tidak bersatu hati sehingga membiarkan pasukan diaibkan. Namun satu perkara yang harus diingati ialah perlawanan derbi tetap perlawanan derbi. Ia berbeza dengan perlawanan-perlawanan biasa yang lain apabila taruhan tiga mata memberikan lebih dari satu makna. Ia menghadirkan atmsosfera yang berlainan, tekanan yang berlainan, dan juga harapan tinggi peminat dan penyokong dari seluruh dunia – menjadikan cabaran dalam perlawanan derbi adakalanya mengecewakan pasukan terbaik.
Potensi penentu kejuaraan
Tidak boleh dinafikan ni adalah derbi Manchester paling pelik pernah berlaku di dalam sejarah pertandingan. Bukan sahaja ia pasti menarik perhatian penyokong kedua-dua kelab Manchester, kali ini ia turut mengundang perhatian peminat dan penyokong bola sepak Liverpool untuk mengikuti perlawanan ini dari minit ke minit.
Di negara kita Malaysia misalnya, penyokong-penyokong Liverpool pasti akan berjaga sehingga ke awal pagi semata-mata untuk menonton perlawanan ini. Mungkin akan ada segelintir penyokong tegar yang tidak ambil peduli. Namun mereka tetap sedar perlawanan ini boleh menentukan kejuaraan. 29 tahun tanpa sebarang kejuaraan liga sudah terlalu lama untuk penyokong The Kopites.
Inilah peluang terbaik bagi mereka melihat pasukan kesayangan merangkul kejuaraan sejak kali terakhir melakukannya pada musim 1989/90. Setidak-tidaknya aplikasi Live Score akan dibelek pada awal pagi nanti.
Rumusan
Manchester United vs Manchester City, perlawanan yang pasti akan menarik perhatian seluruh peminat dan pemerhati bola sepak dari seluruh dunia.
Siapakah yang akan mendabik dada selepas tamat 90 minit perlawanan? Adakah anda akan terus kekal berada di belakang pasukan sehingga mati?