Quantcast

BERITA

Bibi Ramjani Pening Memikirkan Masalah KAFA Yang Semakin Bertambah

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Illias Khan mengakui kecewa dengan tindakan Malaysia Football League (MFL) menjatuhkan hukuman sekatan perpindahan pemain baharu terhadap pasukan negeri itu bagi menghadapi baki saingan Liga Premier musim ini.

Memetik kata-katanya dalam Harian Metro, Bibi berpendapat MFL seharusnya bersikap adil berhubung hukuman itu, yang akan memberikan kesan kepada persatuan tersebut.

“Sebelum ini kami (KAFA) sudah setuju bayar tuntutan bekas pengarah teknikal Alfredo Gonzales melalui pemotongan geran dan kenapa masih lagi mahu sekat kami mendapatkan pemain import.

“Kami tak tahu apa kesalahan baru menyebabkan didenda, sudah banyak kami dikenakan antara hukuman sekat lesen, sekat geran dan pemotongan mata, selepas ini berapa banyak hukuman lagi kami tak tahu,” katanya.

Malah, beliau seolah-olah seperti hilang punca untuk mengadu mengenai masalah dalaman KAFA kerana FAM dan MFL dilihat tidak mahu membantu mereka.

“Kami persatuan (ahli gabungan) ibarat anak-anak yang bergelut dengan pelbagai masalah dan tekanan mengadu kepada bapa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk ihsan, tapi usahkan simpati yang dapat, malah tendang terajang daripada bapa yang dapat.

“Kalau bukan MFL atau FAM yang boleh jaga (bantu) kami, siapa lagi yang akan jaga kami untuk kelancaran bola sepak negara,” katanya.

Sementara itu, bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap jenis hukuman yang dikenakan ke atas Kelantan di laman twitter miliknya.

Annuar menyifatkan cara FAM mengenakan hukuman tersebut dilihat mampu membunuh mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia itu sendiri.

MFL mengumumkan tujuh pasukan Liga Malaysia termasuk Kelantan dikenakan tindakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 susulan kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember lalu.

Selain Kelantan, pasukan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.