Perpindahan pemain antarabangsa Chile, Alexis Sanchez dari Arsenal ke Manchester United pada 22 Januari lalu telah menjadi perhatian peminat bola sepak dunia, tidak terkecuali juga di Malaysia.
Kegembiraan buat penyokong United apabila pasukan kesayangan mereka berjaya membawa masuk pemain yang sudah dibuktikan kualitinya di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kehilangan bagi Arsenal itu telah diisi Henrikh Mkhitaryan sebagai pertukaran berikutan pemergian Sanchez ke Old Trafford.
Perpindahan yang diklasifikasikan sebagai berprofil tinggi ini bukanlah yang pertama kali buat pemain nama besar dari kelab besar EPL ke salah satu pesaing utama mereka di liga popular itu.
Beberapa perpindahan pemain melibatkan nama besar ke kelab pesaing dapat disaksikan dalam kancah EPL mengikut turutan harga tertinggi. Antaranya:
1) Fernando Torres – Liverpool ke Chelsea (£50 juta)
Kecederaan yang dialami pada musim 2010/11 membuatkan prestasi pemain yang menjadi kesayangan penyokong Liverpool itu semakin merudum.
Namun itu tidak menghalang Chelsea untuk mendapatkan Fernando Torres sekaligus menjadikan perpindahannya sebagai rekod termahal liga ketika itu dengan £50 juta pada penghujung jendela perpindahan Januari 2011.
Walaupun gagal untuk mempamerkan sentuhan berbisa seperti di Liverpool, jaringan Torres ketika menundukkan Barcelona dalam saingan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah 2011/12 serta jaringan pendahuluan perlawanan akhir Piala Europa 2012/13 bertemu Benfica akan terpahat sebagai ingatan buat penyokong Chelsea terhadap Fernando Torres.
2) Kyle Walker – Tottenham Hotspur ke Manchester City (£50 juta)
Perpindahan yang berlaku pada jendela perpindahan musim panas yang lalu. Mauricio Pochettino tidak berfikir panjang untuk melepaskan pemain pertahanan kanan ini ke Stadium Etihad.
Walker telah beraksi sebagai pemain kesebelasan utama dalam 22 perlawanan Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City.
Beliau turut menjadi tunjang kepada kekentalan jentera pertahanan City yang mencatatkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan liga berturut-turut.
Kyle Walker telah menyumbangkan 5 bantuan jaringan dan membantu dalam 10 perlawanan tanpa dibolosi setakat ini.
3) Raheem Sterling – Liverpool ke Manchester City (£49 juta)
Perpindahan pemain yang pernah dilabelkan sebagai ‘wonderkid’ England ini menghadapi musim yang kurang memberangsangkan pada musim pertamanya bersama Manchester City walaupun diberikan banyak peluang beraksi.
Beberapa orang pundit juga menyifatkan Sterling sebagai pembelian yang teruk.
Kehadiran Pep Guardiola ke dalam pasukan bagi menggantikan Manuel Pellegrini seolah-olah menghadirkan sinar buat Sterling kerana masih diberikan peluang untuk membuktikan sesuatu.
Kesabaran Sterling dan Guardiola membuahkan hasil pada musim ini apabila pemain berusia 23 tahun itu dilihat memberikan impak yang begitu bermakna buat pasukan dengan 14 jaringan liga yang dihasilkan setakat ini serta mencipta 4 bantuan jaringan.
4) Carlos Tevez – Manchester United ke Manchester City (£47 juta)
Perpindahan pemain ini merupakan yang pertama melibatkan kedua-dua pasukan sejak tahun 1999.
Tevez menikmati dua musim yang indah ketika bersama Manchester City apabila berjaya menyumbat 43 gol dalam saingan EPL sekaligus menjadi penjaring terbanyak kelab bagi dua musim tersebut.
Beliau mencatatkan 23 gol pada musim pertama (2009/10) dan 20 gol bagi tahun berikutnya.
Kehadiran rakan senegara, Sergio Aguero pada musim 2011/12 telah menutup peluang buat Tevez untuk terus menyinar yang juga merupakan musim dimana Manchester City meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang pertama.
5) Juan Mata – Chelsea ke Manchester United (£44 juta)
Juan Mata berjaya mengecapi kemuncak prestasinya bersama Chelsea apabila dianugerahkan ‘Pemain Terbaik Tahunan Chelsea’ bagi dua musim berturut-turut.
Prestasi hebat Mata berjaya membantu Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dan Piala UEFA Europa.
Selepas kembalinya semula Jose Mourinho membimbing Chelsea pada tahun 2013/14, beliau gemar untuk menggunakan khidmat Oscar sebagai ‘playmaker’ dan memaksa Mata lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan.
Pada 24 Januari 2014, Mourinho bersetuju untuk melepaskan Juan Mata ke Manchester United dengan nilai £44 juta. Di Manchester United, Mata berada di bawah kendalian David Moyes, Louis Van Gaal dan kembali semula bersama Mourinho ketika ini.
Di United, Mourinho seringkali membariskan Juan Mata dan menjadi antara tonggak ketika Manchester United menjuarai Liga Europa dan Piala Liga musim lalu.