Walaupun kejohanan ini baru saja hendak memasuki edisi ke-26 pada tahun ini, Piala FA Malaysia sering memberikan pelbagai peristiwa yang menarik terutama pada aksi akhir.
Sejak diperkenalkan pada 1990, terdapat 13 pasukan berbeza yang pernah menjulang kejuaraan ini.
Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah merupakan 3 pasukan paling banyak memenangi kejuaraan ini dengan Selangor mendahului dengan 5 kejuaraan sementara Kuala Lumpur dan Kedah berkongsi dengan 3 kejuaraan.
Dua pasukan dari Borneo, Sabah dan Sarawak masing-masing pernah menjuarainya sekali.
Manakala Negeri Sembilan merupakan pasukan terbaik apabila tiba aksi akhir, memenangi kedua-dua perlawanan akhir yang ditandingi mereka pada 2003 dan 2010.
Dalam penulisan ini, kami memilih 5 aksi akhir terbaik dari kejohanan Piala FA Malaysia. Dengan menggunakan urutan tahun, inilah senarainya :
1. Perak 4-2 Selangor (1990)
Edisi pertama kejohanan ini menyaksikan Perak menjuarainya dengan penuh bergaya.
Selangor yang mendahului dengan jaringan 0-2 pada separuh masa pertama membuatkan Perak ke bilik persalinan dengan penuh tekanan.
Namun perancangan jurulatih Datuk M.Karathu serta kepimpinan penuh inspirasi dari ketua pasukan iaitu Azizol Abu Haniffah membuatkan Perak berjaya mengubah perlawanan itu menjadi milik mereka.
Mereka menang 4-2 selepas menjaringkan 4 gol di 45 minit kedua dan pasukan yang dikemudi oleh Azizol, Jang Jung dari Korea Selatan dan P.Ravindran yang dikenali sebagai Kinta Express menjulang kejuaraan ini untuk edisi sulungnya.
Dan sejak dari itu, slogan “Kejor Yop Kejor” mula menjadi terkenal dalam kalangan penyokong Perak.
2. Kedah 0-0 Perlis (4-2) (2007)
Edisi 2007 tampil sedikit berbeza kerana perlawanan akhirnya dilangsungkan di Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang.
Tujuannya adalah untuk memendekkan jarak perjalanan antara dua penyokong kerana kedua-dua pasukan berasal dari zon utara.
Namun, keputusan itu mengundang kontroversi kerana kesesakan lalu lintas yang melampau disepanjang lebuh raya sehingga memaksa kerabat diraja Kedah perlu berjalan kaki untuk ke stadium.
Namun, aksi dipadang cukup menghiburkan. Kedua-dua pasukan cuba untuk mendapatkan gol tidak membuahkan hasil.
Penyerang utama kedua-dua pasukan seperti Marlon Alex James untuk Kedah dan Zacharia Simukunda untuk Perlis gagal mencari gol kemenangan selepas 120 minit.
Pemenang perlu dicari menerusi sepakan penalti, Kedah menang 4-2 selepas kesemua penendang Kedah menjaringkan gol dan Perlis hanya dua sahaja yang berjaya.
Kedah memenangi edisi 2007, manakala Perlis terus gigit jari selepas tewas kepada Pahang pada edisi 2006 dengan jumlah yang sama.
3. Selangor 1-1 Kelantan (4-1) (2009)
Kejuaraan terakhir Selangor di pentas Piala FA Malaysia adalah pada 2009.
Menentang Kelantan yang sedang dilanda gelombang kebangkitan, semestinya perlawanan ini amat sukar bagi mereka.
Aksi terpaksa diheret ke masa tambahan selepas terikat tanpa jaringan di 90 minit masa sebenar.
Pada minit 92, Norfarhan Mohammad meletakkan The Red Warriors dihadapan menerusi tandukan rendah.
Namun, 8 minit kemudian mara ke hadapan Amri Yahyah melakukan ‘trademark’ tandukan terbangnya selepas menerima hantaran D.Surendran untuk kedudukan menjadi 1-1.
Tiba aksi penalti, Kelantan terpaksa akur apabila 2 daripada 3 sepakan penalti tidak menemui jaring. Sebaliknya 4 sepakan penalti Selangor mudah disempurnakan kesemua pemainnya.
Selangor muncul juara, dan itu adalah kejuraan ke-5 mereka di pentas Piala FA Malaysia.
4. Negeri Sembilan 1-1 Kedah (5-4) (2010)
Kedah kembali ke pentas akhir sejak era ‘Double Treble’ dengan menentang Negeri Sembilan di perlawanan akhir Piala FA Malaysia.
Segalanya tampak elok apabila Kedah mendahului hasil lambungan Baddrol Bakhtiar mengatasi Sani Anuar Kamsani.
Namun, Syafiq Rahman kembali menyamakan kedudukan untuk skuad Jang.
Pemenang terpaksa dicari mencari penentuan sepakan penalti selepas tiada gol tambahan dihasilkan pada 30 minit masa tambahan.
Negeri Sembilan cemas apabila sepakan penalti Zaquan Adha tidak berjaya disempurnakan pada sepakan pertama namun kembali lega selepas Fazliata Talib gagal menyempurnakan sepakan ketiga Kedah.
Memasuki fasa ‘sudden death’, Asyraf Al-Japri gagal menyempurnakan penalti untuk Negeri Sembilan dan membuka peluang untuk Kedah memenanginya.
Helmi Eliza yang muncul untuk mengambil sepakan penalti itu melambungkannya jauh dari gol, seterusnya peluang kembali terbuka untuk kedua-dua pasukan.
Rezal Zambry Yahya menjaringkan penalti terakhir Negeri Sembilan, dan Sani Anuar Kamsani menyelamatkan penalti Sabree Abu untuk membolehkan Negeri Sembilan muncul juara.
Selepas menyelamatkan penalti terakhir, Sani terus meraikan kejayaan pasukannya dengan cara yang amat menarik – berpaut pada palang gol!
5. Terengganu 2-1 Kelantan (2011)
Pertembungan Pantai Timur mengambil tempat di perlawanan akhir Piala FA Malaysia edisi 2011.
Perlawanan nyata sengit kerana kedua-dua pasukan ini merupakan antara yang terbaik pada musim 2011.
Nurul Azwan Roya meletakkan Kelantan di hadapan ketika permainan berbaki 11 minit sebelum tamat.
Dan ini semestinya meranapkan semangat pemain dan penyokong Terengganu.
Ketika sebahagian zon tempat duduk penyokong Terengganu mula kosong pada minit akhir permainan kerana merasakan pasukan mereka sudah tewas, Daudsu Jamaluddin tertampan bola ke gawang sendiri pada minit 90+8 untuk membawa permainan ke masa tambahan.
Pada minit 110, Ahmad Nordin Alias menjadi wira dengan menjaringkan gol kemenangan sekali gus merakam satu lagi kebangkitan dalam sejarah Piala FA Malaysia.
Edisi kali ini menyaksikan kali terakhir trofi kejohanan seberat 13 kilogram digunakan. Menariknya, kapten Terengganu iaitu Marzuki Yusof tidak perlu bantuan rakan sepasukan ketika menjulangnya tidak seperti juara-juara sebelumnya.
Itulah pilihan 5 aksi terbaik perlawanan akhir Piala FA Malaysia pilihan kami. Bagaimana pilihan anda pula? Nyatakan di ruangan komen!