Selepas membawa masuk Patricio ‘Patito’ Rodriguez, JDT mengambil langkah progresif sekali lagi dengan membawa masuk penyerang muda Sierra Leone dari kelab Sweden, IFK Norrköping. Bagaimanapun, tidak banyak yang diketahui mengenai rekrut terbaru JDT yang bakal menggantikan Lucioano Figueroa dalam aksi Liga Super ini.
Nota editor: Kami difahamkan Luciano Figueroa tetap dikekalkan tetapi bermain dalam saingan Piala AFC sahaja.
Kami berikan 5 perkara yang perlu anda tahu tentang penyerang baru JDT ini.
1. JDT mempunyai pilihan untuk membeli pemain ini secara tetap. Dengan harga murah.
Ketika ini, Alhaji Kamara dipinjamkan ke JDT sehingga 30 November 2015 (sehingga habis kempen Liga Super 2015 dan Allsvenskan 2015). Apa yang bagusnya, Alhaji Kamara sudahpun menjalani latihan pra-musim bersama kelab asalnya dan JDT dapat menggunakan khidmatnya secara terus apabila kempen Liga Super bersambung 3 hari akan datang.
JDT juga mempunyai pilihan untuk membeli Kamara secara tetap mengikut perjanjian kontraknya selepas 30 November nanti. Mengikut sumber dari transfermarkt.com, harga pasaran Kamara ketika ini adalah €250,000 (secara kasar) bersamaan dengan RM1 juta.
Bagi kami, harga ini boleh dianggap murah oleh JDT memandangkan JDT pernah membayar harga lebih mahal untuk pemain yang lebih tua.
2. Alhaji Kamara pemain import paling muda dalam sejarah Liga Super?
Pada usia 20 tahun, Alhaji Kamara adalah pemain import paling muda dalam sejarah Liga Super, setahun lebih muda daripada Vincent Bikana yang diimport Terengganu pada usia 21 tahun (sila betulkan kami jika fakta ini salah. Seperti yang anda tahu, FAM tidak mencatat rekod-rekod sebegini).
Nota editor: Seorang pembaca membetulkan kami pemain import termuda dalam Liga Super adalah Denny Antwi (Kelantan) pada umur 18 tahun.
Dengan usia yang muda, JDT bukan sahaja mendapat penyerang muda yang mempunyai fizikal yang baik, mereka juga memperolehi seorang penyerang yang dahagakan kejayaan dan mempunyai ruang untuk belajar.
3. Pernah menjadi sensasi Internet pada 2014
Semuanya bermula daripada reaksi peliknya ketika perlawanan liga menentang Orebro SK. Ketika perlawanan masuk ke minit kecederaan, Kamara dilayangkan kad kuning kedua selepas mencabar pertahanan lawan yang sedang melakukan clearance.
Ketika pemain lain pasti akan menentang keputusan pengadil, Kamara menerima keputusan pengadil dan berlari keluar padang dengan meraung sambil menangis!
Ketika ditanya wartawan mengenai apa reaksinya terhadap videonya yang menjadi viral, Kamara menjawab:
Tiada gunanya saya menentang keputusan pengadil kerana pengadil sudah membuat keputusan.
Tetapi apabila saya tahu saya dilayangkan kad merah dan bakal digantung perlawanan menentang Djurgårdens IF, saya tak dapat tahan perasaan saya.
Saya tahu betapa susahnya untuk masuk kesebelasan utama pasukan.
4. Muncul penjaring terbanyak kelab dalam liga Sweden
Musim lepas, Kamara muncul penjaring terbanyak kelabnya dengan 10 gol daripada 26 penampilan. Rakan sepasukannya yang lebih senior, Emir Kujovic turut menjaringkan 10 gol. Secara keseluruhannya, beliau menyumbang 26% daripada jumlah keseluruhan gol yang dijaringkan oleh IFK Norrköping dalam liga pada musim lepas.
Agak bagus bagi penyerang 19 tahun dalam musim sulungnya bersama kelab baru.
5. Penyokong IFK Norrköping tidak gembira beliau dipinjamkan (dan boleh dibeli)
Jika reaksi Facebook rasmi kelab IFK Norrköping dijadikan panduan, rata-rata penyokong kelab IFK Norrköping tidak gembira dengan keputusan kelab mereka yang membenarkan Kamara keluar sebelum musim liga Sweden bermula Sabtu ini.
Berdasarkan emoji beliau, kami berani bertaruh beliaulah penyokong pertama yang akan memaki barisan pengurusan kelabnya apabila penyerang mereka tumpul di depan gol musim ini.
Nampak gayanya, IFK Norrköping telah kehilangan seorang penyokong mereka…
Lelaki ini baru sahaja membeli tiket semusim hanya untuk melihat Alhaji Kamara bermain. Adakah IFK Norrköping mempunyai polisi refund?
21 hati yang pecah hanya untuk seorang pemain. Wow.
Baca juga: Kenali Pemain Baru JDT: Patricio ‘Patito’ Rodriguez
Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.
Sumber: IFK Norrköping (Officiella), TV4Sport, Johor Southern Tigers