Suasana di Hampden Park, Scotland sungguh luar biasa. Ia menunjukkan apa sahaja elemen yang diperlukan untuk satu perlawanan besar- kehebatan, keghairahan dan kekuatan.
Ia mengingatkan kita kembali kepada sejarah perseteruan (rivalry) dalam bola sepak, antara yang tertua di dunia.
Seperti kata pepatah Inggeris- ‘Blood and thunder, guts and desire’. Perlawanan ini sering dikaitan dengan sumpahan, bercirikan keganasan dan pertumpahan darah.
Jelas sekali sikap penyokong membabitkan kedua-dua penyokong tidak pernah berubah. Perlawanan ini tetap panas untuk mereka.
Kita lupakan sebentar isu penyokong dan insiden yang berlaku sebelum dan selepas perlawanan.
Kami bawakan kepada anda, 5 perkara yang boleh kita pelajari menurut Squawka daripada perseteruan (rivalry) tertua dalam dunia bola sepak.
1. Jentera Tengah ‘Two Lions’ Yang Suram
Ya. Hanya dua singa yang perlu kita bicarakan terlebih dahulu.
Kita semua mengetahui bahawa Eric Dier adalah seorang pemain bola sepak yang berbakat. Manakala gandingannya di tengah pada malam tadi ialah Jake Livermore.
Livermore telah mendapat panggilan untuk menyertai kem England dalam beberapa siri latihan dan perlawanan sebelum perlawanan malam tadi.
Sejujurnya, Livermore tidak cukup bagus untuk perlawanan sebegini. Dier dengan bakat yang ada pula, masih belum berkebolehan untuk menjadi seorang ketua di bahagian tengah England.
Bagaimanapun, menggandingkan kedua-duanya sebagai pivot bekembar di jentera tengah juga adalah taktikal yang gagal daripada Gareth Southgate.
Untuk perlawanan ini, England memerlukan seorang pemain yang lebih pantas dan berpengalaman.
Memulakan perlawanan dengan Adam Lallana dengan gandingan Dele Alli dan dibantu sebagai Dier sebagai pivot mungkin akan menampakkan hasil yang lebih baik.
Jika pivot berkembar menjadi pilihan, maka Dier dan Livermore tidak akan tersenarai dalam kesebelasan pilihan kami.
Individu berpengalaman seperti Michael Carrick, Jack Wilshere dan juga Jordan Henderson pasti akan memberi impak yang lebih positif.
Mengambil kira faktor usia dan konsistensi prestasi Carrick dan Wilshere, England tampak seperti ketandusan bakat di bahagian tengah.
2.Marcus Rashford Bukan Seorang Pemain Sayap
Perkara kedua ini sentiasa menjadi kegemaran penulis. Lihat sahaja aksi Rashford ketika bersama Manchester United.
Walaupun boleh menyumbangkan sesuatu untuk pasukan dari sebelah sisi kiri sayap, Rashford lebih merbahaya ketika bermain sebagai penyerang tengah.
Ketiadaan Zlatan Ibrahimovic akibat kecederaan memberi ruang kepada Rashford menunjukkan kepada kita bagaimana beliau sering menjadi ancaman kepada pertahanan lawan di posisi itu untuk Manchester United.
Malam tadi, adalah sesutu yang mengejutkan untuk melihat Kane dan Rashford disenaraikan serentak. Ini adalah kerana kedua-duanya bermain di posisi serangan yang sama- penyerang tunggal.
Tetapi yang lebih memeranjatkan ialah Marcus Rahford bermain di sisi sayap kanan!
Ketika Alli cuba mengeksploitasi bahagian tengah serangan England, Lallana di sisi sayap kiri, Rashford tampak tidak selesa bermain di sebelah kanan sayap England.
Perkara ini jelas selepas beberapa minit perlawanan berlangsung. Ada kalanya Rashford bergerak lebih ke tengah. Malah ada gerakannya dilakukan dari posisi Lallana.
Walaupun bukan seorang pemain sayap sejati, Rashford boleh bermain lebih baik dengan menggunakan nalurinya di sebelah kiri sayap pasukan.
Jelas beliau seperti kehilangan akal dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika berada di sebelah kanan.
Semoga ini adalah kali terakhir kita melihat Marcus Rashford beraksi di posisi sayap kanan.
3. Alex Oxlade-Chamberlain, Penunjuk Arah Buat ‘Three Lions’
Hanya 6 minit diperlukan oleh Alex Oxlade-Chamberlain untuk memberikan impak dalam perlawanan ini. Oxlade-Chamberlain dimasukkan untuk menggantikan Rashford pada minit ke-65 perlawanan.
Pemain versatil Arsenal ini merembat menewaskan Craig Dawson selepas larian ke tengah menewaskan beberapa pemain pertahanan Scotland.
Jentera serangan England seperti tiada semangat dan hala tuju sebelum kemasukkan Oxlade-Chamberlain.
Tiada larian yang menewaskan pertahanan Scotland dilakukan. Para pemain dilihat lebih selesa untuk membuat hantaran sesama mereka tanpa kreativiti yang boleh mengancam Craig Dawson.
Semua itu berubah apabila pemain berusia 23 tahun ini memasuki padang.
Lariannya sering menewaskan pertahanan kiri Scotland. Kepantasan dan kekuatannya untuk membawa bola ke hadapan jelas menyukarkan pertahanan lawan sepanjang baki perlawanan.
Gol pendahulan England itu adalah gol yang dihasilkan oleh Alex Oxlade-Chamberlain sendiri tanpa bantuan rakan sepasukan.
Jelas sumbangan dan kualiti yang ada pada Oxlade-Chamberlaine adalah ciri yang England tercari-cari sepanjang 65 minit perlawanan.
Alex Oxlade-Chamberlain membawa nilai tambah keinginan untuk membawa perubahan ke dalam skuad sedia ada.
Perubahan yang di bawa oleh Oxlade-Chamberlain itu mencipta keinginan untuk memburu kemenangan dan bukan bermain seolah-olah menunggu padah kekalahan.
4. Jadual Perlawanan Yang Tidak Sesuai
Siapakah yang berpuas hati dengan mutu perlawanan pada malam tadi?
Jika jadual perlawanan memaparkan pertemuan England vs Scotland, tanpa mengira apa jenis sukan pun ia seharusnya menjadi satu saingan yang penuh emosi untuk ditonton.
Terima kasih untuk sejarah geopolitik kedua-dua pasukan yang bernaung kepada sistem Diraja Britain.
Untuk ulasan yang adil, penyokong kedua-dua pasukan sudah melakukan tugas yang baik dengan mencipta atmofera pertandingan yang hangat dan panas.
Selain daripada jaringan yang cantik, persembahan keseluruhan agak mengecewakan. Perlawanan tersebut tidak dimainkan pada intensiti yang ramai harapkan.
Ini bukan salah barisan pemain mahupun taktikal jurulatih semata-mata.
Lebih daripada itu, perlawanan yang dijadualkan selepas tamat musim bola sepak di Eropah adalah punca kepada kelembapan intensiti perlawanan.
3 minggu selepas musim berakhir di Liga Perdana Scotland dan Liga Perdana Inggeris (EPL), barisan pemain yang diturunkan sepatutnya sedang bercuti.
Ini masanya untuk para pemain untuk berehat selepas musim yang panjang. Namun sebaliknya mereka sibuk dengan persiapan antarabangsa sejak minggu lalu dan perlawanan kelayakkan Piala Dunia pada hujung minggu.
Perlawanan pada 85 minit pertama jelas menunjukkan kurangnya kreativiti dan kesungguhan dalam permainan. Siapakah yang boleh menyalahkan pemain yang beraksi?
Mungkinkah UEFA perlu mengkaji kembali untuk meminda jadual perlawanan anatarabangsa yang diadakan selepas musim baru sahaja berakhir?
5. Hikayat Leigh Griffiths
Secara keseluruhan, kedua-dua negara berkongsi satu mata pada malam tadi. Berbaki 4 lagi perlawanan dalam pusingan kelayakkan, England perlu mengekalkan konsistensi untuk memastikan kedudukan di tangga teratas.
Scotland yang berada di tangga ke-4 dari 6 pasukan dalam saingan Kumpulan F kelayakkan dari Eropah, ketinggalan 4 mata untuk tempat sekurang-kurangnya ke ‘play off’.
Lupakan sebentar peluang kedua-dua negara untuk ke Rusia tahun hadapan. Aksi malam tadi membuatkan tumpuan kita tertuju hanya kepada seorang pemain, Leigh Griffiths.
Sebelum ini, Griffiths hanya tampil sebanyak 4 kali, 2 sebagai pemain gantian untuk Scotland.
Penyerang yang bermain bersama Celtic di Liga Scotland ini belum pernah menjaringkan gol di pentas antarabangsa sebelum perlawanan menentang England malam tadi.
Selepas terlepas beberapa peluang, keadaan itu tampak akan kekal sebegitu sehinggalah beliau melencongkan satu sepakan percuma cantik untuk gol penyamaan Scotland.
Hikayat Griffiths bersama Scotland tidak tamat di situ sahaja. Pada minit ke-90 perlawanan, beliau sekali lagi melencongkan satu lagi sepakan percuma yang lebih menarik untuk meletakkan Scotland di hadapan.
Scotland seharusnya memenangi perlawanan pada kali ini. Ia pasti menjadi satu kenangan manis buat Griffiths jika ia berakhir dengan kemenangan.
Bagaimanapun, Harry Kane menyamakan kedudukan dalam tempoh masa tambahan untuk keputusan berakhir dengan jaringan 2-2.
Rumusan
Banyak lagi perkara yag boleh disentuh seperti taktikal sepesifik yang digunakan oleh Gordon Strachan dan juga Gareth Southgate dalam perlawanan ini.
Atau jika kedua-dua pasukan berjaya melayakkan diri, mampukah Southgate dan Strachan memastikan pasukan masing-masing mencabar dalam kejohanan Piala Dunia?
Atau mungkin anda memikirkan kenapa England memilih jersi berwarna merah dalam perlawanan ini?
Kita biarkan dulu aspek-aspek tersebut untuk disentuh kemudian.
Bagi yang menonton perlawanan pada tengah malam tadi, apakah pendapat anda mengenai peluang kedua-dua pasukan untuk ke Piala Dunia di Rusia pada tahun hadapan?