‘Marquee Player’ & Signifikannya Dalam Mempopularkan Industri Bola Sepak

Apa itu marquee player? Penulis bebas Hairi Mohd tampil lagi, kali ini dengan artikel mengenai marquee player dalam bola sepak.

Jom baca hasil tulisan beliau!

Marquee player merupakan suatu istilah yang dianggap asing dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia.

Istilah marquee player membawa maksud pemain berstatus bintang yang mempunyai reputasi lebih besar berbanding dengan pemain-pemain asing yang lain.

Seseorang pemain yang diberikan status marquee player mestilah mempunyai pengalaman bola sepak yang luas sama ada pernah beraksi di kelab-kelab utama dunia ataupun pengalaman luar biasa bersama pasukan kebangsaan contohnya pengalaman beraksi di kejohanan Piala Dunia.

Marquee player juga dianggap sebagai seorang pemain yang kebal daripada perjanjian salary cap diantara kelab-kelab dengan pihak pentadbir liga.

Kebiasaannya, dalam sesebuah liga yang membenarkan khidmat marquee player, setiap pasukan hanya dibenarkan menandatangani seorang atau dua orang marquee player.

Namun begitu, terdapat sesetengah pihak pentadbir liga yang membenarkan pasukan-pasukan yang mampu berbelanja mewah untuk membawa lebih daripada seorang marquee player ke dalam pasukan mereka.

Sebagai contoh, A League Australia membenarkan setiap kelab untuk mendapatkan dua orang marquee player.

Dua orang marquee player tersebut dikategorikan sebagai marquee player antarabangsa dan marquee player tempatan.

Marquee player antarabangsa menggunakan konsep yang sama seperti marquee player di MLS dan ISL, manakala marquee player tempatan bermaksud para pemain Australia yang mempunyai pengalaman beraksi di liga-liga utama dunia sebelum kembali beraksi di A-League semula.

Contoh marquee player tempatan ialah Tim Cahill dan Harry Kewell.

Sejarah marquee player

Kini konsep marquee player telah diterima oleh banyak negara.

Contoh liga-liga bola sepak yang menggunakan konsep marquee player ialah Major League Soccer (MLS), A-League  dan Indian Super League (ISL) di India.

Sejarah marquee player MLS telah bermula sejak penghijrahan bekas bintang Real Madrid, David Beckham ke L.A Galaxy pada 2007.

Setelah kedatangan David Beckham, sejumlah bintang bola sepak dunia mula mengikuti jejak langkahnya ke MLS iaitu Didier Drogba, Kaka dan Steven Gerrard.

ISL juga pernah berjaya membawa masuk beberapa nama besar bintang bola sepak dunia seperti Alessandro Del Piero, Robert Pires, dan Roberto Carlos.

Kesemua mereka diberikan status marquee player dan ditawarkan dengan gaji yang amat lumayan.

Fungsi dan signifikan marquee player

Fungsi utama marquee player adalah untuk menarik minat dan perhatian masyarakat tempatan untuk meminati sukan bola sepak, menggandakan kehadiran para penonton ke stadium di samping membuka mata para penaja untuk melabur di dalam industri bola sepak.

Maka tidak menghairankan apabila FA Amerika Syarikat (USSF), FA Australia (FFA) dan FA India (AIFF) menggunakan strategi ini untuk menarik perhatian masyarakat kerana bola sepak bukanlah merupakan sukan utama di negara-negara tersebut.

Amerika Syarikat lebih dikenali dengan kehebatan sukan bola keranjang, manakala negara Australia terkenal dengan sukan ragbi dan kriket.

Majoriti rakyat India lebih menggilai sukan kriket berbanding dengan sukan bola sepak yang kurang mendapat tempat di hati rakyatnya.

Kesan penggantungan FIFA kepada bola sepak Indonesia

Seperti yang kita ketahui, Indonesia telah dikenakan penggantungan daripada segala aktiviti bola sepak selama dua musim.

FIFA telah mengenakan penggantungan tersebut akibat krisis berlarutan yang berlaku dalam kalangan pihak pengurusan tertinggi sukan di negara tersebut.

Kesan daripada penggantungan tersebut, reputasi bola sepak Indonesia dalam kalangan peminat bola sepak dan pemain-pemain asing rosak teruk dan ranking pasukan kebangsaan Indonesia jatuh menjunam.

Marquee player: Langkah melonjakkan populariti Liga Indonesia semula

Setelah bebas daripada penggantungan FIFA, FA Indonesia (PSSI) tidak menunggu lama untuk memulihkan reputasi bola sepak negara mereka.

Antara tindakan yang diambil oleh mereka adalah dengan menstrukturkan sistem liga mereka semula dengan membahagikan liga Indonesia kepada tiga bahagian iaitu Liga1, Liga 2 dan Liga 3 atau dikenali sebagai Liga Nusantara.

Selain itu mereka juga berusaha memberi peluang yang lebih banyak kepada para pemain muda untuk beraksi apabila mewajibkan setiap pasukan mendaftarkan lima orang pemain muda yang berusia di bawah 23 tahun.

Tiga orang di antaranya wajib berada dalam kesebelasan utama pasukan pada setiap perlawanan liga.

Selain itu, PSSI juga hanya mengizinkan setiap kelab memiliki dua orang pemain yang berusia 35 tahun ke atas.

Langkah yang terakhir dan yang paling mendatangkan polemik di Indonesia ialah PSSI juga berusaha memperkenalkan kembali konsep marquee player seperti yang pernah dirancang pada suatu masa lalu.

Syarat pendaftaran marquee player di Liga Indonesia

PSSI telah meletakkan syarat kepada setiap pasukan untuk mendaftarakan hanya empat orang pemain asing bagi setiap pasukan.

Setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan dua orang pemain asing antarabangsa, seorang pemain asing Asia dan seorang marquee player iaitu dengan formula [2 + 1 + (1)]

PSSI juga telah menetapkan dua syarat utama bagi pengambilan marquee player.

Syarat utama tersebut ialah pemain berstatus marquee player di liga Indonesia mestilah mempunyai pengalaman bermain di lapan buah liga utama Eropah iaitu liga utama England, Jerman, Sepanyol, Perancis, Portugal, Itali, Belanda dan Turki.

Manakala jika pemain tersebut tidak dapat memenuhi syarat pertama, mereka diberi peluang kedua iaitu mereka hendaklah mempunyai pengalaman bermain di tiga edisi terakhir Piala Dunia iaitu edisi 2004, 2010 atau 2014.

Gambar: Pikiran Rakyat

Senarai marquee player Liga Indonesia

Setelah tamat tempoh pendaftaran pemain liga Indonesia, sebanyak 15 buah kelab Liga 1 Indonesia telah berjaya mendaftarkan seorang marquee player mereka, manakala tiga buah kelab mengambil keputusan untuk tidak menggunakan khidmat marquee player.

Kelab tesebut ialah Persipura Jayapura, Perseru Serui, dan Persegres Gresik United yang hanya menyenaraikan 3 orang pemain asing bagi mengharungi liga 1 Indonesia.

Antara marquee player di Liga 1 Indonesia ialah:

  • Anmar Al Mubaraki (Persiba Balikpapan)
  • Bruno Lopes (Persija Jakarta)
  • Didier Zokora (Semen Padang)
  • Douglas Packer (Barito Putera)
  • Elio Martins (PS TNI)
  • Jose Coelho (Persela Lamongan)
  • Juan Pino (Arema FC)
  • Michael Essien (Persib Bandung)
  • Mohamed Sissoko (Semen Padang)
  • Nick van der Velden (Bali United)
  • Paulo Sergio (Bhayangkara FC)
  • Peter Odemwingie (Madura United)
  • Shane Smeltz (Borneo FC)
  • Tijani Belaid (Sriwijaya FC)
  • Willem jan Pluim (PSM Makassar)

Marquee player: Kelab Indonesia tak serius?

Selain Michael Essien, Carlton Cole, dan Peter Odemwingie, kebanyakan marquee player Liga 1 Indonesia bukanlah nama-nama besar dalam pentas bola sepak antarabangsa.

Hampir kesemua mereka layak didaftarkan sebagai marquee player berdasarkan syarat minimum marquee player liga Indonesia.

Terdapat sesetengah pemain yang didaftarkan sebagai marquee player hanya mempunyai pengalaman bermain sebanyak satu perlawanan dalam salah satu daripada lapan liga utama yang telah digariskan oleh PSSI.

Namun tetap didaftarkan oleh kelab masing-masing sekadar untuk memenuhkan kuota marquee player kelab masing-masing.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN