Tidak ada pemenang untuk pertembungan Derbi Manchester. Manchester City dan Manchester United terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata setelah perlawanan tamat tanpa jaringan di Stadium Etihad, awal pagi tadi.
Drama adalah perkara biasa. Fellaini dilayangkan kad merah ketika saingan berbaki 6 minit menuju wisel penamat. Insiden ini menyebabkan Fellaini disindir di media sosial oleh penyokong Red Devil sendiri.
City memiliki peluang yang lebih baik untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini. Rembatan Sergio Aguero terkena tiang gol dan Aguero terus mensia-siakan beberapa peluang lain yang terhidang.
Manchester United turut memiliki peluang mereka tersendiri untuk menghukum City. Mkhytaryan gagal menghukum kesilapan Claudio Bravo yang gagal menepis kemas hantaran lintang United dan Ander Herrera pasti tidur tidak lena apabila gagal menyudahkan hantaran cantik hasil sepakan percuma Marcus Rashford.
Ini adalah 5 perkara yang boleh kita pelajari daripada derbi awal pagi tadi.
1. Marcus Rashford “The Menace”
Marcus Rashford mempermainkan Martin Demichelis dalam kemenangan United pada derbi musim lepas di Etihad. Kali ini giliran satu lagi pertahanan Argentina, Nicola Otamendi menjadi mangsa.
Kepantasan Rashford sentiasa membuatkan pertahanan City itu tidak selesa. Dalam satu perebutan, Otamendi gagal memenangi bola walaupun berada hampir 5 meter di hadapan penyerang antarabangsa England itu.
Kelicikkan Rashford terus menyukarkan Otamendi dalam perlawanan ini. Dalam satu gerakan, Rashford menyungkit bola melepasi kepala Otamendi untuk melepaskan diri.
Rashford kemudiannya menggunakan kepantasan untuk menewaskan pertahanan antarabangsa Argentia itu berulang kali sepanjang perlawanan.
2. Vincent Kompany, Tembok Besar City.
Kecederaan adalah perkara yang sering mensabotaj prestasi Vincent Kampony. Kita semua tahu kualiti yang dimiliki oleh Kompany andai dia cergas sepenuhnya.
Kompany adalah antara pertahanan tengah terbaik di dunia kerika kemuncak prestasinya.
Kejayaan Manchester City merangkul kejuaraan liga sebelum ini turut kerana keampuhan pertahanan City yang sukar ditembusi dengan kehadiran pertahanan antarabangsa Belgium itu.
Kebolehan Kompany untuk membaca permainan adalah aset utama pemain ini. Dalam perlawanan awal pagi tadi, kelebihan itu juga terserlah.
Kompany sering dilihat mematikan hantaran-hantaran yang mampu membinasakan pertahanan City.
Fizikal Kompany juga adalah satu kelebihan untuk beliau dan City. Ketiadaan pemain seperti Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic turut memudahkan tugas Kompany memenangi perebutan bola tinggi.
3. Sergio Aguero Berada Dalam Kelas Tersendiri
Gabriel Jesus kembali tersenarai ke dalam skuad Manchester City dalam perlawanan ini. Gabriel Jesus kembali setelah disisihkan selama 10 minggu akibat kecederaan.
Sergio Aguero membuktikan kepada Pep Guardiola bahawa dirinya harus menjadi pilihan nombor 1 di bahagian serangan Manchester City.
Dalam perlawanan ini, kita boleh menyaksikan bagaimana Aguero membuka peluang buat dirinya walaupun situasi tampak terkawal buat pertahanan United pada mulanya.
Aguero turut memporak porandakan pertahanan United setiap kali bola berada di kakinya. Aguero sentiasa satu ancaman kepada pertahanan United apabila berada di kotak penalti lawan.
Dalam satu percubaan, Aguero memaksa David De Gea melayangkan badannya untuk menyelamatkan rembatannya.
Penyerang Argentina itu juga mudah mengelirukan Daley Blind dan Ander Herrera dalam satu gerakan cantik sebelum melepaskan rembatan.
4. Claudio Yang Kurang Bravo
Caludio Bravo mungkin telah memenangi saingan sebagai penjaga gol utama Manchester City setelah diturunkan dalam dua perlawanan berturut-turut oleh Pep Guardiola.
Bravo bersaing dengan Willy Caballero untuk jersi nombor 1 di Etihad.
Bagaimanapun, Bravo terus menimbulkan keraguan terhadap kemampuan sebenarnya dalam perlawanan ini. Bravo dikecam oleh penyokong City sebelum ini kerana sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah.
Dalam satu gerakan United, Bravo gagal menepis kemas hantaran lintang Anthony Martial. Sebaliknya, bola tepisan Bravo singgah terus ke kaki Henrik Mkhitaryan.
Walaupun berjaya menyelamatkan percubaan pemain antarabangsa Armenia itu, kesilapan tersebut terus membuatkan penyokong City kurang yakin akan kebolehannya.
Bravo mengakhiri perlawanan derbi ini dengan kecederaan. Bekas penjaga gol Barcelona ini terpaksa diusung keluar oleh medik setelah mendarat dengan cara tidak betul.
Bravo kelihatan seperti mencederakan dirinya apabila cuba menepis sepakan penjuru United yang sepatutnya adalah satu tangkapan rutin.
5. Herrera Dan United Mungkin Menyesal
Dalam perlawanan yang peluang adalah emas, kegagalan Herrera menyempurnakan peluang keemasan yang terhidang mungkin akan menjadi kekesalan buat beliau dan pasukannya.
Herrera gagal menyempurnakan peluang yang terhidang seminit sebelum wisel separuh masa pertama ditiup. Rashford membuat hantaran lintang melalui sepakan percuma melepasi semua pemain kecuali Herrera.
Kehadiran Herrera yang menyelinap mencari ruang, tidak disedari oleh pertahan Manchester City. Bagaimanapun, tandukan Herrera sekadar liar dan tersasar walaupun tidak disaingi oleh mana-mana pertahanan City.
Manchester United masih berpeluang melayakkan diri ke UEFA Champions League pada musim hadapan, walaupun seri perlawanan ini.
Siapa tahu?
Herrera dan United mungkin meratapi peluang yang membenarkan mereka memintas City untuk kedudukan ke-4 liga dalam perlawanan ini.
Kesimpulan
Perlawanan berakhir terikat tanpa jaringan. Manchester City kekal di tangga ke-4 mengatasi United dengan 1 mata di tangga ke-5.
Apakah nasib kedua-dua kelab dari bandar Manchester ini pada akhir musim? Bolehkah kedua-duanya merebut slot ke UCL pada musim hadapan? Apa punyai pandangan? Nyatakan di ruangan komen.
Baca juga: 7 Tugas Dan Cabaran Admin Group Whatsapp Futsal Ataupun Bola Sepak