5 Perkara Menarik Dari Perlawanan Derbi Yang Lebarkan Rekod Tanpa Kalah Manchester City

Manchester City berjaya melebarkan kedudukan di persada Liga Perdana Inggeris kepada 11 mata, selepas menewaskan Manchester United 2-1 dalam perlawanan pada tengah malam tadi.

Dua kesilapan Romelu Lukaku, pantas dihukum oleh David Silva dan juga Nicolas Otamendi untuk melebarkan rekod tanpa kalah Pep Guardiola bersama Manchester City kepada 16 perlawanan.

Berikut ialah 5 perkara yang boleh kita pelajari

1. Raheem Sterling: No.9 jadian ciptaan Guardiola

Ketika kesebelasan utama Manchester City diumumkan, ramai yang terpaku apabila melihat nama Sergio Aguero sekadar berada di dalam senarai pemain simpanan.

Leroy Sane bermula dari sebelah kiri, tetapi turut beraksi dari kedua-dua belah bahagian sayap sepanjang perlawanan. Manakala penyerang Brazil, Gabriel Jesus bermula di bahagian tengah, turut segera diarahkan beraksi di sebelah kiri bahagian serangan selepas itu.

(Photo by Matthew Peters/Man Utd via Getty Images)

Perkara yang paling menarik perhatian di dalam taktikal Pep Guardiola ialah peranan yang diberikan kepada Raheem Sterling.

Jika anda memerhatikan ‘heat map’ (rajah bawah) Sterling dalam perlawanan pada malam tadi, pemain antarabangsa England tersebut lebih banyak berada di kawasan tengah serangan.

Sumber: SofaScore

Ini bermakna Sterling memainkan peranan sebagai No.9 jadian di dalam sistem Guardiola dalam perlawanan ini.

5 cubaan menggelecek sepanjang perlawanan, 4 daripadanya berjaya disempurnakan Sterling; membuktikan kelincahan dan skill individunya sering menyukarkan pertahanan lawan.

Persoalannya. Adakah Guardiola cuba membangunkan Sterling sebagai pemain penyerang No.9 jadian? Jika ya, bayangkan variasi dan pilihan serangan yang dimiliki oleh Manchester City.

2. Manchester City hampir sempurna

Kini hanya tinggal 2 perlawanan sahaja lagi untuk Manchester City untuk melengkapkan pusingan pertama musim 2017/18.

Sepanjang 16 perlawanan, hanya Everton berjaya mencuri 1 mata daripada anak buah Pep Guardiola, tatkala pesaing utama yang lain seperti Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Manchester United masing-masing tewas.

Guardiola dibawa oleh pemilik City untuk memenangi trofi, juga untuk menampilkan sebuah pasukan yang bermain dengan corak permainan yang menghiburkan.

(Photo by Michael Steele/Getty Images)

Setakat ini, Guardiola boleh berbangga dengan senarai semak untuk tugasan untuk Manchester City. Jika ada satu kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh anak buah Mauricio Pochettino dalam perlawanan pada 13 Disember akan datang, ia adalah di bahagian pertahanan.

Gol penyamaan Manchester United adalah kerana kegoyahan bahagian pertahanan tengah yang merupakan masalah lama di dalam skuad City.

Berpunca daripada kegagalan Nicolas Otamendi membaca hantaran lintang yang sepatutnya dipertahankan secara lebih kemas, Marcus Rashford menyempurnakan peluang yang terhidang.

(Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images)

Jika Guardiola ingin pergi lebih jauh di dalam saingan UEFA Champions League, aspek kesilapan mudah sebegini harus diperbaiki. Apatah lagi ketika mereka dijangka akan berhadapan dengan kuasa besar bola sepak eropah yang lain di peringkat kalah mati.

3. Manchester United perlukan lebih ramai ‘Jesse Lingard’

Jangan nafikan. Penyokong Manchester United tidak boleh menafikan bahawa mereka akan merindui era Sir Alex Ferguson. Pengendali legenda dari Scotland itu mampu memenangi mana-mana perlawanan walaupun dengan skuad serba tempang.

Namun demikian, ia tidak lagi begitu di Manchester United sejak persaraan Sir Alex.  Apakah antara rahsia kejayaan pengurus berbangsa Scotland itu sepanjang lebih 2 dekad di Old Trafford?

(Photo credit should read ADRIAN DENNIS/AFP/Getty Images)

Di era Sir Alex, beliau amat bertuah kerana memiliki pemain-pemain kurang ternama, namun sentiasa berhabis-habisan beraksi di atas padang.

Nama-nama seperti Ronny Johnsen, Wes Brown, Jonny Evans, Nick Butt, Darren Fletcher dan Park Ji Sung adalah antara pemain-pemain tersebut.

Rata-rata pemain ini adalah produk dari akademi Manchester United sendiri. Pemain seperti ini telah ditanam dengan semangat ‘Mancunian’ sejati, memiliki ego untuk berjaya.

Park Ji Sung bukanlah produk akademi United, namun beliau cukup memahami frasa ‘Mancunian’ itu sendiri. Ini menjadikan pemain seperti Ji Sung sebagai antara pemain kesayangan Sir Alex.

(Photo by Tom Purslow/Man Utd via Getty Images)

Bekas pemain antarabangsa Korea Selatan itu sanggup bekerja keras untuk pasukan, dan merupakan pemain penting untuk menukar corak permainan bertahan kepada serangan pantas secara efektif.

Pada hari ini, Mourinho hanya mempunyai Jesse Lingard sebagai pemain yang menghampiri profil tersebut.

Pada satu ketika di separuh masa kedua, larian bijaknya untuk mencari ruang sebelum menerima hantaran Ashley Young,  meletakkan United berada di posisi menyerang.

Kebolehan seperti ini menyebabkan Park Ji Sung menjadi pemain penting di era Sir Alex, dan Jesse Lingard mulai menunjukkan dirinya berada di acuan yang sama.

Adakah Mourinho perlu mencari lebih ramai ‘Jesse Lingard’?

4.  Lukaku Bukan Didier Drogba

Media sosial dipenuhi dengan cemuhan ke atas Romelu Lukaku selepas pemain ini dikatakan punca kekalahan Manchester United pada malam tadi.

Cemuhan tersebut bukan sahaja datang dari kalangan penyokong lawan, malah segelintir dari penyokong Manchester United sendiri turut melakukan perkara yang sama.

Inilah bola sepak moden. Cemuhan harus dianggap sebagai kritikan untuk menjadi lebih baik. Untuk itu, kami mengharapkan Lukaku bertabah.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Perlawanan derbi Manchester yang pertama buat Lukaku bersama Manchester United pasti menjadi perlawanan yang segera pemain ini mahu lupakan.

Kegagalan Lukaku untuk mengeluarkan bola dari zon bahaya, lantas disambar oleh David Silva dan juga Otamendi untuk memberi kelebihan kepada City. Kesilapan yang menjadi punca kepada gol Silva mungkin boleh dimaafkan.

Namun gol oleh Otamendi menunjukkan betapa Lukaku tidak boleh disandarkan dengan tugasan untuk membantu pertahanan sepertimana Didier Drogba pernah lakukan untuk Mourinho ketika bersama Chelsea.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Cubaan Lukaku untuk mengeluarkan bola dari zon bahaya dengan cara sebegitu dianggap tidak kemas, mengambil kira jumlah pemain yang berada di hadapannya. Anda mungkin mempersoalkan bahawa pertahanan bukan tugasan hakiki Lukaku.

Abaikan tugasan pertahanan, maka Mourinho harus lebih risaukan produktiviti Lukaku di bahagian serangan.

Di dalam 14 perlawanan terakhir, pemain ini hanya menjaringkan 2 gol untuk United, selepas cemerlang dengan 16 gol dalam 13 penampilan awal dalam semua pertandingan.

5. David Silva semakin berbisa

Jika usia yang menjadi ukuran, maka David Silva boleh dianggap sebagai pemain veteran.

Di Manchester City, Pep Guardiola telah melakukan beberapa perubahan drastik untuk memastikan senarai usia pemain kekal relevan.

Kevin De Bruyne berusia 26 tahun, Raheem Sterling kini 23, Leroy Sane berusia 21 tahun, dan Bernardo Silva baru mencecah usia 23 tahun. Namun pada usia 31 tahun, prestasi Silva turut meningkat selari dengan usianya.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Di Manchester City, David Silva telah terlibat dengan gerakan-gerakan dari permainan terbuka paling banyak berbanding mana-mana pemain lain di Liga Perdana Inggeris.

Di Old Trafford, Silva turut menjaringkan 1 gol, dan turut membantu dalam pembikinan gol kedua perlawanan buat pendahulu liga itu.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Corak permainannya kelihatan bersahaja kerana ketenangan yang dimilikinya ketika bola berada di kaki. Visi dan hantaran mencari rakan sepasukan untuk membuka serangan sentiasa berbahaya.

Tidak hairanlah nama David Silva menjadi antara pemain sebutan Pep Guardiola dan Jose Mourinho beberapa hari sebelum perlawanan derbi Manchester.

Rumusan

Liga Perdana Inggeris belum memasuki fasa jadual yang padat seperti ketika Krismas akan datang, dan kini Manchester City sudah melebarkan kelebihan kepada 11 mata di persada liga.

Mampukah mereka mengekalkan momentum kemenangan untuk bergelar juara? Atau mampukah mereka mengulangi apa yang pernah dicapai oleh Arsenal, untuk tampil sebagai juara tidak terkalah?

Apa pendapat penyokong Manchester City?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN