Kedah memerlukan pertarungan 120 minit untuk menewaskan pasukan Negeri Sembilan dalam saingan Piala FA semalam. Gol kemenangan Kedah hadir pada babak akhir masa tambahan ke-2 menerusi Baddrol Bakhtiar.
1. Azraai Khor ‘memperjudikan’ perlawanan pertama beliau
Dalam perlawanan ini, Azraai Khor dilaporkan tidak terlibat lagi dalam sebarang sesi latihan untuk persediaan perlawanan ini.
Jika di Eropah kita biasa melihat jurulatih hanya akan diberikan perlawanan debut pada perlawanan yang mereka terlibat dalam persediaan.
Jadi, Sam Allardyce tempoh hari duduk di kerusi penyokong untuk beberapa perlawanan kerana persediaan beberapa perlawanan sudah dibuat oleh interim ketika itu.
Untuk perlawanan ini, Azraai Khor menerima rekod kekalahan pertama dalam keadaan beliau lebih kepada menjadi motivator kepada pasukan yang sudah disediakan oleh oleh orang lain.
Apapun, tabik juga kepada Azraai yang sanggup menerima risiko itu. Dan beliau tetap dianggap watak yang sentiasa dialu-alukan di Stadium Darul Aman sebagai jurulatih terbaik dalam sejarah Hijau Kuning.
2. Sistem deep lying forward Kedah
Kedah merehatkan penyerang no.9 mereka Pablo Pallares dan menjadikan Sandro Medonca sebagai penyerang dari bawah dalam sistem deep lying forward.
Sistem ini tidak cukup baik kerana 2 pemain sayap mereka tidak membentuk larian taktikal yang berhubung dengan Sandro. Andik dan Syazwan dilihat bermain sistem sayap yang lebih kepada penghantar bola lintang.
Banyak hantaran lintang sia-sia kerana mereka tidak bermain sistem ‘target man’. Gol Baddrol itu adalah contoh bagaimana pemain dari sayap harus memanipulasi ruang di half-space dalam sistem ini bukannya pergi terlalu ke sayap.
Baca penjelasan di sini:
3. Kreativiti Kedah dan Sang Penyelamat Baddrol Bakhtiar
Kedah mencipta banyak peluang namun mereka tidak banyak mencipta peluang besar. Kreativiti mereka masih perlu diperbaiki. Terlalu banyak keputusan yang tidak tepat ketika berada dalam blok serangan.
Banyak percubaan jarak jauh yang lemah dan pada situasi mereka patut lebih sabar untuk mengisi dan memenuhkan kotak penalti pasukan lawan.
Jika anda mahu melihat bagaimana sepatutnya mereka bermain, anda boleh lihat hanya 10 minit terakhir perlawanan ini, di mana lebih banyak permainan kombinasi di dalam kotak penalti untuk berhadapan dengan taktikal ultra-defensif.
Seperti biasa, apabila Kedah buntu, nama Baddrol Bakhtiar sentiasa antara yang mampu menghadirkan magis untuk menjulang pasukan ini. Berapa kali beliau sudah melakukannya untuk Kedah? Tak terkira!
4. Negeri Sembilan pasif
Dari awal perlawanan mereka bermain dengan sistem defensif. Berada dalam keadaan kompak. Namun kelemahan mereka adalah serangan balas.
Mana-mana pasukan yang bermain bertahan harus ada kemampuan untuk menyerang balas kerana ini adalah kalah mati. Sebab itu disebut taktikal bertahan ‘sit deep and counter attacking football’.
Negeri Sembilan lebih kepada mahu membawa perlawanan ini ke sepakan penalti.
5. Aksi Kedah lebih baik
Ini adalah perlawanan terbaik Kedah musim ini walaupun ada isu dengan taktikal untuk sistem deep lying forward. Selebihnya mereka memperbaiki banyak aspek.
Pemain mereka tidak terlalu banyak sentuhan bola (overplay) terutama sekali Liridon Krasniqi. Mereka lebih berdisiplin untuk bertahan berbanding dengan beberapa perlawanan sebelum ini.
Rumusan
Kedah gagal membunuh perlawanan ini lebih awal kerana isu taktikal di serangan bertiga. Jika aspek itu lebih baik, mereka tidak perlu berjuang sampai 120 minit dalam perlawanan ini.
Negeri Sembilan jelas sekali sedar yang mereka pasukan kedua terbaik dalam perlawanan ini kerana persediaan terganggu dengan pertukaran jurulatih.
Namun mereka membuktikan kesungguhan ketika bertahan walaupun serangan balas mereka kurang tajam.
Kredit foto: Kedah FA