5 Perkara Daripada Kejayaan Man Utd Tewaskan Brentford Dan Kembali Ke Landasan Kemenangan

Manchester United kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Brentford 3-1 di dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Ralf Rangnick menuju ke perlawanan ini tanpa sebarang kemenangan dalam dua perlawanan terakhir liga, tewas 0-1 kepada Wolves dan diikat Aston Villa 2-2.

Situasi tersebut turut tidak dibantu dengan pelbagai laporan negatif media mengenai situasi di dalam bilik persalinan – menjadikan perlawanan ini perlawanan wajib menang buat pasukan.

Berikut adalah lima perkara yang boleh diambil hasil dari kemenangan 3-1 ke atas Brentford pada awal pagi tadi.

Kembalinya CR7 dan peranan tidak didendang

Amat mudah untuk menyalahkan pemain dengan karisma seperti Cristiano Ronaldo. Pemain dengan kaliber seperti Ronaldo akan dianggap gagal setiap kali gagal mencetak nama sebagai pemain tanpa mengambil kira peranan yang dimainkan di dalam pasukan.

Menentang Brentford, Ronaldo bertindak sebagai decoy untuk mengalih perhatian yang membenarkan Manchester United mendahului 2-0 melalui jaringan oleh Anthony Elanga dan Mason Greenwood.

Gol pertama oleh Elanga menyaksikan Ronaldo berjaya mengalihkan perhatian pertahanan Brentford sekaligus meninggalkan ruang yang dieksploitasi dengan baik oleh pemain muda itu.

Ronaldo sekali lagi memainkan peranan untuk jaringan kedua Manchester United, apabila mendada bola ke arah Bruno Fernandes sebelum menghantarnya kepada Mason Greenwood yang tidak dikawal untuk menolak masuk jaringan kedua Red Devils.

Ronaldo kelihatan seperti tidak berpuas hati dikeluarkan oleh Ralf Rangnick selepas itu. Segar daripada menerima anugerah khas FIFA, Ronaldo sebenarnya tidak pernah puas walaupun sudah berusia 36 tahun. Pemain ini sentiasa memiliki mentaliti berkelas dunia untuk menjadi yang terbaik.

David de Gea selamatkan Man Utd

Manchester United tidak akan mampu membawa pulang tiga mata dari kunjungan pertama mereka ke Stadium Komuniti Brentford sekiranya tidak kerana aksi tangkas David de Gea pada separuh masa pertama perlawanan.

Penjaga gol dari Sepanyol itu berulang kali menafikan lawan dengan aksi menyelamat luar biasa, terutamanya menggunakan kaki.

Hakikat bahawa De Gea merekodkan jumlah menyelamat tertinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini menjelaskan situasi dan masalah di dalam pasukan yang tidak pernah diselesaikan walaupun telah dikendalikan alih oleh beberapa jurulatih.

Semua pihak maklum kelemahan utama Manchester United sejak beberapa musim lalu ialah di bahagian tengah, di mana seorang pemain tengah bertahan yang berkaliber diperlukan.

Adakalanya aksi oleh De Gea mampu memberikan mata yang diperlukan United. Tetapi adakalanya bolos satu gol sekali pun, cukup untuk meletakkan pasukan ini di dalam krisis.

Bintang baharu Man Utd

Prestasi Man Utd pada hari ini mungkin tidak sama seperti pada ketika era Sir Alex Ferguson. Tetapi satu perkara yang kelab ini tidak pernah gagal lakukan ialah untuk melahirkan pemain muda dari akademi untuk menjadi bintang skuad utama.

Selepas Marcus Rashford, Mason Greenwood, dan Scott McTominay seorang lagi pemain muda produk sendiri yang dilihat berpotensi untuk teus diketengahkan adalah Anthony Elanga.

Selepas menyerlah dalam penampilan menentang Aston Villa, pemain muda kelahiran Sweden ini terus diberikan kepercayaan oleh Rangnick untuk membarisi kesebelasan utama United buat kali pertama dalam kariernya.

Pemain berusia 19 tahun ini membalas kepercayaan diberikan oleh pengurus pasukan dengan gol pembukaan perlawanan, dan memberi indikasi dirinya bersedia untuk menjadi bintang masa hadapan Man Utd.

Sepanjang perlawanan, Elanga konsisten melakukan larian yang menyukarkan lawan, dan akhirnya berjaya menyambut hantaran Fred sebelum menanduk masuk gol pertama perlawanan.

Ia adalah jaringan Liga Perdana Inggeris kedua Elanga selepas berjaya membolosi gawang Wolves pada musim lalu, juga melalui tandukan.

Tidak menghairankan jika Elanga terus diberikan kepercayaan membarisi pasukan untuk perlawnaan menentang West Ham pada Sabtu ini, sekaligus menyisihkan pemain yang lebih berpengalaman seperti Marcos Rashford, Jadon Sacho dan Anthony Martial.

Rashford  perlu pulihkan keyakinan

Dikritik hebat kerana prestasi yang ditampilkan sebelum ini, Rashford kali ini tampil mengingatkan kemampuan sebenar beliau. Untuk perlawanan menentang Brentford, Rshford terpaksa akur memulakan perlawanan dari bangku pemain simpanan selepas Rangnick memilih untuk mendahulukan Elanga di dalam kesebelasan utama pasukan.

Man Utd sedang mendahului dua gol ketika Rashford dimasukkan dan memburu jaringan untuk memulihkan keyakinan yang tergugat sejak berbulan lamanya. Selesa berada di hadapan, situasi tersebut sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kepada Rashford.

Hasilnya, Rashford menampilkan ketenangan – memastikan diri sentiada berada di dalam kedudukan onside untuk menyambut hantaran Bruno Fernandes, sebelum menyudahkannya dengan satu rembatan deras yang tidak memberi peluang langsung kepada penjaga gol.

Jaringan tersebut adalah yang pertama buat Rashford sejak Oktober. Sudah pasti Rangnick berharap senyuman yang terukir di wajah pemain England itu di akhir perlawanan menjadi petanda keyakinan dirinya kini kembali pulih, sekali gus bermakna pemain No.10 itu kini bersedia untuk mencetak lebih banyak gol untuk pasukan.

Belum ada tempat untuk Maguire

Selepas tidak berada di dalam skuad untuk perlawanan menentang Wolves dan perlawanan Piala FA menentang Aston Villa, kapten pasukan United itu kini kembali menyertai pasukan, tetapi sekadar memanaskan bangku pemain simpanan pada awal pagi tadi.

Maguire mungkin sudah pulih dari kecederaan dada yang dialaminya sebelum ini, tetapi Ralf Rangnick lebih selesa dengan gandingan Victor Lindelof dan Raphael Varane buat masa ini.

Lindelof dan Varane dilihat sebagai pemain yang lebih pantas berbanding kapten pasukan itu, dan ia jelas mempengaruhi keputusan Rangnick dalam menentukan siapakah pemain pilihan utama untuk diturunkan.

Ini bermakna status pemain pertahanan termahal dunia tidak akan mempunyai makna lagi selepas ini, dan Maguire harus berusaha lebih keras untuk meyakin Rangnick beliau selayaknya menjadi pemain pilihan utama di benteng Man Utd.

Dalam perlawanan menentang Brentford, Maguire akhirnya diturunkan pada 20 minit terakhir perlawanan ketika Rangnick berkeksperimen sistem bek bertiga.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN