5 Penyerang Hebat Dari Afrika Yang Pernah Dilahirkan

Benua Afrika telah melahirkan ramai bakat luar biasa dalam sukan bola sepak sejak sekian lama. Pemain dari benua ini biasanya hadir dengan pakej yang lengkap iaitu susuk fizikal yang hebat, kemahiran mengelecek, kepantasan dan rembatan kencang ke arah pintu gol.

Kurangnya kemudahan latihan dan keadaan padang yang tidak memuaskan di beberapa negara tersebut memaksa pemain mereka memilih untuk merantau dan berhijrah ke eropah bagi mengembangkan bakat mereka dalam sukan bola sepak.

Mereka sanggup meninggalkan keluarga dan bekerja keras untuk mencipta nama di luar negara. Malah, mereka tidak kisah bermula dengan gaji kecil asalkan diterima masuk dalam pasukan itu.

Ini menjadi jawapan kepada persoalan kenapa kebanyakan pasukan ternama Eropah banyak menggunakan khidmat penyerang dari Afrika. Kehebatan mereka beraksi di posisi serangan itu memang tidak dapat dinafikan.

Penulis telah mengenalpasti 5 penyerang terbaik dari benua Afrika yang pernah dilahirkan dan berjaya mencipta nama di Eropah:

  1. El-Hadji Diouf (Senegal)

Beliau pernah dianugerahkan sebagai pemain terbaik di Afrika dalam 2 kejohanan yang berbeza. Siapa sangka bekas bintang Liverpool ini memilih untuk beraksi dalam saingan divisyen 2 Liga Malaysia pada musim 2015 dengan pasukan Sabah.

Semuanya nampak baik, namun tak sampai satu musim beliau sudah pun cabut lari dari pasukan Borneo itu, Diouf sememangnya terkenal sebagai pemain paling gagal ketika menjadi pemain di Liverpool. Beliau juga dibenci penyokong Celtic ketika menjadi pemain Rangers satu masa dahulu.

Namun begitu, Diouf tetap merupakan antara pemain terbaik dari Afrika jika dinilaikan pencapaianya di peringkat antarabangsa. Beliau menjaringkan 21 gol ketika bersama skuad kebangsaan Senegal dan membantu negaranya layak ke Suku Akhir Piala Dunia 2002 di Korea dan Jepun.

Beliau juga pernah dipilih menyertai “World Cup All-Star Team” berdasarkan pencapaian cemerlangnya bersama pasukan Senegal.

Hasil daripada kejayaan itu, beliau mendapat tawaran untuk menyertai pasukan Liverpool dan sempat memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2005 yang dikenali sebagai “Miracle of Istanbul”.

Kini, beliau tidak lagi bermain dengan mana-mana pasukan dan difahamkan memilih untuk menjadi ahli politik. Diouf juga berkata dirinya sudah mengambil kursus kejurulatihan untuk menjadi jurulatih. Namun beliau belum lagi bercadang untuk menjadi jurulatih.

2. Nwankwo Kanu (Nigeria)

Nwankwo Kanu merupakan penerima anugerah pemain terbaik Afrika sebanyak 2 kali. Beliau adalah antara pemain yang berjaya mengecapi semua kejayaan dalam pelbagai kejohanan kecuali Piala Dunia. Beliau juga merupakan kapten skuad kebangsaan Nigeria.

Antara pencapaian cemerlang Kanu ialah beliau pernah membantu Nigeria memenangi pingat emas olimpik pada tahun 1996. Kejayaan itu ternyata telah menarik minat beberapa kelab gergasi eropah untuk memburu khidmatnya.

Beliau juga mempunyai pengalaman bermain di Piala Dunia, Piala Afrika, Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris dan beberapa kejohanan sekitar Eropah.

Antara kelab gergasi Eropah yang pernah disertai oleh Kanu ialah Ajax, dimana beliau membantu pasukan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dan memenangi Piala UEFA bersama kelab gergasi Italy, Inter Milan.

Kanu kemudian menyertai Arsenal pada tahun 1999 dan menjaringkan lebih 50 gol dengan skuad Gunners itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Ketika itu ia merupakan zaman kegemilangan Arsenal yang menjuarai Liga Perdana Inggeris sehingga mendapat gelaran “The Invincbles” .

Namanya sehingga kini masih diingati oleh penyokong Arsenal sebagai penyerang yang terbaik dari Afrika.

3. Didier Drogba (Ivory Coast)

Nama beliau sentiasa diingati buat selama-lamanya di Stamford Bridge. Lagenda Chelsea ini merupakan penjaring terbanyak skuad kebangsaan Ivory Coast dengan rekod 65 gol dalam lebih 100 penampilan.

Drogba juga telah menjaringkan banyak gol ketika bersama Chelsea berbanding dengan pemain lain. Beliau juga mencipta sejarah menjadi penyerang keempat yang jaringan terbanyak sepanjang masa dalam kelab itu.

Pada tahun 2012, beliau menjadi pemain yang pertama dari benua Afrika yang mencapai rekod jaringan 100 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Antara kejayaan yang paling diingati oleh penyokong Chelsea ialah jaringan penyamaannya pada minit ke 88 ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayern Munich telah mengelakkan skuad The Blues itu terlepas gelaran juara.

Apabila memasuki masa tambahan sehingga penalti, Drogba kemudian menyempurnakan sepakan penalti yang membolehkan Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.

Pencapaian cemerlangnya itu telah mendapat pengiktirafan dari seluruh dunia dan beliau membuatkan seluruh benua Afrika begitu bangga dan menjadi inspirasi kepada pemain muda dari benua itu untuk mengikut jejak langkahnya.

4. Samuel Eto’o (Cameroon)

Samuel Eto’o adalah penyerang yang paling prolifik dari Afrika yang pernah dilahirkan. Beliau telah menjaringkan lebih 100 gol selama 5 musim ketika di Camp Nou, dimana beliau telah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dengan kelab Barcelona pada tahun 2006.

Eto’o kemudian menjuarai kejohanan yang sama dengan pasukan Inter Milan yang dibimbing oleh Jose Mourinho dimana beliau telah menjaringkan  33 gol dalam 67 perlawanan. Ia adalah satu pencapaian yang cukup menakjubkan dalam kerjaya bolasepaknya.

Beliau dianggap sebagai lagenda Afrika yang sebenarnya apabila dianugerahkan sebagai pemain terbaik Afrika sebanyak 4 kali. Beliau juga merupakan penjaring terbanyak skuad kebangsaan Cameroon dengan rekod 56 gol dalam 118 penampilan di peringkat antarabangsa.

Seorang pemain yang berjaya dan sentiasa merendah diri, Samuel Eto’o dikenang sebagai pemain terhebat Afrika.

5. George Weah (Liberia)

Bakat yang hebat ditambah dengan kerja keras dan usaha yang gigih hasilnya membuahkan kejayaan yang lumayan. Itulah kenyataan yang tepat merujuk kepada George Weah.

Bola sepak bukanlah karier pertama untuk Weah. Sebelum bakat bola sepaknya dikesan, Weah pernah bekerja sebagai seorang juruteknik untuk salah sebuah syarikat telekomunikasi di Liberia.

Pada 1987, pada usia 21 tahun, bakat Weah dikesan oleh Arsene Wenger yang merupakan pengendali AS Monaco pada masa itu. Maka bermulalah perjalanan ‘mutiara daripada Afrika’ ini di benua Eropah.

Sepanjang kariernya bersama Monaco, Weah menjaringkan 55 gol melalui 155 penampilan di antara 1987 sehingga 1992. Pada satu ketika ratio jaringan Weah adalah 1 jaringan untuk setiap 2 perlawanan untuk Monaco di Ligue 1.

Selepas Monaco, Weah kemudian beraksi bersama Paris Saint-Germain (1992-1995), AC Milan (1995-1999), Chelsea (1999-2000) dan juga Manchester City (2001) sebelum kembali ke Perancis bersama Olympic Marseille (2001-2002.

Sepanjang 15 tahun karier di Eropah, Weah telah menjaringkan sejumlah 172 gol merentasi 3 negara di mana beliau pernah beraksi. Namun karier Weah di Eropah paling dikenang ketika beliau beraksi untuk AC Milan.

AC Milan mempunyai deretan pemain berstatus legenda. Daripada era Giovanni Trapattoni sehinggalah ke era Franco Baresi, Maldini, dan Ruud Gullit serta Kaka; George Weah tetap mempunyai catatan istimewa bersama kelab Rossoneri ini.

Perubahan yang dilakukan untuk nominasi percalonan Ballon d’Or pada tahun itu, menyaksikan George Weah dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut pada musim itu, menewaskan nama yang lebih gah di eropah seperti Jurgen Klinsmann dan Alessandro del Piero.

Weah turut dinobatkan sebagai penerima FIFA World Player of the Year pada tahun yang sama, untuk melengkapkan pengiktirafan ke atas bakatnya sejak berkecimpung di dalam bola sepak. Sebagai individu yang mempunyai peranan besar dalam karier bola sepaknya, anugerah berkenaan turut didedikasikan oleh Weah kepada Arsene Wenger.

Sepanjang bergelar pemain, Weah dan Liberia tidak pernah tampil di dalam Piala Dunia walaupun pernah bergelar pemain terbaik dunia. Percubaan yang paling hampir ialah pada 2002, namun Liberia hanya kurang 1 mata dari merealisasikan impian Piala Dunia Weah menjadi satu kenyataan.

Bagaimanapun Weah pernah membantu Liberia untuk melayakkan diri ke dua kejohanan Piala Afrika pada edisi 1996 dan 2002, namun gagal melepasi pusingan peringkat kumpulan dalam kedua-dua kejohanan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN