5 Pengurus Yang Berpotensi Untuk Dipecat Dalam Masa Terdekat Ini

Belum masuk separuh musim pada kempen 2021/22, sudah ramai pengurus yang bakal kehilangan pekerjaan dan ada juga yang sudah dipecat.

Beberapa minggu kebelakangan ini, ramai pengurus yang dipecat oleh kelab masing-masing seperti Nuno Espirito Santo (Tottenham Hotspur), Ronald Koeman (Barcelona), Daniel Farke (Norwich City), dan ramai lagi.

Di era bola sepak modern ini, jawatan pengurus sememangnya tidak terjamin dengan mereka akan sentiasa berdepan tindakan dari kelab seandainya prestasi skuad menurun.

Lihat saja bagaimana Dean Smith yang berjaya membantu Aston Villa untuk naik ke saingan Premier League pada musim 2019/20, dan ketika prestasi skuad merosot, pihak kelab tidak teragak-agak untuk memecat beliau.

Selepas mencatatkan lima kekalahan secara berturut-turut dalam saingan Premier League, pihak kelab segera memecat beliau, dengan kini tempatnya digantikan oleh Steven Gerrard.

Jadi sangat jelas yang kedudukan pengurus tidak pernah selamat walau beliau memiliki jasa atau sejarah yang membanggakan bersama kelab.

Selepas melihat begitu ramai pengurus yang dipecat pada awal musim ini, sepertinya akan ada lagi beberapa calon yang bakal hilang pekerjaan dalam masa terdekat ini.

Berikut merupakan senarai lima pengurus yang sedang tidak berprestasi dan berpotensi untuk dipecat.

1. Ole Gunnar Solskjaer

Pengurus dari Norway ini pernah berada betul-betul di hadapan pintu keluar untuk meninggalkan Old Trafford pada bulan lalu.

Namun atas sokongan yang beliau terima dari Sir Alex Ferguson dan pimpinan kelab sendiri, Ole Gunnar Solskjaer masih lagi kekal menjadi pengurus United sehingga hari ini.

Pengurus dari Norway itu telah dikritik teruk selepas kekalahan memalukan bertemu Leicester City dan Liverpool bulan lalu.

Beliau bahkan diberikan kesempatan untuk buktikan sesuatu dari tiga perlawanan United bertemu Tottenham Hotspur, Atalanta dan Manchester City sebelum rehat antarabangsa.

Dari tiga perlawanan tersebut, The Red Devils berjaya mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan merekodkan satu kekalahan, namun Ole Gunnar Solskjaer masih lagi selamat untuk terus mengendalikan kelab.

Calon pengganti beliau, Antonio Conte kini sudah mengambil alih tugas Nuno Espirito Santo sebagai pengurus Tottenham Hotspur, dengan United kini mengintai untuk membawa Zinedine Zidane atau Brendan Rodgers sebagai pengganti Solskjaer.

Melihat kepada situasi ini, United sepertinya sedang memberi peluang kepada Solskjaer untuk buktikan sesuatu, dan pada masa sama mereka turut sedang berusaha mencari calon pengganti.

Jadi tidak akan mengejutkan andai pihak kelab mengumumkan pemecatan pengurus dari Norway itu, dan segera melantik pengurus baharu.

2. Mauricio Pochettino

Mauricio Pochettino bolehlah dianggap sebagai pengurus paling bertuah dalam dunia bola sepak hari ini, dengan beliau kini sedang menguruskan kelab yang dibarisi oleh pemain-pemain berkelas dunia.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu pada ketika ini sedang mengendalikan pemain seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe, Neymar, Angel Di Maria dan ramai lagi bintang handalan lain.

Walau bagaimanapun, beliau jelas sekali gagal untuk mendapatkan yang terbaik dari para pemain berbakat ini dengan skuadnya juga sering mempamerkan aksi tidak menentu.

Walaupun beliau dianggap sebagai pengurus paling berbakat, namun Pochettino sebenarnya sedikit malang melibatkan Piala kejuaraan, dengan Piala pertama yang beliau menangi adalah bersama PSG musim lalu.

Beliau bahkan memenangi Piala tersebut hanya beberapa hari sahaja selepas masuk menjadi pengurus Paris Saint Germain pada ketika itu.

Beliau juga berjaya memenangi Coupe de France, namun gagal membantu kelab untuk memenangi gelaran Ligue 1 pada musim lalu.

Ia merupakan kali kedua Paris Saint Germain gagal untuk memenangi gelaran Ligue 1 sejak sembilan tahun lalu, dan dengan barisan pemain mereka ada, kegagalan tersebut sepertinya sukar untuk diterima.

Pada musim ini, PSG sedang memimpin carta saingan Ligue 1 dengan kelebihan 10 mata dan ia berpunca dari pasukan lain yang sedang tidak berprestasi bukannya kerana mereka terlalu dominan.

Melihat kepada aksi tidak konsisten PSG walau sudah memiliki barisan pemain berkelas dunia, sepertinya masa depan Pochettino juga mungkin tidak akan bertahan lama.

3. Massimiliano Allegri

Massimiliano Allegri tidak diragukan lagi sememangnya antara pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak Juventus.

Beliau berjaya memenangi lima gelaran Serie A secara berturut-turut ketika lima musim pertamanya di Turin dengan Allegri turut berjaya memenangi pelbagai kejuaraan lain pada ketika itu.

Empat gelaran Coppa Italia secara berturut-turut dan tiga gelaran Supercoppa Italiana berjaya beliau menangi pada awal lima musim pertamanya bersama kelab pada tahun 2014 hingga 2019.

Selepas dua musim meninggalkan kelab, beliau kembali menjadi pengurus Juventus pada musim 2021/22 dan pihak kelab turut meletakkan harapan yang tinggi padanya.

Sepanjang dua tahun kehilangan beliau, Juventus berdepan dengan era kejatuhan dengan mereka turut terlepas gelaran liga kepada Inter Milan pada musim lalu.

The Bianconeri gagal untuk merekodkan 10 kejuaraan liga secara berturut-turut pada musim lalu, dan hanya bernasib baik dapat mengakhiri saingan liga di kedudukan empat teratas.

Karier kedua Allegri bersama Juventus beliau telah membawa pendekatan bermain serangan pantas dan mengukuhkan barisan pertahanan yang sangat mantap.

Sayangnya, taktikal itu tidak begitu berkesan dengan Juventus pada ketika ini sekadar berada di kedudukan kelapan sahaja dalam carta saingan Serie A pada ketika ini.

Ramai peminat yang sudah mula mempertikaikan tentang kemampuan Allegri untuk terus membimbing kelab dan masa depan beliau juga sepertinya sangat samar-samar.

4. Carlo Ancelotti

Carlo Ancelotti merupakan antara pengurus paling berjaya di abad yang ke-21 ini, dengan beliau sepanjang kariernya telah berjaya menjulang 20 Piala kejuaraan utama.

Pengurus dari Itali merupakan antara pengurus paling banyak memenangi gelaran Champions League, dengan Ancelotti pernah memenanginya sebanyak tiga kali bersama dua kelab berbeza, Real Madrid dan AC Milan.

Karier kedua beliau bersama Real Madrid sepertinya tidak berjalan dengan baik, ia mungkin kerana beliau dipanggil ketika sedang melaksanakan projek jangka panjang bersama Everton.

Beliau perlahan-lahan sepertinya mulai mendapat rentak dengan berjaya memimpin Real Madrid untuk berada di kedudukan kedua dalam carta saingan La Liga pada musim ini.

Ekoran dari kekalahan 2-1 bertemu Sheriff Tiraspol dalam aksi saingan Champions League, Ancelotti berjaya membawa Madrid memenangi kesemua tiga perlawanan terakhir dalam saingan peringkat kumpulan.

Mereka pada ketika ini berada di puncak saingan peringkat kumpulan dan dianggap calon untuk mara ke aksi kalah mati sebagai Juara kumpulan.

Walau bagaimanapun, persembahan yang baik tidak begitu menjamin tempat untuk beliau terus menjadi pengurus Real Madrid.

Ketika karier pertamanya sebelum ini, Ancelotti berjaya memenangi empat Piala bersama kelab termasuk memenangi anugerah IFFHS World’s Best Club Coach.

Walau sudah mencapai kejayaan yang begitu menakjubkan, beliau tetap dipecat oleh kelab selepas Real Madrid berjaya mendapatkan khidmat dari Rafael Benitez pada tahun 2015 yang lalu.

Hal yang sama berkemungkinan akan berlaku selepas ini dek kerana Real Madrid sedang berusaha memujuk Zinedine Zidane dan turut mahu mendapatkan khidmat Mauricio Pochettino.

5. Jose Mourinho

Jose Mourinho memulakan kempen saingan musim 2021/22 yang sangat cemerlang bersama Roma, dengan beliau berjaya membantu skuadnya mencatatkan enam kemenangan dari enam perlawanan awal.

Walau bagaimanapun, beliau gagal untuk mengekalkan momentum yang sama, dengan Roma kini gagal mencatatkan sebarang kemenangan dari lima perlawanan terakhir mereka.

Ekoran dari kariernya yang sangat mengecewakan bersama Tottenham Hotspur dan Manchester United sebelum ini, Mourinho kini dilantik menjadi pengurus Roma.

Ia sepertinya satu hal yang baik untuk kedua-dua pihak pengurus dan kelab kerana Mourinho sememangnya mempunyai reputasi yang sangat baik dalam kancah saingan Serie A.

Roma tidak dinafikan lagi sememangnya antara kelab yang kaya dengan sejarah kegemilangan di pentas bola sepak Eropah.

Namun permintaan kelab terhadap Jose Mourinho tidak setinggi apa yang dituntut oleh Tottenham Hotspur dan Manchester United sebelum ini.

Jadi ia kelihatan seperti satu hal baik untuk Jose Mourinho, kembali menaikkan semula nama beliau menjadi antara pengurus terhebat dalam dunia bola sepak.

Tammy Abraham merupakan antara pemain pertama yang dibeli oleh pengurus dari Portugal itu, dengan bekas bintang Chelsea itu juga berjaya bersinar bersama kelab barunya.

Walau bagaimanapun juga, kedudukan Mourinho kini dilihat berpotensi untuk dipecat selepas skuadnya mempamerkan aksi tidak konsisten dan semakin jauh ditinggalkan oleh pendahulu saingan liga.

Tambahan pula, kini sudah ada ura-ura yang mengatakan bahawa Jose Mourinho berkemungkinan akan dipanggil untuk mengurus pasukan kebangsaan Portugal.

Oleh yang demikian, beliau juga turut dianggap antara calon pengurus yang berkemungkinan akan dipecat dalam masa terdekat ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN