“Nak Jaring Gol Kena Angkat Sembah Dulu, ‘Mampuih’ Kita,” – Respon Sanusi Tentang Isu Derhaka

Sanusi Md Nor Kedah FA 2020 kerajaan negeri

Berikutan ‘banter’ antara Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau Tunku Mahkota Johor (TMJ), secara tiba-tiba timbul isu mengenai Sanusi telah derhaka kepada putera raja.

Percakaran di media sosial antara Sanusi-TMJ memang seronok untuk diikuti semua. Ditambah pula dengan ketiadaan promosi untuk menghangatkan lagi pertemuan antara kedua-dua pasukan, ‘banter’ ini jalan terbaik.

Kedah Darul Aman FC bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih awal daripada jangkaan, di peringkat suku akhir selepas berakhirnya saingan peringkat kumpulan. Mereka terikat tanpa jaringan untuk suku akhir pertama.

Ia dimulakan oleh TMJ selaku pemilik JDT dengan kenyataan berkaitan soal tunggakan gaji dua bulan yang membelenggu Kedah sebelum aksi berdepan Harimau Selatan yang akhirnya dijelaskan oleh pihak pengurusan.

TMJ lantang berkata berkata di laman Instagramnya tentang tunggakan gaji tersebut seperti menyindir mereka, “Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol.”

Namun, ia dibalas semula oleh Sanusi di laman Facebooknya, “La ni bulan sebelaih [11] dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa??? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia.”

Kisah itu berterusan sehingga ke dunia nyata dengan kiriman sejambak bunga, belon dan hidangan makanan segera McDonald’s. Akhir kalam daripada Sanusi, “Terima kasih, terima kasih TMJ. Kita jumpa lagi Khamis ini.”

Ia ‘banter’ biasa dan menarik untuk menghangatkan pertemuan kedua-dua pasukan yang memang sentiasa bersaing untuk kejuaraan. Dan apabila orang politik cuba masuk campur, ia seolah-olah merosakkan suasana.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dengan rendah hati membuat kenyataan merafak sembah ampun kepada TMJ atas kekhilafan Sanusi berbicara dengan laras bahasa yang tidak sepatutnya kepada seorang putera raja.

Ia mendapat respon segera daripada Sanusi. Katanya, “Kita bukan bercakap pasal politik. Di padang bola, kita sama rata. Saya Presiden KFA, dia pemilik JDT. Ada juga orang pertikai kata, saya cakap macam tu macam ni dengan anak raja. Saya bukan bercakap dengan anak raja, saya bercakap dengan pemilik JDT.”

“Jangan kata saya derhaka pula. Main bola apa kira derhaka atau tidak. Nak ‘score’ gol kena angkat sembah dulu, mampuih kita. Nak lawan macam mana, kan?” soal Sanusi yang jelas faham apa yang diperkatakannya.

Leave a Reply