Juventus adalah salah sebuah kelab terbesar di Eropah dan di Itali. Maka tidak hairanlah kelab dengan jolokan nama The Old Lady ini pernah menampilkan deretan pemain berstatus legenda dan bintang dunia.
Zinedine Zidane, Gigi Buffon, Alessandro Del Piero, Antonio Conte, Andrea Pirlo dan Giorgio Chiellini di antaranya yang pernah mewarnai sejarah gemilang Juventus.
Berikut pula adalah 5 pemain yang dianggap underated atau wira tidak didendang kelab yang berpengkalan di Turin ini.
Andrea Barzagli
Pemain yang sinonim dengan jersi No.15 hitam dan putih ini boleh dianggap sebagai wira paling tidak didendang di dalam senarai ini.
Barzagli adalah nama yang paling kurang menjadi sebutan di kalangan trio terkenal ‘BBC’ yang turut membariskan Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini dan Barzagli sendiri.
Tatkala Bonucci dianggap sebagai pemain menyamai kereta mewah Rolls-Royce, dan berperanan sebagai ball-playing centre back, Chiellini pula dilihat sebagai pemimpin di dalam pasukan.
Barzagli pula adalah pemain yang tidak akan memberi muka dan akan melakukan kerja-kerja keras dalam terjahannya untuk menghalang kemaaraan penyerang lawan.
Barzagli beraksi bersama Juventus selama 9 tahun dan tampil dalam 300 perlawanan untuk Juventus sebelum bersara pada 2019.
Dan untuk setiap musim bersama Juventus, Barzagli berjaya membawa Juventus meraih kejuaraan Serie A pada setiap musim, melainkan pada musim pertamanya. Selain daripada itu, beliau turut meraih lapan kejuaraan domestik yang lain di Turin.
Sepanjang karier bersama Juventus, Barzagli pernah dinamakan di dalam senarai Serie A Team of the Year sebanyak empat kali.
Stephan Lichtsteiner
Agak pelik dan kontroversi jika nama Stephan Lichtsteiner kurang mendapat penghargaan dari kalangan penyokong setia Juventus. Ini kerana pemain antarabangsa Switzerland ini telah menyumbangkan keringatnya untuk La Vecchia Signora selama bertahun-tahun lamanya.
Lichtsteiner menyertai Juventus dari seteru mereka Lazio pada 2011 dan pantas menempatkan diri sebagai pemain kesebelasan utama di posisi bek sayap kanan di dalam sistem 3-5-2 Antonio Conte.
Turut mendapat jolokan nama ‘Forest Gump’ dari penyokong Juventus, Lichtsteiner dikenali kerana lariannya yang tidak mengenal penat lelah dari sebelah sayap kanan pasukan.
Beliau telah melakukan penampilan melebihi 250 perlawanan untuk kelab Turin tersebut dan memenangi 14 trofi sepanjang tempoh tujuh musim.
Sami Khedira
Khedira menyertai Juventus pada 2015 selepas cemerlang bersama Real Madrid. Di Turin, Khedira tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri dan berjaya merekodkan jumlah jaringan yang lebih banyak berbanding yang dihasilkannya di Real Madrid hanya selepas dua tahun.
Pemenang Piala Dunia bersama Jerman itu melalui musim yang penuh dengan kecederaan pada musim terakhirnya, dan Khedira hanya tampil dalam 22 perlawanan Serie A pada dua musim setengah terakhirnya.
Sumbangan Khedira bersama Juventus paling diingati ketika perlawanan akhir Champions League 2016/17.
Khedira tampil dalam 145 perlawanan dan menjaringkan 21 gol untuk Juventus sebelum berhijrah ke Hertha Berlin pada Februari 2020.
Medhi Benatia
Medhi Benatia adalah pemain pertahanan tengah kedua di dalam senarai ini. Beliau menyertai Juventus pada 2016 secara pinjaman dari Bayern Munich.
Disebabkan ramainya pemain pertahanan tengah berkualiti di dalam skuad Juventus, Benatia memainkan peranan sebagai pemain sokongan di dalam pasukan.
Perpindahan berstatus pinjaman beliau kemudian dijadikan tetap selepas semusim dan statistik membuktikan Benatia sebagai pemain paling banyak melakukan terjahan dan pintasan di Serie A untuk Juventus.
Benatia memainkan lebih banyak peranan selepas perpindahnnya dijadikan tetap, dan memainkan peranan penting dalam membantu Juventus mempertahankan kejuaraan keenam Serie A.
Beliau juga menjaringkan dua gol di perlawanan akhir Coppa Italia menentang AC Milan pada musim yang sama.
Pada musim ketiga Benatia hanya tampil sebanyak lima kali untuk Juventus sebelum menyertai Al Duhail pada 2019. Secara keseluruhan Benatia menjuarai enam trofi kejuaraan untuk Juventus.
Carlos Tevez
Carlos Tevez menyertai Juventus pada 2013 selepas empat musim bersama Manchester City dan pantas membuktikan nilai dirinya kepada penyokong setia Juventus apabila menjaringkan gol keempat dalam kemenangan 4-0 ke atas Lazio pada penampilan sulungnya.
Penyerang antarabangsa Argentina ini sememangnya sudah dikenali dengan sentuhan berbisanya ketika menyertai Juventus selepas mengegarkan bola sepak Inggeris bersama West Ham, Manchester United dan Manchester City sebelum itu.
Walaupun beliau menyertai The Old Lady pada usia 30 tahun – usia yang dianggap senja di dalam bola sepak- Tevez tidak menunjukkan prestasi beliau akan merudum apabila menjaringkan 50 hanya di dalam tempoh dua musim di Stadium Allianz.
Tevez berhijrah ke Boca Juniors selepas dua musim bersama Juventus dan turut memenangi Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Juventus, dan berada di dalam Pasukan Pilihan Serie A selama dua musim berturut-turut. Tevez juga diumumkan sebagai Pemain Terbaik Serie A pada musim terakhirnya di Itali.
Di sebalik semua kejayaan tersebut, Tevez lebih banyak dikaitkan dengan kontroversi dan masalah homesick yang dialaminya ketika berkelana di Eropah dan China.
Penutup
Tanpa pemain-pemain ini Juventus tidak akan meraih kejuaraan seperti apa yang mereka telah lalui sebelum ini.
Nama mereka mungkin kurang menjadi sebutan, namun sumbangan mereka masih amat besar untuk Juventus.
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Senarai Sebab Juventus Ambil Langkah Salah Mudah Sangat Percayakan Andrea Pirlo
Pakar Psikologi Beri Penjelasan Bagaimana Mentaliti Bantu Ronaldo Jadi Pemain Bola Sepak Luar Biasa
Rombakan ‘Kejam’ Andrea Pirlo, Higuain & Khedira Ditamatkan Kontrak