5 Pemain Paling Hangat Dikaitkan Dengan Man Utd Januari Ini

Manchester United jelas sekali memerlukan khidmat pemain baru untuk ditandatangani pada jendela perpindahan Januari ini nanti.

The Red Devils telah memecat Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini selepas Manchester United mengharungi saingan Premier League dengan sangat teruk.

Keadaan di Old Trafford kini dilihat semakin membaik selepas pihak kelab melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus interim sehingga akhir musim ini.

Walau bagaimanapun, United kini sedang merancang untuk mendapatkan beberapa muka baru pada jendela perpindahan Januari ini kerana ada pemain dari skuad utama yang mahu meninggalkan Old Trafford.

Anthony Martial, Dean Henderson, Juan Mata dan Edinson Cavani merupakan antara nama-nama yang berhasrat untuk meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari ini.

Laporan dari media UK mendedahkan yang pimpinan kelab sudi memberikan Ralf Rangnick pemain yang beliau mahukan, tetapi dengan syarat pemain itu mestilah untuk projek jangka masa panjang.

Manchester United pada jendela perpindahan musim panas sebelum ini telah menandatangani Jadon Sancho, Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane.

Walau bagaimanapun juga, mereka sepertinya perlu untuk melakukan beberapa penandatanganan lagi dalam usaha untuk mencabar kedudukan dalam saingan Premier League.

Oleh yang demikian, berikut merupakan senarai lima pemain yang hangat dikaitkan dengan bakal ditandatangani oleh Manchester United pada jendela perpindahan Januari ini.

5. Ruben Neves

Masa depan Paul Pogba di Old Trafford masih tidak jelas pada ketika ini, dengan Manchester United dilihat sedang dalam usaha mereka untuk mencari pemain pengganti.

The Red Devils telah hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani Ruben Neves dari Wolves dan bintang Portugal itu juga sudah lama menjadi pemain kegemaran para penyokong Man Utd.

Walau sudah beberapa kali beliau dikaitkan, namun United tidak pernah menghantar bidaan rasmi untuk mendapatkan khidmatnya, dan hal itu sepertinya akan berlaku pada jendela perpindahan Januari ini.

Laporan dari pelbagai sumber telah melaporkan yang Manchester United sedang bersaing dengan Chelsea untuk mendapatkan khidmat bintang Wolverhampton Wanderers itu pada jendela perpindahan Januari ini.

Wolves sendiri tiada masalah untuk melepaskan pemain midfield mereka itu, dengan mereka juga mahu mendapatkan dana tambahan bagi menyokong Bruno Lage untuk hadapi jendela perpindahan akan datang.

Ketika ditanya sendiri tentang berita beliau dikaitkan dengan Manchester United, Neves menyatakan bahawa:

“Ia perkara biasa dalam bola sepak. Setiap kali ada jendela perpindahan yang dibuka, sudah tentu banyak khabar angin keluar, tapi impian saya dan tumpuan saya sekarang adalah untuk Wolverhampton Wanderers dan saya tidak akan ubah itu.”

“Semuanya baik-baik sahaja untuk saya di sini. Saya masih banyak yang perlu dipelajari, masih banyak yang boleh saya berikan di sini.”

4. Florian Wirtz

Sejak awal Ralf Rangnick mengambil alih Manchester United sebagai pengurus interim, pemain kebangsaan Jerman itu sudah mula dikaitkan dengan bakal melengkapkan perpindahan ke Old Trafford.

Bintang Bayer Leverkusen, Florian Wirtz merupakan salah seorang pemain yang hangat dikaitkan dengan bakal sertai Man Utd, dan ada laporan yang menyatakan bahawa Red Devils mahu mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan Januari ini.

Walau bagaimanapun, gergasi Bundesliga itu dilaporkan tidak berhasrat untuk melepaskan asset utama mereka itu dalam masa terdekat ini.

Pihak kelab sudah mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak akan melepaskan Wirtz pada jendela perpindahan Januari ini ataupun pada musim panas akan datang.

Sporting director kelab, Rudi Voller dalam satu kenyataan baru-baru ini telah menyatakan bahawa:

“Memandangkan kepada situasi kontrak dia dan kepercayaan yang dijalin antara kami, dia dan keluarga dia, kami tahu yang dia akan terus berada di tangan yang tepat untuk tempoh beberapa tahun lagi.”

“Mungkin hari itu akan tiba, kelab ini akan jadi terlalu kerdil untuk Florian, sama seperti Kai Havertz. Tapi untuk sampai ke tahap itu, ia masih memerlukan masa.”

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut sama sekali tidak menghalang untuk Florian Wirtz terus dikaitkan dengan bakal ditandatangani oleh United pada jendela perpindahan Januari ini.

3. Carney Chukwuemeka

Carney Chukwuemeka memutuskan untuk kekal bersama Aston Villa, namun permintaan beliau untuk terus beraksi bersama skuad utama masih belum mampu ditunaikan oleh kelab.

Pemain muda itu tidak gembira dengan minit permainan beliau bersama kelab, dan beliau dilaporkan sudah bersedia untuk meninggalkan Aston Villa dalam masa terdekat ini.

Manchester United merupakan antara kelab yang berusaha mengejar pemain muda itu, dan ada laporan yang turut menyatakan bahawa Red Devils akan mula menghantar rundingan pada Januari ini.

Walau bagaimanapun juga, Gabriel Agbonlahor baru-baru ini telah bercakap sendiri dengan Carney Chukwuemeka supaya menerima kontrak baru dari Aston Villa.

2. Illan Meslier

Dean Henderson pada ketika ini hangat dikaitkan dengan bakal meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari nanti.

Pihak kelab dilaporkan tidak sanggup untuk melepaskan Dean Henderson selagi mereka masih belum mendapatkan calon pengganti, dan Illan Meslier merupakan calon yang United berminat untuk dapatkan.

Penjaga gol utama Leeds United itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat membanggakan sejak dari awal beliau beraksi dalam saingan Premier League selepas kelabnya naik dari saingan Championship.

Walau bagaimanapun, persembahan beliau pada musim ini sedikit mengecewakan, bahkan seluruh pasukan Leeds turut sama tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka.

Walaupun begitu, United masih tetap berminat untuk mendapatkan khidmat beliau, kerana percaya Meslier ada potensi untuk menjadi penjaga gol terbaik dunia.

Daily Mail melaporkan yang Meslier merupakan pemain sasaran utama Manchester United pada jendela perpindahan Januari ini, seandainya Dean Henderson benar-benar meninggalkan kelab.

Walau bagaimanapun, bekas penjaga gol Leeds United, Paul Robinson pula percaya yang Meslier berkemungkinan tidak akan bersetuju untuk melengkapkan perpindahan menyertai Manchester United.

1. Amadou Haidara

Manchester United jelas sekali perlu menandatangani pemain midfield pada jendela perpindahan Januari nanti, dan laporan dari pelbagai sumber menyatakan bahawa Haidara merupakan sasaran nombor satu kelab.

Pemain RB Leipzig itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa mengagumkan dalam saingan Bundesliga.

Apa yang lebih menarik lagi, ketika beliau ditanya tentang perpindahan menyertai Manchester United, beliau mendedahkan yang Red Devils sememangnya kelab kegemaran beliau sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Semua orang ada pasukan kegemaran ketika mereka masih kecik. Kelab kegemaran saya adalah Manchester United.”

Jelas Haidara kepada media Jerman, Bild.

Ralf Rangnick dilaporkan melihat Haidara sebagai pemain yang konsisten dalam mempamerkan aksi persembahan terbaiknya dan hal itu jelas tidak dimiliki oleh Scott McTominay mahupun Fred.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN