5 Pemain Muda PKNP FC Berpotensi Besar Yang Perlu Anda Kenali

PKNP FC

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) berjaya melalui musim yang begitu meyakinkan dalam kancah Liga Malaysia 2017.

Di samping semangat juang tinggi yang dipamerkan para pemain PKNP FC, kepercayaan pengendali kelab iaitu Abu Bakar Fadzim terhadap bakat muda juga menjadi nilai tambah buat pasukan.

Abu Bakar dilihat seringkali memberikan peluang kepada setiap daripada pemainnya terutama pemain muda untuk menyerlahkan bakat mereka di pentas yang lebih kompetitif.

Sebut sahaja mengenai pemain muda PKNP FC, sudah pasti tumpuan terarah kepada kelibat Shahrel Fikri yang menjadi bualan. Namun terdapat beberapa orang pemain muda lain yang mempunyai potensi yang sangat besar jika terus diketengahkan.

Dalam artikel ini Semuanya BOLA akan memperkenalkan kepada anda 5 orang pemain muda yang perlu anda kenali.

1) Ahmad Asyraaf Bin Omar

PKNP FC

Pemain berusia 23 tahun ini merupakan penjaga gol utama PKNP FC bagi musim 2017.

Aksi bertenaga penjaga gol yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh ini membuatkan jurulatih penjaga gol, Suhaimi Mat Lazim untuk lebih memilih Asyraaf bagi diletakkan sebagai penjaga gol utama PKNP FC.

Aksi memukau ketika bertemu Kedah pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2017 begitu jelas memperlihatkan kemampuan Asyraaf yang tangkas menafikan hampir 9 percubaan bahaya yang dilakukan Kedah.

Beliau juga telah berjaya mencuri perhatian pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada yang menyaksikan aksinya ketika perlawanan Liga Premier bertemu Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

2) Muhammad Fadhil Bin Idris 

Pemain tengah yang beraksi dalam saingan Liga Premier dan Piala Presiden ini mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadi salah seorang salah seorang pemain tengah terbaik.

Fadhil yang juga merupakan bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat mempunyai daya pemikiran yang baik ketika beraksi dengan hantaran-hantaran berkualiti yang dilakukannya. Di samping itu Fadhil juga memiliki corak permainan yang sedikit keras.

Perkara lain yang turut mencuri tumpuan mengenainya ialah ‘work rate’ yang tinggi dipamerkan dalam setiap aksinya di padang.

Pemain berusia 21 tahun ini menjadi pilihan Abu Bakar Fadzim untuk menggunakan khidmatnya dalam saingan Liga Premier dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Fadhil merupakan antara watak penting buat PKNP FC bagi musim yang memberangsangkan ini.

3) Muhamad Syazwan Bin Zaipol Bahari

Kredit foto: Safwan Rozi / www.asiana.my

Pemain pertahanan tengah pinjaman dari Perak FA yang berusia 22 tahun ini merupakan salah seorang daripada pemain yang membantu pasukan negara melayakkan diri ke Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun di China dan meraih pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Syazwan mempunyai susuk tubuh serta ketinggian yang cukup ideal sebagai seorang pemain pertahanan tengah merupakan antara tonggak PKNP FC musim ini yang digandingkan bersama-sama pertahanan import berpengalaman dari Latvia, Ritus Krjauklis.

Dengan pengalaman yang dimiliki Syazwan ketika bersama skuad B-23 kebangsaan dan dapat beraksi dengan lebih kerap, tidak mustahil beliau akan lebih menyinar dan menjadi pemain yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

4) Muhammad Mazni Bin Khairul Hasnan

Ketua pasukan Piala Presiden PKNP FC ini bermain di posisi pertahanan tengah.

Aksi beliau yang begitu tenang mengemudi barisan pertahanan dan menjadi pemimpin yang dihormati dalam padang begitu menyerlahkan karisma dimiliki pemain berusia 21 tahun ini.

Merupakan pertahanan yang kental dan pengalaman dimiliki ketika beraksi bersama pasukan Piala Presiden Perak sebelum ini banyak membantu beliau dalam membimbing rakan sepasukan di skuad Piala Presiden PKNP FC yang rata-rata dibarisi pemain yang kurang berpengalaman.

Mazni turut diberikan peluang oleh Abu Bakar Fadzim bagi merasai pengalaman beraksi di Liga Premier.

5) Mohamad Syamin Bin Baharuddin

Seorang lagi pemain dari skuad Piala Presiden PKNP FC yang menjadi pilihan untuk membarisi kesebelasan utama pasukan Liga Premier selepas tamat saingan Piala Presiden musim ini.

Syamin (21 tahun) yang beraksi di posisi pertahanan kiri merupakan pemain berbakat besar yang boleh untuk terus diketengahkan bakatnya oleh Abu Bakar Fadzim pada musim akan datang.

Pemain yang pernah menjadi penjaring utama ketika zaman persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh ini pada asalnya merupakan pemain di posisi penyerang sebelum bertukar ke posisi pertahanan ketika beraksi bersama skuad Piala Presiden Perak.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN