Pejam celik pejam celik tanpa kita sedari kejohanan bola sepak Euro 2o2o akhirnya akan bermula pada hujung minggu ini, selepas seminggu ditangguhkan.
Antara perkara yang menjadikan edisi Euro 2020 kali ini unik adalah kerana ia diadakan di serata eropah, di stadium-stadium terbaik yang ada di benua tersebut.
Artikel kali ini ialah untuk memperkenalkan anda kepada lima pemain muda yang bakal menjadi bintang masa depan bola sepak eropah, dan wajar anda ikuti perkembangan setiap daripada mereka untuk tempoh satu bulan kejohanan berlangsung.
Pedri (Sepanyol)
Pemain remaja Barcelona, Pedri atau nama sebenarnya Pedro Gonzalez Lopez menikmati debutnya bersama skuad utama Barcelona dengan kemenangan 3-0 ke atas Villareal pada September 2020 selepas dimasukkan pada minit ke-70 menggantikan Philippe Coutinho.
Pemain berusia 17 tahun itu disambar Barcelona dari pasukan Las Palmas semasa tempoh perpindahan musim panas 2019, namun hanya menyertai gergasi Catalan itu pada 1 Julai 2020 yang lalu.
Pedri nyata tidak mengecewakan apabila tampil sebagai salah seorang bintang muda yang menyinar buat skuad kendalian Ronald Koeman dalam musim yang sukar. Prestasi tersebut menerima kepercayaan Luis Enrique untuk menguatkan bahagian tengah La Roja.
Sering disamakan dengan idolanya Andres Iniesta, Pedri dianggap istimewa kerana kecenderugan beliau untuk menghasilkan jaringan
Jude Bellingham (England)
Pemain remaja Borussia Dortmund, Jude Bellingham disenaraikan dalam skuad senior England buat kali pertama untuk aksi berdepan Belgium dan Ireland pada November tahun lalu.
Walaupun baru berusia 17 tahun, pemain ini memiliki kematangan yang mengatasi usia mudanya sehingga berjaya menarik beberapa kelab gergasi Eropah untuk mendapatkan khidmatnya termasuk Manchester United.
Namun beliau memilih untuk menyertai Dortmund dengan nilai perpindahan sekitar £30 juta kerana berminat dengan program pembangunan pemain muda di kelab Bundesliga tersebut.
Musim lalu Bellingham telah tampil dalam 29 perlawanan untuk skuad utama Borussia Dortmund di Bundesliga – jumlah perlawanan yang cukup banyak untuk seorang pemain seusia beliau.
Federico Chiesa (Itali)
Bekas ketua jurulatih Itali, Cesare Prandelli pernah meramal pemain berusia 22 tahun itu bakal menjadi pemain sayap terbaik di Eropah kerana mempunyai kepintaran dalam corak permainannya.
Baru berusia 23 tahun, prestasi Chiesa bersama Fiorentina menyebabkan beliau pantas disambar Juventus pada musim panas 2020. Dengan usia yang muda dan serba boleh menjadikan ‘saham’ pemain ini semakin meningkat dan harga graduan akademi Fiorentina tersebut sudah tentu tidak murah dalam pasaran pemain selepas ini.
Musim lalu beliau terus menyinar bersama Juventus dan menghasilkan 13 gol dan 10 assist untuk menjadikan dirinya sebagai prospek pemain muda terhangat di Eropah.
Sudah memiliki lebih dari 25 kaps untuk negaranya, Chiesa sudah bersedia untuk dijadikan senjata utama Roberto Mancini untuk mengetuai jentera serangan skuad Azzurri pada musim panas ini.
Ryan Gravenberch (Belanda)
Gravenberch adalah pemain keluaran akademi Ajax. Beliau melakukan penampilan profesional pertamanya pada usia 16 tahun pada 2018, menjadikan beliau pemain termuda dalam sejarah kelab beraksi bersama skuad utama.
Merupakan pemain No.10, pemain ini turut digelar ‘the next Paul Pogba’. Prestasi cemerlang bersama Ajax pada musim ini turut menarik minat dari Barcelona dan Juventus.
Sudah pun memiliki lima kaps bersama skuad kebangsaan Belanda, gol pertama Ryan Gravenberch di peringkat kebangsaan hadir dalam perlawanan persahabatan yang berakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Georgia semalam.
Adam Hlozek (Republik Czech)
Nama Adam Hlozek mungkin merupakan nama paling asing di kalangan lima pemain yang berada di dalam senarai ini.
Ini menjadikan sebab Euro 2020 menjadi pentas terbaik untuk Adam Hlozek mencipta nama buat dirinya.
Karier Adam Hlozek mulai melonjak selepas menyinar bersama Sparta Prague pada musim lalu. Menjaringkan 15 gol dari 19 penampilan di Liga Gortuna, pemain berusia 18 tahun ini sudah disamakan dengan bekas bintang Republik Czech yang lain seperti Tomas Rosicky dan Pavel Nedved.
Prestasi baik di peringkat kelab pasti mahu dibawa oleh Hlozek ke pentas antarabangsa, yang termasuk kunjungan ke Stadium Wembley untuk berhadapan England pada 22 Jun hadapan.
Penutup
Perlawanan pertama Euro 2020 yang akan membuka tirainya secara rasmi pada 12 Jun ini akan mempertemukan pasukan Turki dan Itali pada jam 3.00 pagi waktu tempatan.
Pasukan manakah yang paling berpeluang mara jauh dalam kejohanan kali ini?
Baca artikel lain berkaitan bola sepak antarabangsa melalui pautan:
Kesebelasan Utama Skuad Mino Raiola Dan Barisan Pemain Simpanan Bertaraf Dunia
Faktor Wang Kaburkan Mata Wijnaldum Sehingga Tolak Barcelona Dan Sertai PSG