Liverpool adalah salah satu kelab terbesar di England. Sejak dahulu lagi, kelab ini telah merekrut ramai bintang bola sepak terkenal di seluruh dunia.
Ada pemain yang berjaya mengharungi karier yang gemilang di sana, dan ada juga dari mereka yang gagal menunjukkan permainan terbaik seperti yang dikehendaki oleh pasukan.
Tentu sahaja pemain yang gagal itu tidak akan mendapat tempat di Liverpool. Mereka terpaksa meninggalkan Anfield dan meneruskan nasib di tempat lain.
Namun siapa sangka, pemain yang sebelum ini dipandang ‘sebelah mata’ oleh Liverpool telah berjaya bersinar di kelab lain, dan berjaya membantu pasukan menjuarai pelbagai kejuaraan.
Siapakah mereka? Berikut merupakan 5 pemain buangan Liverpool yang berjaya menyinar di kelab lain.
1. Peter Gulacsi (RB Leipzig)
Peter Gulacsi direkrut Liverpool pada tahun 2007 dari MTK Budapest. Walau bagaimanapun, pemain kelahiran Hungary ini sekalipun tidak pernah diberikan peluang untuk beliau menunjukkan bakatnya bersama pasukan senior.
Gulacsi sering dicadangkan sebagai pemain pinjaman. Beliau telah dipinjamkan ke kelab bawahan liga seperti Hereford United, Tranmere Rovers dan Hull City.
Selepas 6 tahun, Gulacsi akhirnya dijual secara tetap ke kelab Austria, Red Bull Salzburg.
Nasib Gulacsi berubah sebaik beliau menyertai Salzburg. Gulacsi telah diangkat sebagai penjaga gol utama pasukan itu.
Kemudian, pada tahun 2015 Gulacsi telah berpindah menyertai kelab divisyen dua Jerman – RB Leipzig. Beliau turut menjadi penjaga gol nombor satu.
Gulacsi telah membantu RB Leipzig layak ke Bundesliga musim 2015/16 dan membantu kelab itu layak ke Liga Juara-Juara Eropah pada 2016/17.
Musim ini, RB Leipzig sedang menduduki tempat ke-4 saingan Bundesliga selepas 17 perlawanan – mengumpul 31 mata, (9 menang, 4 seri dan 4 kalah) dengan berjaya menghasilkan 31 gol dan 17 jaringan dibolosi.
2. Conor Coady (Wolverhampton Wanderers)
Conor Coady adalah produk dari akademi Liverpool dan merupakan anak jati tempatan dari Merseyside.
Coady telah dinaikan pangkat ke skuad akademi pada tahun 2012, ketika itu Liverpool dikendalikan oleh Brendan Rodgers.
Bagaimanapun, Coady sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama kerana pada ketika itu Liverpool sudah memiliki lima pertahanan tengah yang mantap – Martin Skrtel, Daniel Agger, Sebastian Coates, dan Jamie Carragher.
Coady hanya tampil dua kali sahaja untuk Liverpool sebelum beliau dipinjamkan kepada Sheffield United (2012/2013) dan kemudian dilepaskan secara tetap kepada Huddersfield Town pada tahun 2014.
Selepas semusim di Huddersfield, Coady telah direkrut oleh Wolverhampton Wanderers dan beliau telah menjadi benteng utama pertahanan Wolves.
Coady telah berjaya bantu Wolves mengakhiri saingan English Football League Championship 2017/18 ditempat pertama sekaligus melayakkan pasukan itu ke saingan EPL musim ini.
Coady yang berusia 25 tahun telah diberi penghormatan untuk menjadi ketua pasukan Wolves. Peningkatan prestasi Coady telah berjaya menarik minat Gareth Southgate untuk memanggilnya memperkuatkan pasukan kebangsaan England.
3. Luis Alberto (Lazio)
Luis Alberto adalah salah satu daripada dua pemain dalam senarai ini yang berada dalam skuad Liverpool ketika siri perebutan gelaran liga dengan Manchester City pada musim 2013/14.
Alberto menyertai Liverpool menjelang permulaan musim 2013/14. Namun, beliau hanya membuat 12 penampilan dalam semua pertandingan untuk Liverpool.
Alberto hanya bertahan satu musim sahaja di Liverpool, beliau dipinjamkan ke Malaga dan Deportivo pada musim berikutnya.
Liverpool sepertinya tidak lagi memerlukan khidmat Alberto, dan akhinya kelab itu menjualnya ke Lazio pada tahun 2016.
Pemain Sepanyol itu mengalami kesukaran untuk memberi impak pada musim sulungnya di Serie A. Bagaimanapun, pada musim 2017/18, beliau berjaya bangkit dari prestasi yang mengecewakan dengan menjadi pemain terpenting buat I Biancocelesti.
Tidak hanya itu, Alberto turut disenaraikan sebagai pemain terbaik buat Lazio dengan berjaya membantu pasukan itu menjaringkan 12 gol dan mencipta 19 bantuan gol dalam semua penampilannya untuk pasukan.
4. Iago Aspas (Celta Vigo)
Iago Aspas merupakan sebahagian daripada skuad Liverpool untuk musim 2013/14.
Beliau tiba di Liverpool pada tahun 2013.Bagaimanapun, penyokong menganggap kehadiran Aspas ini hanya ‘membuang masa’.
Hal ini kerana Rodgers sering meletakkannya dibangku simpanan sepanjang musim tersebut.
Reputasi cemerlang Luis Suarez dan Daniel Sturridge membuatkan nama Aspas tidak penting buat Liverpool pada masa itu.
Aspas hanya diberikan peluang tampil sebagai pemain simpanan untuk 15 perlawanan dan beliau hanya berjaya menyumbang satu gol untuk pasukan.
Setelah hanya satu musim di Inggeris, Aspas diizinkan untuk meninggalkan Liverpool. Awalnya beliau menyertai dengan Sevilla dengan berjaya menghadiahkan trofi Liga Eropah pada musim 2014/15.
Di Sevilla, Aspas turut menjadi pemain simpanan pasukan, namun nasibnya lebih baik berbanding di Liverpool. Aspas telah berjaya mencetak 10 gol dalam 26 perlawanan secara keseluruhan.
Kemudian pada musim berikutnya, Aspas kembali ke kelab lamanya, Celta Vigo. Di sana, Aspas telah kembali membuktikan sentuhan sebenar dengan mencetak 78 gol dalam 141 pertandingan untuk kelab.
Aspas turut menerima anugerah Zarra Trophy [Anugerah Pemain Terbaik Sepanyol di La Liga] selama dua musim berturut-turut – 2016/17 dan 2017/18.
5. Suso (AC Milan)
Jesus Joaquin Fernandez atau lebih dikenali dengan nama singkatannya Suso merupakan antara 5 pemain yang termasuk dalam senarai ini
Perjalanan Suso di Liverpool bermula dari pasukan akademi. Beliau diserapkan ke pasukan senior bersama Raheem Sterling pada tahun 2012.
Suso diberi banyak peluang untuk tampil dalam beberapa perlawanan di separuh pertama musim 2012/13.
Segalanya berakhir apabila Liverpool mendatangkan Philippe Coutinho dan Daniel Sturridge pada Januari 2013. Suso jarang diturunkan Rodgers dan akhirnya beliau dipinjamkan ke Almeria pada musim 2013/14.
Habis tempoh masa pinjaman, Suso kembali ke Anfield. Bagaimanapun, beliau tetap dipinggirkan dari skuad utama The Reds dan akhirnya Liverpool dengan rela melepaskan Suso secara tetap pada Januari 2015, enam bulan sebelum kontraknya dengan Liverpool berakhir.
Suso berhijrah ke Itali menyertai AC Milan sebelum dipinjamkan ke Genoa. Pada separuh kedua musim 2015/16 di Genoa, beliau berjaya mencetak enam gol dalam 19 pertandingan sebelum kembali ke pangkuan Milan dan menjadi ‘bintang’ di San Siro.
Pemain berusia 25 tahun itu boleh dikatakan sebagai pemain terbaik I Rossoneri pada masa ini.
Selepas 15 perlawanan Serie A, Suso telah berjaya menjaringkan 4 gol dan mencipta 8 bantuan gol untuk pasukan.