5 Pemain Baharu Yang ‘Ngam’ Dengan Transformasi Corak Permainan Pantas Kedah

Aidil Sharin taktikal permainan pantas Kedah 2022

Pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak ketika bercakap kepada Harian Metro menjelaskan yang mereka bakal menerapkan pendekatan taktikal yang berbeza pada musim hadapan iaitu permainan pantas.

Beliau turun bersama Kedah musim ini dengan misi mengubah corak permainan dan berdasarkan pemain yang dibawa masuknya ke dalam skuad utama, jelas pengendali asal Singapura itu telah berada di landasan tepat.

Tidak mudah untuk mengubah sesuatu dalam sekelip mata, namun usaha ini dilihat sangat bagus buat Kedah selepas beberapa musim dibentuk berasaskan pemain-pemain otai seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali. Selama tiga musim, Kedah dibentuk bersandarkan lingkungan kapten dan lagenda hidup, Baddrol Bakhtiar.

Ungkap Aidil Sharin mengenai cabaran besar yang akan dilaluinya musim hadapan, “Saya tidak nafikan cabaran besar yang perlu dilalui dalam melakukan perubahan terutama dalam tempoh yang singkat. Untuk menjadikan satu pasukan baharu itu bergabung dengan baik kerana setiap pelaksanaan itu akan mengambil masa.”

“Namun, kita perlu mengadaptasikan perubahan itu [corak permainan] dengan secepat yang boleh,” tambahnya.

Ini lima pemain baharu yang dilihat sesuai dengan corak permainan pantas yang mahu diterapkan Kedah.

Azmeer Aris (bek sayap dan sayap kiri)

Bek kiri yang telah dibawa masuk dari Penang FC ini adalah pemain yang pantas, mampu memahami serta mengikut corak permainan hantaran pantas dan dekat. Beliau meningkat namanya setelah berjaya mengunci bintang sensasi, Safawi Rasid ketika Penang FC tumpas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), musim lalu.

Berusia 22 tahun dan boleh bermain di semua posisi di sebelah kiri menjadikan Azmeer Aris aset terbaik Kedah.

Amer Azahar (sayap kiri)

Amer Azahar adalah tambah baik yang bagus di posisi sayap kiri Kedah. Musim lalu, Kipre Tchetche banyak menggerakan posisi itu sebagai inside forward dan Amer Azahar juga mampu melakukannya. Penolong jurulatih Harimau Kumbang, Manzoor Azwira pernah melabelnya sebagai pemain berpotensi dalam saingan musim lalu.

Perkara menarik tentang Amer Azahar adalah kepantasannya, licik serta memiliki gerakan kaki mengelirukan. Seringkali lawan akan ‘terkena’ dan menghadiahkan Penang FC sepakan percuma di kawasan berbahaya.

Masih ingat jaringan menarik Penang yang viral di media sosial antarabangsa, 433? Dalam aksi Liga Premier 2020, mereka menang 4-2 ke atas Sarawak United. Amer Azahar antara penggerak utama mencipta gol itu.

Al-Hafiz Harun (sayap kanan)

Seorang lagi pemain yang laju menyertai Kedah dari Penang. “Pemain nombor 12” mungkin antara kata-kata paling diingati para penyokong Penang apabila pengendali Selangor, Karsten Neitzel pernah berkata yang pasukannya sukar menghadapi ancaman yang dihadirkan oleh Al-Hafiz Harun ketika mereka tumbang 0-2.

Dengan Kedah kekurangan pilihan di jentera sayap dan penuaan pemain sedia ada iaitu Azamuddin Akil, pemain berusia 27 tahun ini boleh dianggap pilihan terbaik untuk menggerakkan jentera sayap skuad Hijau Kuning.

Dechi Marcel (pemain tengah)

Walaupun boleh dikatakan hanya bermula sebagai watak tempelan di Terengganu FC musim lalu, pemain yang berperanan sebagai pemain box-to-box itu membuktikan beliau memiliki sentuhan yang baik di jentera tengah.

Kecederaan Petrus Shitembi memberikannya lesen untuk bersama skuad utama dan membuktikan beliau juga bukan pemain biasa-biasa dengan berhasil meledak empat gol selain diturunkan dalam 18 perlawanan. Beliau gemar bermain dengan hantaran dekat dan pantas, malah ia bertepatan dengan taktikal yang cuba digarap.

Cuba lihat aksi-aksi dan gaya permainannya ketika bersama Terengganu. Kedah memiliki seorang lagi pemain sepertinya iaitu pemain yang datang dari Penang, Khairu Azrin Khazali. Jelas, ini satu kelebihan buat mereka.

Syafiq Ahmad (penyerang)

Semua tahu kecerdikan Syafiq Ahmad dalam formasi taktikal yang cuba digarap Aidil Sharin – permainan pantas menyerang. Kemampuannya untuk beraksi di pelbagai peranan di jentera serangan memberikan kelebihan buat Kedah untuk mendapatkan yang terbaik daripadanya dalam saingan Liga Super musim ini.

DIjangka akan menjadi penyerang kedua di atas padang, itu adalah posisi terkuat Syafiq Ahmad dan Kedah harus manfaatkan sepenuhnya. Jika anda mahu melihat bagaimana prestasi terbaiknya, anda boleh melihat semula aksinya bersama JDT dalam Piala Malaysia 2019. Prestasi itu yang dibawanya ke skuad negara.

Penutup

Aidil Sharin dilihat memiliki senarai pemain terbaik untuk mengubah gaya permainannya. Sudah tiba masanya Kedah beralih kepada formula baharu dengan set pemain yang baharu seperti mana sekarang dan pemergian beberapa pemain otai yang selama ini ‘membentuk’ gaya permainan pasukan. Inilah wajah baharu Kedah.

Bagaimana pendapat pembaca? Adakah pemain-pemain baharu ini mampu menafsirkan taktikal Aidil Sharin?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN