5 Manifesto Sheikh Jassim Jika Berjaya Miliki Manchester United

Sheikh Jassim

Perebutan untuk mendapatkan hak sebagai pemilik Manchester United semakin hangat dengan persaingan dua penjuru mengambil tempat.

Wakil daripada Qatar, Sheikh Jassim bakal menjadi pesaing kepada anak tempatan iaitu Sir Jim Ratcliffe dalam misi siapakah bakal menambat hati The Glazers untuk akhirnya melepaskan pemilikan United mereka.

Setakat ini, kedua-dua individu ini bersama entiti mereka telah menghantarkan dokumen untuk mendapatkan United walaupun pada awalnya Jassim dan Ratcliffe telah melanggar tempoh masa yang diberikan.

Akan tetapi selepas tempoh masa dilanjutkan, kesemuanya mempunyai peluang untuk memberikan dokumen sepatutnya dan ini telah membuatkan Jassim begitu yakin beliau mampu memiliki United.

Jassim dilihat begitu bersungguh mahukan United dengan penyokong mereka amat inginkan beliau menerajui kelab tersebut.

Malah, Jassim juga sudah menyediakan lima manifesto untuk membangkitkan semula United jika beliau berjaya memiliki kelab. Mari kita saksikan.

Pembangunan semula Old Trafford

Old Trafford diakui sebagai stadium kelab terbesar di England dengan kapasiti melebihi 70 ribu.

Namun begitu, stadium tersebut sudah lama tidak mengalami proses baik pulih atau pembangunan semula berbanding Anfield milik Liverpool yang sedikit demi sedikit mendapat wajah baharu.

Malah, stadium gergasi lain seperti Nou Camp dan Santiago Bernabeu juga sedang mengalami ‘pembedahan’ untuk memajukan lagi gelanggang mereka.

Jadi, adalah menjadi aspirasi buat Jassim untuk memberikan wajah baharu kepada Old Trafford supaya ianya lebih segar dan menarik untuk dikunjungi.

Penyokong didahulukan

Selama ini, penyokong United dilihat terseksa kerana Glazers yang layanan yang diberikan kepada mereka tidak wajar.

Glazers menganggap penyokong United tidak lebih daripada sekadar pelanggan untuk mereka buat duit dan ini yang cuba ditukar oleh Jassim.

Jassim mahu memastikan penyokong United didahulukan dengan menjadikan pengalaman beraksi bola sepak di Old Trafford semakin baik berbanding sebelum ini.

Aspirasi bebas hutang

Selama ini, United digambarkan sebagai kelab yang penuh sarat dengan hutang dan ini memberikan reputasi buruk kepada Red Devils di mata seteru yang lain.

Oleh itu, Jassim mahu menjadikan United sebagai kelab yang bebas hutang dan tidak terikat dengan mana-mana komitmen selepas ini.

Dengan kekayaan yang cukup meluas dimiliki Jassim, dijangka tiada masalah untuk beliau menyelesaikan masalah ini.

Pelaburan untuk skuad lelaki & wanita

Ini mungkin perkara paling dinantikan penyokong. Jika Jassim berjaya mendapatkan United, pelaburan yang rancak akan dilakukan terhadap skuad mereka.

Bukan tertakluk kepada skuad lelaki sahaja, tetapi Jassim juga mahu memastikan pasukan wanita mereka akan menjadi kuasa dominan bola sepak dunia.

Ini pastinya akan disambut baik oleh Erik ten Hag kerana ianya akan memberikan kebebasan yang optimum kepadanya untuk mendapatkan pemain yang diperlukan bagi menjayakan taktikalnya.

Menambah baik fasiliti latihan

Seperti yang didedahkan oleh Cristiano Ronaldo, fasiliti latihan United di Carrington masih berada pada tahap “ketika beliau pertama kali berada di kelab” tersebut.

Jadi, ianya menjadi satu misi Jassim untuk menaik taraf fasiliti latihan di Carrington supaya boleh menarik lebih ramai pemain bintang menyertai mereka.

Dalam masa yang sama, ia juga boleh menyerlahkan potensi pemain jika standard fasiliti latihan di United berada pada tahap tertinggi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN