Apabila seseorang pemain itu sudah mencapai penghujung karier sebagai pemain bola sepak, banyak persoalan mula timbul dalam kalangan para peminat, sama ada mereka akan bersara dari bola sepak ataupun beralih menjadi seorang jurulatih.
Zinedine Zidane merupakan salah satu contoh pemain sepak bola terkenal yang menjadi jurulatih yang hebat.
Legenda Perancis itu berjaya memenangi Piala Dunia, Liga Juara-Juara Eropah dan turut menerima anugerah Ballon d’Or sebagai pemain dan kemudiannya ketika menjawat jawatan sebagai pengurus, beliau berjaya membawa Real Madrid merangkul gelaran Liga Juara-Juara Eropah tiga kali berturut-turut.
Namun, tidak semua seperti Zidane. Ramai juga dalam kalangan bekas pemain hebat telah gagal ketika meniti karier sebagai pengurus. Berikut merupakan lima legenda bola sepak terkenal yang gagal sebagai pengurus pasukan.
1. Diego Maradona
Mungkin Maradona adalah jurulatih paling terburuk di antara bekas pemain bintang setakat ini.
Maradona sudah membimbing hampir enam pasukan, termasuk pasukan kebangsaan Argentina. Namun begitu, beliau sekalipun tidak berjaya mempersembahkan trofi buat mana-mana pasukan.
Legenda Argentina ini gagal membentuk pasukan dan akhirnya beliau dipecat.
Rekod kemenangan terbaik yang pernah dicatatkannya adalah ketika beliau menjadi jurulatih Argentina, dengan berjaya memenangi 18 dari 24 perlawanan selama tempoh 2 tahun membimbing pasukan itu.
2. Gary Neville
Neville terkenal sebagai pakar penganalisi taktikal bola sepak. Dalam semua analisis yang dilakukannya, beliau selalu bijak membentangkan taktikal pasukan serta menjelaskan kepada para penonton tentang perlawanan dengan lebih mendalam.
Kebijaksanaan Neville menganalisi taktikal membuatkan ramai yang beranggapan beliau mampu menjadi seorang pelatih yang berjaya.
Bagaimanapun, apa yang disangkakan itu tidak seiring dengan tugasnya selaku pengurus. Neville hanya mampu bertahan empat bulan sebagai pengurus di Valencia.
Beliau dipecat selepas gagal membawa pasukan itu dengan lebih baik apabila menduduki tempat ke-14 dalam saingan La Liga, enam mata daripada zon penyingkiran dengan berbaki lapan perlawanan.
Bekas pemain Manchester United itu hanya memperoleh tiga kemenangan daripada 16 perlawanan liga semasa membimbing Valencia.
3. Clarence Seedorf
Clarence Seedorf dipersetujui oleh pihak kelab untuk dilantik menjadi pengurus AC Milan, mengambil alih tugas sementara dari Mauro Tassotti pada musim 2014/15.
Namun, beliau hanya mampu bertahan empat bulan sebelum dipecat berikutan prestasi pasukan yang tidak menepati kehendak pihak tertinggi kelab.
Beliau kemudiannya berhijrah ke China untuk membimbing kelab Shenzen.
Di China, beliau hanya mampu bertahan selepas mengharungi 14 perlawanan sebelum kelab itu memecatnya dan digantikan dengan Sven-Goran Eriksson.
Seedorf kemudiannya mencuba nasib di kelab Sepanyol, Deportivo La Coruna. Namun, beliau turut dipecat selepas 16 perlawanan.
Ketika ini, pengurus berusia 42 tahun itu sedang membimbing pasukan kebangsaan Cameroon dan baru sahaja meraih satu kemenangan dari enam perlawanan yang sudah dilalui.
4. Tony Adams
Tony Adams masih tetap menjadi pemain terkenal The Gunners. Jasanya sepanjang 22 tahun berkhidmat bersama Arsenal akan terus dikenang oleh seluruh peminat kelab London tersebut.
Bagaimanapun, perjalanan kariernya sebagai pengurus tidaklah begitu memberangsangkan.
Adams pernah membimbing empat pasukan iaitu, Wycombe Wanderers, Portsmouth, Gabala dan Granada. Namun, beliau gagal menghadiahkan sebarang trofi kejuaraan semasa kendalianya.
5. Thierry Henry
Bekas pemain Barcelona dan Arsenal itu tiba di AS Monaco mengambil alih tugas Leonardo Jardim yang dipecat Oktober lalu.
Legenda Perancis itu pada awalnya diharapkan dapat membawa angin perubahan yang lebih baik untuk Monaco. Namun sebaliknya, ‘bencana’ berlaku.
Henry mencatat empat kemenangan dan 20 perlawanan sepanjang menguruskan kelab ini yang menyaksikan mereka berada di tangga ke-19 liga. Kelab kemudiannya membuat ‘pusingan U’ memanggil semula bagi Jardim menggantikan Henry.