5 Keputusan Bijak Dari Mikel Arteta Yang Patut Dipuji

Mikel Arteta telah dilantik sebagai pengurus Arsenal pada Disember 2019 dengan beliau pada ketika ini sedang menikmati karier yang menakjubkan di Emirates.

Beliau perlahan-lahan berjaya membentuk sebuah skuad mantap yang mampu bersaing untuk berada di kelompok empat teratas dalam carta saingan Premier League pada ketika ini.

Pengurus dari Sepanyol itu sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada Pep Guardiola di Etihad sebelum memilih untuk menjadi pengurus Gunners.

Jelas sekali beliau banyak belajar dari Pep dan beliau benar-benar memanfaatkan kesempatan menjadi pembantu bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu.

Beliau berjaya memenangi FA Cup sebaik selepas dilantik menjadi pengurus Arsenal, namun malangnya beliau gagal membawa Gunners ke pentas bola sepak Eropah buat pertama kali selepas dua dekad pada musim berikutnya.

Pada awal musim ini, Arteta turut dihentam kerana skuadnya mempamerkan aksi tak menentu dan turut mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut.

Walau bagaimanapun, perlahan-lahan beliau berjaya menaikkan semula Gunners, hingga kini menjadi antara pasukan paling berprestasi dalam saingan Premier League.

Arsenal ketika ini sedang berada di kelompok empat teratas dalam carta saingan liga, selepas kejayaan mereka mencatatkan enam kemenangan dari tujuh perlawanan terakhir dalam saingan Premier League.

Melihat kepada prestasi semasa dan kedudukan mereka dalam carta saingan liga, tak keterlaluan rasanya untuk menganggap yang Arsenal sudah hampir pasti mengesahkan tempat beraksi di pentas saingan Champions League musim hadapan.

Apa yg Arteta lakukan hingga beliau menerima pujian yang menggunung dari pelbagai pihak?

Berikut merupakan lima keputusan yang diambil oleh Mikel Arteta, yang dirasakan sebagai hal yang terbaik untuk Arsenal sendiri.

5) Mengurangkan perbelanjaan gaji

Salah satu keputusan terbaik dari Mikel Arteta adalah bagaimana cara beliau membantu kelab mengurangkan perbelanjaan gaji.

Ketika Arteta mula-mula tiba, skuad Arsenal sebenarnya dibanjiri oleh barisan pemain yang menerima gaji yang sangat tinggi.

Bukan hanya menerima gaji yang tinggi, bahkan kebanyakan dari mereka sebenarnya tidak mempamerkan aksi yang setimpal dengan apa yang kelab bayar kepada mereka.

Arteta menggunakan pelbagai cara termasuk menjual dan meminjamkan pemain tersebut, hingga kini hampir kesemua mereka sudah tidak bersama kelab.

Pemain seperti Mesut Ozil, Shkodran Mustafi, Pierre Emerick Aubameyang, David Luiz dan Willian antara pemain yang berjaya disingkirkan dari kelab dan menjimatkan perbelanjaan kelab dari segi pembayaran gaji.

Kebijaksanaan Arteta itu jelas sekali membantu membuka ruang untuk Arsenal memulakan projek pembinaan skuad baru dengan menggunakan barisan pemain muda.

4) Menggantikan Bernd Leno dengan Aaron Ramsdale

Bernd Leno merupakan penjaga gol utama Arsenal ketika ketibaan Mikel Arteta, dengan penjaga gol dari Jerman itu turut mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Walau Bernd Leno berjaya mempamerkan aksi persembahan yang mantap, namun sepertinya Arteta masih tak berpuas hati dengan sumbangan beliau.

Ketika Arteta memutuskan untuk menandatangani Aaron Ramsdale dengan yuran perpindahan bernilai £25 juta, ramai pihak yang menentang dan menganggap ia tindakan yang kurang bijak.

Walau bagaimanapun, keputusan beliau itu ternyata keputusan yang bijak dan nilai yang Arsenal bayar untuk dapatkan khidmatnya juga sangat berbaloi.

Ramsdale berjaya menambah kekebalan tembok belakang Gunners, dan beliau juga kerap melakukan aksi penyelamatan berkelas dunia dalam usahanya untuk menyelamatkan gawang golnya dari dibolosi.

Ramsdale sepanjang musim ini berjaya mencatatkan 12 clean sheet dan beliau juga kerap melakukan aksi penyelamatan penting yang membantu Arsenal dari keciciran mata.

Arteta berhak dipuji kerana mampu menstabilkan barisan pertahanan beliau, dengan mereka kini hanya mencatatkan lapan bolos sahaja dalam saingan Premier League sepanjang tahun ini.

3) Melantik Nicolas Jover

Keputusan Mikel Arteta melantik Nicolas Jover sebagai jurulatih set-pieces jelas sekali akan dianggap sebagai keputusan paling bijak dan berkesan yang pernah beliau lakukan.

The Gunners sebelum ini memegang rekod sebagai antara pasukan paling mudah dilepasi ketika berdepan situasi set-pieces.

Barisan pertahanan kekurangan struktur dan mereka juga kerap melepaskan gol dari sudut sepakan penjuru dan sepakan percuma.

Walau bagaimanapun, sejak ketibaan Nicolas Jover, semuanya nampak berubah pada ketika ini, dengan Arsenal lebih cemerlang ketika berdepan situasi set-pieces.

Nicolas Jover sebelum ini pernah berkhidmat bersama Manchester City selama dua musim sebelum beliau menandatangani perjanjian bersama Arsenal pada musim panas lalu.

Impak yang beliau tinggalkan jelas sekali satu hal yang sungguh menakjubkan, dengan Arsenal masih belum bolos walau sudah berdepan 121 sepakan penjuru setakat musim ini.

Jover juga berjaya memperbaiki mutu skuad ketika menyerang, dengan Arsenal sudah berjaya menjaringkan enam gol dari sudut bola mati sepanjang musim ini.

2) Pembelian yang bijak

Mikel Arteta memanfaatkan jendela perpindahan musim panas lalu dengan sangat bijak dengan beliau berjaya membawa masuk beberapa pemain baru ke dalam skuadnya.

Pemain yang beliau pilih juga jelas membuktikan yang Mikel Arteta sebenarnya tahu apa yang skuad dan beliau sendiri perlukan untuk perancangan jangka masa panjang.

Walaupun para penyokong awalnya tak bersetuju dengan barisan pemain yang beliau tandatangani, namun kini, semua peminat sedar yang para pemain tersebut jelas sekali sangat berbaloi untuk ditandatangani.

Arteta telah menandatangani pemain-pemain seperti Thomas Partey, Ben White, Martin Odegaard, Takehiro Tomiyasu dan Aaron Ramsdale.

Kesemua pemain ini tidak begitu dipandang sebelum ini, namun di bawah kendalian Mikel Arteta, mereka berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

1) Menaikan pemain muda

Skuad Mikel Arteta pada musim ini dikenali sebagai skuad yang diperkuatkan oleh barisan pemain-pemain muda.

Pengurus Arsenal itu berjaya menjadikan pemain seperti Bukayo Saka, Emile Smith Rowe dan Gabriel Martinelli sebagai antara pemain terbaik dalam dunia bola sepak hari ini.

Kesemua mereka merupakan pemain utama yang sering ada dalam kesebelasan utama skuad, dan mereka juga turut menjadi nadi penting sebalik kejayaan skuad pada ketika ini.

Dengan pemain-pemain tersebut sememangnya sudah memiliki bakat semula jadi yang hebat, Arteta memberi ruang tambahan kepada mereka untuk lebih bersinar.

Dek kerana kerap menjaringkan gol, keyakinan mereka semua untuk berdepan lawan yang lebih sukar juga semakin meningkat dengan mereka seolah-olah tak peduli siapa lawan yang perlu mereka hadapi.

Emile Smith Rowe dan Bukayo Saka merupakan penjaring terbanyak Arsenal sepanjang musim ini dengan masing-masing berjaya meledak 10 gol dari semua pertandingan.

Dengan menggunakan skuad muda itu sahaja, Arteta mampu membawa Arsenal untuk bersaing dan berada di kelompok empat teratas dalam saingan Premier League musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN