Di Malaysia, jika kita bercakap mengenai kelab kegemaran Eropah selain daripada pasukan di Premier League pastinya nama Barcelona tidak akan tercicir.
Barcelona merupakan pasukan yang mempunyai ramai penyokong di seluruh dunia dan tidak terkecuali di Malaysia.
Pasukan yang kaya dengan sejarah, kejuaraan yang tidak terbilang banyaknya serta barisan legenda yang pernah dan sedang menyarung jersi Barcelona membuatkan mereka cukup istimewa dalam kancah bola sepak.
Walaupun dikenali ramai namun masih ada yang belum cukup kenal dengan pasukan ini, bukan?
Oleh itu, artikel ini akan menceritakan 5 fakta menarik mengenai Barcelona yang mungkin anda tidak tahu. Jom mula!
5. Stadium terbesar di Eropah
Penyokong Barcelona boleh mendabik dada kerana pasukan mereka mempunyai stadium terbesar di Eropah.
Dibuka pada tahun 1957 iaitu pada tahun yang sama negara kita mencapai kemerdekaan, kapasiti stadium Nou Camp adalah sebanyak 99, 354 tempat duduk.
Nou Camp mencapai kapasiti stadium sebesar itu selepas pembinaan semula dilakukan pada tahun 1986 sempena Piala Dunia yang diadakan Sepanyol pada tahun tersebut.
Untuk rekod, Nou Camp pernah menampung seramai 120 ribu penonton ketika aksi European Cup pada 1986 sewaktu Barcelona menentang Juventus.
4. Penyokong Barcelona digelar “si punggung”
Gelaran ini cukup pelik dan agak tidak sopan dalam masa yang sama. Namun itulah nama yang diberikan kepada penyokong Barcelona pada masa dahulu.
Sebelum era Nou Camp, Barcelona hanya mempunyai stadium kecil yang terletak di kawasan kejiranan iaitu Les Corts.
Apabila perlawanan besar dilangsungkan di sana, stadium tersebut tidak mampu untuk menampung jumlah penyokong tuan rumah yang datang.
Oleh kerana itu, para penyokong akan melimpahi setiap genap ruang stadium hinggalah ke tepi padang untuk menyaksikan perlawanan dilangsungkan.
Bagi mereka yang melalui stadium itu dari luar, mereka tidak mampu untuk menjengah kepala mereka untuk melihat apa yang berlaku di padang.
Hal ini kerana, ianya dilindungi oleh penyokong yang terlalu ramai dan mereka hanya boleh nampak bahagian belakang mereka sahaja termasuklah punggung mereka.
Oleh kerana itulah penyokong Barcelona dikenali sebagai “si punggung”!
3. Kelab yang dimiliki 100% oleh penyokong
Barcelona merupakan kelab yang cukup istimewa kerana walaupun mereka adalah kelab utama dunia, tetapi ianya dimiliki secara penuh oleh penyokongnya.
Untuk rekod, seramai 140 ribu ahli berdaftar dikenali sebagai socios yang mempunyai kuasa sebagai pembuat keputusan bagi menentukan hala tuju kelab.
Sistem demokrasi yang diamalkan Barcelona ini tidak lagi dipakai oleh majoriti kelab di Eropah dan kerana itu mereka menggunakan slogan “mes que un club” atau “lebih daripada sebuah kelab”.
2. Akademi terulung La Masia
Dalam dunia bola sepak, terdapat beberapa pasukan yang terkenal dengan akademi mereka yang cukup hebat dalam melahirkan pemain-pemain berkualiti.
Salah satunya adalah akademi La Masia milik Barcelona. Untuk bertahun lamanya, mereka telah menghasilkan pemain-pemain berkualiti menerusi akademi ini.
Pemain-pemain seperti Pep Guardiola, Xavi Hernandez dan juga Andres Iniesta adalah contoh graduan akademi La Masia. Setiap graduan akademi ini telah disiapkan dengan DNA bola sepak Barcelona yang cukup unik.
Apa yang menarik mengenai kejayaan La Masia ini adalah pada tahun 2010, 3 pemain yang menjadi finalis Ballon d’Or pada tahun itu semuanya adalah graduan akademi tersebut.
Mereka ialah Lionel Messi, Xavi Hernandez dan Andres Iniesta.
1. Satu-satunya
Barcelona merupakan pasukan di Eropah yang benar-benar mendefinisikan maksud penguasaan dalam bola sepak.
Mereka merupakan satu-satunya pasukan di benua itu yang pernah memenangi 3 piala dalam satu musim atau treble lebih daripada sekali.
Kali pertama Barcelona melakukan sedemikian adalah pada musim 2008/2009 apabila merangkul gelaran La Liga, Copa Del Rey dan UEFA Champions League di bawah kendalian Pep Guardiola.
Luis Enrique kemudiannya mengulangi kejayaan tersebut pada musim 2014/2015 ketika trio MSN (Messi, Suarez, Neymar) menjadi ancaman banyak pasukan lawan ketika itu.