5 Dalil Kenapa Penyokong Man Utd Perlu Yakin Kejuaraan EPL Milik Mereka

2 perlawanan, 2 kemenangan, 8 gol dijaringkan dan tidak ada bolos dilepaskan. Sesiapa pun yang bergelar penyokong Manchester United akan merasa optimis. Siapakah yang boleh menyalahkan mereka?

Jika anda bermain perlawanan Fantasy Premier League (FPL), anda pasti membariskan Romelu Lukaku sebagai kapten. Dan mungkin beberapa pemain lain seperti Henrikh Mkhitaryan dan Paul Pogba untuk mendapatkan mata semaksimum mungkin.

Benar. Anda akan dipersoalkan kewarasannya jika melepaskan pemain seperti Lukaku dan lain-lain jika benar serius bermain FPL.

Mengambil kira kehebatan anak-anak buah Jose Mourinho pada musim ini, kami yakin Manchester United mempunyai segenap ramuan untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada penghujung musim.

Artikel ini membawakan kepada anda, 5 sebab Manchester United akan bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim 2017/18.

1. Romelu Lukaku Buktikan Nilainya

Sebelum ini Jose Mourinho pernah berkata bahawa beliau tidak kisah siapa pun dalam kalangan pemainnya yang akan menjaringkan gol.

Bagaimanapun pengurus daripada Portugal tersebut pasti menarik nafas lega selepas melihat pelaburan bernilai £75 juta beliau membuahkan hasil seawal 2 perlawanan pertama saingan EPL.

Sebelum bermula saingan EPL, Lukaku telah pun menjaringkan 1 gol dalam perlawanan UEFA Super Cup menentang Real Madrid. 2 gol ketika menentang West Ham dan 1 gol ketika berhadapan dengan Swansea, sekadar membuktikan ketajaman pemain No.9 prolifik dari Belgium ini.

Ramai yang memperdebatkan pilihan Mourinho untuk membawa Lukaku ke Old Trafford dan membandingkannya dengan Alvaro Morata sebelum ini. Sekurang-kurangnya Lukaku telah mendiamkan pengkritiknya buat masa sekarang.

Masih banyak yang perlu dibuktikan oleh Lukaku terutama ketika berhadapan dengan pasukan 6 teratas pada musim lalu bermula dengan Liverpool pada 14 Oktober akan datang.

Bagaimanapun, Lukaku telah memulakan kariernya dengan sangat baik bersama United, dan konsistensi harus menjadi sasaran seterusnya.

(Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images)

2. Statistik jaringan yang lebih baik

Salah satu masalah Manchester United yang sering merungsingkan Jose Mourinho pada musim lalu ialah ketumpulan jentera serangan pasukannya untuk menjaringkan gol.

Manchester United adalah pasukan terendah yang menjaringkan gol di kalangan 7 pasukan teratas di dalam sainga EPL pada musim lalu.

Mengikut statistik yang diberikan oleh Opta, United melepaskan 50 peluang terbuka untuk menjaringkan gol pada musim lalu. Ia adalah jumlah yang jauh lebih banyak daripada mana-mana pasukan lain.

Ketika mencatat keputusan seri 1-1 dengan West Ham di Old Trafford pada musim lalu, United memiliki 8 percubaan tepat dan menjaringkan hanya 1 gol.

Minggu lepas, skuad bimbingan Jose Mourinho menyempurnakan 4 percubaan daripada 6 percubaan tepat ke arah gawang West Ham. Manakala ketika menentang Swansea pada malam tadi, United sekali lagi mencetak 4 gol daripada 7 percubaan tepat.

8 gol daripada 2 perlawanan dengan kadar kejayaan yang lebih tinggi untuk menjaringkan gol bermakna United lebih tajam ketika berada di hadapan gol pada musim ini.

(Photo by Paul Jenkins/Action Plus via Getty Images)

3. Nemanja Matic

Ketika perlawanan menentang West Ham, Matic membuktikan apa yang tiada pada United musim sebelumnya.

Kebolehannya membaca permainan di kawasan tengah dan kehadiran fizikalnya memukau. Itulah sumbangan yang diharapkan oleh kebanyakkan penyokong Manchester United ketika Fellaini tiba di Old Trafford pada 2013.

Matic turut terlibat dalam jaringan pertama Lukaku dalam perlawanan menentang West Ham, bijak menghalang gerakan Pedro Obiang di tengah padang dan menghantar bola terus kepada Rashford di sebelah kiri sebelum Lukaku menyudahkannya.

Masih lagi satu misteri bagaimana Chelsea boleh melepaskan pemain dengan kaliber yang dimiliki Matic kepada Manchester United, jika persaingan kedua-dua kelab diambil kira.

Matic sudah pun diterima baik di kalangan rakan-rakan baharunya di Old Trafford. Walaupun Lukaku menjaringkan 30 gol pada penghujung musim, Nemanja Matic tetap pembelian paling berbaloi Jose Mourinho pada musim ini.

(Photo by John Peters/Man Utd via Getty Images)

4. Peningkatan Marcus Rashford

Marcus Rashford adalah satu lagi watak penting yang harus diperhatikan pada musim ini. Menentang West Ham, lorongannya kepada Lukaku menghasilkan gol pertama perlawanan.

Secara fizikal, pemain berusia 19 tahun ini menjadi semakin kuat sesuai dengan tuntutan saingan di EPL. Rashford adalah pemain yang pantas, selesa dengan bola, dan bijak mencari ruang- jika kemunculan pada musim pertamanya diambil kira.

Musim ini, Mourinho tampak punyai pelan tersendiri untuk Rashford.

Musim ini peranan Rashford lebih langsung (direct) sebagai seorang penyerang sayap. Beliau berbeza dengan pemain sayap kanan pasukan lain yang lebih terikat kepada peranan memberikan servis kepada ‘target man’ masing-masing.

Jika ada penyokong United mempertikaikan kenapa Rashford lebih tamak, ianya kerana peranan beliau sebagai penyerang sayap songsang (inverted winger). Ia memang dibiarkan begitu.

Mungkin satu aspek yang perlu Rashford pelajari ialah supaya lebih tenang. Adakala beliau kelihatan sangat terdesak untuk menghasilkan jaringan.

Mungkinkah wujud persaingan antara Rashford dan juga Anthony Martial?

(Photo by Dan Mullan/Getty Images)

5. David De Gea masih di Old Trafford

Berita perpindahan David de Gea agak sepi pada jendela perpindahan kali ini. Satu perkara yang pasti ialah, mengekalkan Dabid de Gea adalah sama pentingnya dengan pembelian Lukaku dan juga Matic!

Penjaga gol antarabangsa Sepanyol ini menyelamatkan beberapa percubaan ketika berhadapan denga Real Madrid, 2 percubaan merbahaya ketika menentang West Ham dan 1 percubaan ketika menentang Swansea.

Hakikatnya Manchester United mempunyai rekod sebagai pertahanan kedua terbaik pada musim lalu, dan kita tidak boleh menafikan kehadiran dan sumbangan David de Gea untuk statistik tersebut.

Jika David de Gea boleh mengulangi prestasi yang sama seperti pada musim lalu, ditambahd engan konsistensi jentera jaringan untuk mencetak gol, Manchester United sepatutnya hampir bergelar juara Liga Perdana Inggeris menjelang Mei yang akan datang.

Rumusan

Jika anda seorang penyokong Manchester United, adakah anda yakin pasukan anda akan muncul juara? Anda punyai sebab yang lain?

Nyatakan kepada kami di ruangan komen. Kami mahu mendengar daripada anda!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN