5 Cara Pemain Memaksa Kelab Untuk Menjualnya Semasa Jendela Perpindahan

Apa yang menarik ketika Raheem Sterling berpindah dari Liverpool ke Manchester City adalah bagaimana beliau memaksa Liverpool menjualnya.

Kami melihat taktik yang dilakukan Sterling dan beberapa pemain lain untuk memaksa majikan mereka untuk menjual.

1. Enggan berlatih/bermain

Taktik ini menjadi semakin biasa kerana satu sebab: ia taktik paling berjaya kebelakangan ini. Bagi pengurus pasukan, tiada gunanya menyimpan pemain yang tidak menunjukkan komitmen, walau sehebat mana pun pemain itu.

Taktik ini juga mendatangkan hasil untuk Gareth Bale apabila beliau tidak hadir ke latihan pasukan pada satu hari di bulan Ogos 2013. 5 hari kemudian, Bale diumumkan sebagai pemain Real Madrid.

(Photo by NurPhoto/Corbis via Getty Images)

Bale sebenarnya belajar daripada Luka Modric, yang melakukan perkara sama pada musim panas 2012.

Selepas agennya dihubungi oleh Real Madrid, Modric langsung tidak datang ke latihan pada bulan Julai 2012. Pada Ogos 2012, beliau diumumkan sebagai pemain Real Madrid.

Pemain juga menggunakan taktik sama apabila pasukan mereka ditimpa masalah.

Ketika Shakhtar Donetsk mengumumkan mereka akan berlatih dan bermain di Kiev, 6 pemain Brazil mereka mengumumkan tidak akan balik dari cuti. Secara serta-merta, nama mereka dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain.

Sementara itu Steven Naismith, Steven Whittaker, Jamie Ness, Sone Aluko, Rhys McCabe, Steven Davis, Allan McGregor dan Kyle Lafferty adalah antara pemain Rangers yang tidak mahu bermain apabila Rangers disingkirkan ke liga ke-4 Scotland.

Mereka dapat berpindah pada 2012 selepas Rangers menjual segala aset mereka.

2. Buat kes disiplin

Agak sukar untuk dipercayai, tetapi inilah yang diakui sendiri oleh Robbie Savage ketika beliau bergelar pemain profesional.

“Ada di satu kelab ini (Birmingham City), semua pemain tahu saya mahu keluar dan ada beberapa pemain yang tak puas hati dengan saya.”

“Suasana di bilik persalianan agak tegang. Pada satu hari, saya bergaduh dengan penjaga gol. Dia datang kepada saya dan mencekik leher saya. Saya bangun untuk melawan sebelum ditenangkan rakan sepasukan lain. Bibir dia pecah selepas terhantuk kepala saya.”

Hajat Savage tercapai selepas kes disiplin ini membuatkan pengurusnya tiada pilihan lain selain menjualnya ke Blackburn Rovers.

(Photo by Neal Simpson – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Bekas pemain Arsenal, Rohan Ricketts, pula terpaksa melakukan sesuatu yang pelik untuk memaksa Arsenal melepaskannya.

“Saya tak dapat keluar Arsenal ketika saya masih mempunyai kontrak dengan mereka. Jadi saya terpaksa melakukan sesuatu.”

“Pada satu hari, telefon seorang pemain hilang di kompleks latihan. Saya cakap saya yang mencurinya sedangkan telefon tersebut tidak dicuri. Dia hanya tersalah letak.”

“Pada mulanya, pengurusan kelab tak percaya saya mencurinya. Tapi saya terus mengaku sehingga mereka terpaksa menamatkan kontrak saya.”

Selepas ditamatkan kontrak, Ricketts ditandatangani oleh Tottenham Hotspurs.

3. Memohon kelab lain untuk membeli

Antara cara lain bagi pemain untuk memaksa majikan menjual mereka adalah dengan mengumumkan niat sebenar anda kepada media.

Kebiasaannya pemain akan mengumumkan beliau ‘masih mempunyai kontrak’ dan ‘setia dan fokus kepada kelab’. Tetapi pada masa yang sama mengkritik kelab kerana ‘tiada cita-cita tinggi’ atau ‘memungkiri janji’.

Cristiano Ronaldo tidak berselindung dalam laman web bola sepak Brazil, Terra, apabila mengumumkan dirinya mahu bermain untuk Real Madrid.

Tetapi pada masa yang sama, kata-kata Ronaldo berlapik juga apabila mengalihkan perhatian dirinya kepada agennya dengan berkata:

“Urusan (perpindahan) ini bukan urusan saya.”

(Photo credit: Dani Pozo/AFP/Getty Images)

Luis Suarez juga pernah melakukan perkara sama dalam temuramah beliau dengan The Guardian ini.

Seperti Ronaldo, Suarez menggunakan agennya untuk menarik minat kelab selain Arsenal untuk membawanya keluar dari Liverpool – sesuatu yang digemari agennya kerana komisyen 15% yang bakal diperolehi daripada nilai perpindahan Suarez.

4. Berpura-pura cedera/sakit

Taktik ini bagaikan sambil menyelam minum air. Bukan saja pemain boleh membuatkan dirinya dikeluarkan daripada perancangan pasukan, malah ia menjamin pemain tersebut tidak cedera supaya tidak menjejaskan prospek perpindahannya.

Inilah yang berlaku kepada Loic Remy pada 2014. Pada perlawanan liga terakhir, Loic Remy diketepikan pengurus Newcastle, Alan Pardew, kerana ‘kecederaan’.

Bagaimanapun apabila Remy ditemu ramah oleh L’Equipe, beliau berkata:

“Perlawanan terakhir kami (Newcastle) tidak signifikan pun dan saya tak mahu cedera lagi. Alan Pardew faham niat saya. Newcastle mahu menandatangani saya tapi saya tak mahu kekal di sana. Karier saya perlukan perubahan.”

Pada Ogos 2014, Remy menandatangani kontrak bersama Chelsea.

(Photo by Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images)

Ada benarnya kata-kata Robbie Savage:

“Bila pemain berpura-pura cedera, mereka tak perlu berlakon sakit. Pemain hanya perlu mengaku (menipu) sahaja. Itulah cara paling popular bagi pemain untuk memberitahu kelab, bahawa mereka tidak gembira.”

5. Menghantar surat permohonan perpindahan

Secara rasminya, ini adalah cara paling ‘betul’ bagi pemain untuk memaksa kelab untuk menjual mereka ke kelab lain.

Tetapi jangan salah sangka – realiti hidup bukannya macam Football Manager – cara ini perlu dijadikan jalan terakhir (last resort).

Mengapa?

Ini kerana dengan menghantar surat permohonan perpindahan, pemain bersetuju untuk membatalkan bonus kesetiaan (loyalty bonus) yang biasanya ada dalam mana-mana kontrak pemain profesional Eropah.

Apabila pemain menghantar surat ini, kelab akan letakkan mereka di senarai perpindahan (transfer list) dan mereka berhak menolak tawaran mana-mana kelab atas budi bicara pengerusi dan pengurus pasukan.

Inilah yang dilakukan oleh Liverpool pada mulanya apabila Fernando Torres dipikat oleh Chelsea.

(Photo credit: PAUL ELLIS/AFP/Getty Images)

Bagaimanapun, cara ini juga boleh dijadikan sebagai strategi untuk menjana minat kelab lain dan menakutkan majikan pemain untuk menawarkan kontrak baru yang lebih lumayan kepada mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN