Selangor secara rasminya telah pun memperkenalkan lima pemain baharu mereka pada musim ini dalam saingan Liga Super ketika perlawanan membabitkan kelab itu bertemu Kedah Darul Aman (Kedah).
Pada aksi tersebut, Ronnie Fernandez bersama Alvin Fortes, Umarbek Eshmurodov, Nooa Laine, serta Reziq Banihani telah pun mencipta penampilan sulung mereka di pentas Liga Malaysia (Liga M).
Penampilan sulung mereka jelas sesuatu yang berbaloi apabila Selangor berjaya merekodkan keputusan positif 1-0 untuk mengatasi cabaran Kedah Darul Aman (Kedah) di laman sendiri.
Berikut merupakan ulasan peribadi Semuanya BOLA mengenai aksi kelima pemain tersebut sewaktu menghadapi cabaran daripada skuad kendalian Nafuzi Zain.
Ronnie Fernandez
Penyerang baharu Selangor ini tidak banyak meninggalkan impak buat pasukan tersebut selaku penggempur utama sepanjang aksi bertemu Sang Kenari.
Diturunkan dalam kesebelasan utama, pergerakan Ronnie jelas terbatas apabila dirinya sentiasa dibayangi pertahanan import Kedah dari Brazil, Cleyton dos Santos.
Walaupun ada beberapa peluang terbaik meledak gol, Ronnie gagal menyempurnakannya selain masih kurang daripada segi persefahaman.
Umarbek Eshmurodov
Pertahanan baharu The Red Giants dari Uzbekistan ini tidak mengambil masa yang lama untuk membentuk kombinasi mantap bersama rakan sepasukan lain bagi menyerap segala asakan lawan.
Tanpa kelibat Yazan Al-Arab musim ini, kehadiran Umar dilihat sebagai pengganti tepat buat Selangor apabila kualiti beliau pada aksi tersebut wajar mendapat pujian.
Selain bijak membaca pergerakan lawan, Umar juga mempunyai kekuatan fizikal serta tenang mengawal tempo permainan dari bahagian pertahanan.
Nooa Laine
Buat pertama kali pemain muda Harimau Malaya ini beraksi dalam saingan Liga M bersama Selangor selepas memulakan karier di Eropah.
Kelibat Nooa pada aksi sulung beliau tidak begitu dirasai apabila posisi tengah jelas menjadi milik Noor Al Rawabdeh untuk menjadi jeneral utama di atas padang.
Namun, Nooa dilihat berjaya menyesuaikan diri dengan cepat serta bertindak pantas untuk membantu pertahanan The Red Giants ketika diserang selain tidak kekok untuk bersama rakan sepasukan lain.
Alvin Fortes
Aksi Alvin pada malam tersebut jelas tidak berada pada prestasi sebenar apabila kelibat beliau sentiasa dibayangi oleh pertahanan Kedah iaitu Arif Farhan Md Isa.
Ancaman beliau di kubu pertahanan Kedah juga tidak begitu dirasai walaupun ada beberapa kali beliau berjaya menyusup masuk dari bahagian tepi untuk mencipta sesuatu.
Apapun, pastinya ketajaman beliau akan terus ditagih kerana semua mengetahui kualiti beliau di atas padang sejak aksi pramusim dihadapi Selangor.
Reziq Bani Hani
Pemain paling mencuri tumpuan pada perlawanan tersebut walaupun bintang muda dari Jordan itu dimasukkan pada separuh masa kedua perlawanan.
Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol, kelibat Reziq berjaya menaikkan lagi intensiti serangan tuan rumah sehingga mencetuskan jaringan tunggal pada aksi tersebut.
Selain memiliki kekuatan fizikal, Reziq juga mampu membuat larian pantas dan beberapa kali pergerakan beliau berjaya mengatasi pertahanan Kedah dengan sangat mudah.
Untuk aksi seterusnya, Selangor bakal berdepan cabaran Negeri Sembilan pula dengan aksi bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Adakah kelima pemain ini mampu tampil menyerlah dan memberi kekuatan terbaik untuk membantu Selangor meraih keputusan positif seterusnya?